Diterbitkan pada 7 Mei 2025, 17:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Lelaki sering digambarkan sebagai simbol kekuatan, ketegasan dan rasionaliti.

Namun begitu, dalam cerpen terpilih Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari, gambaran ini dicabar dan diuji, menonjolkan sisi emosi lelaki yang rapuh apabila kuasa patriarki mereka tergugat.

Hal inilah yang dibincangkan dalam kertas kerja “Maskuliniti yang Teruji: Respon Emosi Lelaki dalam Cerpen Terpilih Rahman Shaari” oleh YBrs. Puan Hafizah Iszahanid dalam Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Rahman Shaari petang tadi. 

Menurut beliau, cerpen seperti “Sang Suami” dan “Anak Dara Nakman Al-Haj” memperlihatkan cara watak lelaki berdepan dengan krisis identiti apabila dominasi mereka dipersoalkan dalam konteks rumah tangga mahupun hubungan antara generasi.

Berdasarkan kerangka teori gender dan maskuliniti oleh R.W. Connell, analisis ini membongkar bagaimana struktur sosial dan budaya membentuk naratif maskuliniti hegemonik yang bukan sahaja memberikan kelebihan kepada lelaki, malah memerangkap mereka dalam tuntutan untuk menjadi “lelaki sejati”.

Cerpen “Sang Suami” daripada kumpulan cerpen Rahman Gangguan (1988) mengisahkan Sahlan, seorang suami dan bapa kepada enam anak yang menjalinkan hubungan rahsia dengan wanita lain, Normah. 

Dalam keadaan terdesak akibat tekanan kewangan, Sahlan meminjam wang daripada Normah sambil memanipulasi hubungan tersebut dengan janji-janji palsu untuk berkahwin.

Namun begitu, kedudukan dan kuasa Sahlan mula goyah apabila isterinya, Mariah, memilih untuk meninggalkannya.

Ironinya, rumah yang didiami oleh mereka sebenarnya milik Mariah tetapi telah dicagar oleh Sahlan, yang menunjukkan bahawa simbol kuasa yang dimilikinya hanyalah bersifat sementara dan tidak mutlak.

“Setelah ditinggalkan, reaksi emosi Sahlan mendedahkan sisi maskulinitinya yang rapuh dan kehilangan arah. Dia menjadi gelisah, risau dan cuba mencari kambing hitam atas keruntuhan kuasanya,” jelas Hafizah.

“Monolog seperti ‘keluarga tak patut ambil tahu’ menandakan ketakutan lelaki apabila dominasi mereka mula dipersoal,” tambah beliau lagi.

Dalam kumpulan cerpen yang sama, cerpen “Anak Dara Nakman Al-Haj” menceritakan cabaran yang datang daripada watak perempuan muda bernama Siti Bathina yang meminta bapanya meminang lelaki pilihan hatinya.

Permintaan itu dianggap sebagai “kerja gila” oleh si bapa, Nakman Al-Haj.

Cerpen ini menyingkap bagaimana norma budaya menjadi benteng patriarki, dan bagaimana kuasa itu tergugat apabila perempuan berhujah menggunakan logik agama dan sejarah untuk mencabarnya.

“Nakman digambarkan sebagai lelaki beragama dan berpendidikan, namun tidak terlepas daripada hipokrasi.

“Nakman menulis buku tentang pembatasan pergaulan lelaki dan wanita, tetapi dirinya sendiri keluar ‘berdua-duaan’ dengan kekasih hatinya secara rahsia dan menghasilkan novel picisan menggunakan nama samaran.

“Kesemua ini diketahui oleh anaknya sendiri, menjadikan kritikan Siti Bathina lebih tajam dan berasas.”

Apabila Siti Bathina mendedahkan bahawa dia telah hamil tanpa bernikah, Nakman bukan sekadar tergugat, malah hampir rebah.

Menurut Hafizah, klimaks dramatik ini memperlihatkan betapa lemahnya benteng maskuliniti apabila diuji oleh realiti yang menongkah arus budaya tradisional.

Menurut Hafizah lagi, kedua-dua cerpen ini membuktikan bahawa watak lelaki dalam karya Rahman Shaari bukan semata-mata figura dominan yang mengawal naratif. Sebaliknya, mereka turut terdedah pada keretakan, krisis dan konflik dalaman yang mencabar naratif hegemoni selama ini.

“Cerpen-cerpen ini membuka ruang untuk kita membincangkan bagaimana emosi lelaki ditampilkan secara jujur dan realistik,” ujar beliau.

Dengan latar masyarakat Melayu yang masih tebal dengan nilai patriarki, karya Rahman Shaari bukan sahaja mengangkat isu peribadi lelaki, tetapi juga menyentuh aspek sosial dan budaya yang lebih luas.

Kredit Foto: Zaidah Zakaria
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi