Diterbitkan pada 28 Februari 2025, 16:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

London – Hadiah Booker Antarabangsa 2025 mengumumkan senarai panjang pada 25 Februari lalu, yang menyaksikan 13 karya dinamakan, membabitkan 11 novel dan dua kumpulan cerpen.

Jumlah itu dipilih juri daripada 154 buku yang diterima, iaitu angka tertinggi sejak tahun 2016.

Agak mengejutkan, sebuah buku yang diterbitkan 43 tahun lalu dalam bahasa Belanda, turut berada dalam senarai. Namun begitu, hal ini tetap menepati syarat penyertaan kerana Hadiah Booker Antarabangsa 2025 lebih memberikan tumpuan pada karya terjemahan dalam bahasa Inggeris yang diterbitkan pada tahun lepas.

Laman web The Booker Prizes menyebutkan 13 naskhah yang melepasi senarai panjang bagi tahun ini, iaitu The Book of Disappearance tulisan Ibtisam Azem (terjemahan daripada bahasa Arab oleh Sinan Antoon); On the Calculation of Volume I oleh Solvej Balle, terjemahan daripada bahasa Denmark oleh Barbara J. Haveland; There’s a Monster Behind the Door (Gaëlle Bélem), terjemahan daripada bahasa Perancis oleh Karen Fleetwood dan Laëtitia Saint-Loubert; Solenoid (Mircea Cărtărescu), terjemahan daripada bahasa Romania oleh Sean Cotter; Reservoir Bitches (Dahlia de la Cerda), terjemahan daripada bahasa Sepanyol oleh Heather Cleary dan Julia Sanches; Small Boat (Vincent Delecroix), terjemahan daripada bahasa Perancis oleh Helen Stevenson; Hunchback (Saou Ichikawa), terjemahan daripada bahasa Jepun oleh Polly Barton;  Under the Eye of the Big Bird (Hiromi Kawakami), terjemahan daripada bahasa Jepun oleh Asa Yoneda; Eurotrash (Christian Kracht), terjemahan daripada bahasa Jerman oleh Daniel Bowles; Perfection (Vincenzo Latronico), terjemahan daripada bahasa Itali oleh Sophie Hughes; Heart Lamp (Banu Mushtaq), terjemahan daripada bahasa Kannada oleh Deepa Bhasthi; On a Woman’s Madness (Astrid Roemer), terjemahan daripada bahasa Belanda oleh Lucy Scott; dan A Leopard-Skin Hat (Anne Serre), terjemahan daripada Perancis oleh Mark Hut.

Hadiah Booker Antarabangsa ialah penganugerahan terhadap karya fiksyen terbaik atau cerpen yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dan diterbitkan di United Kingdom dan/atau Ireland dari 1 Mei 2024 hingga 30 April 2025.

Anugerah Booker Antarabangsa mengiktiraf kerja penting penterjemahan, dengan hadiah wang tunai sebanyak RM 260,500 yang dibahagikan sama rata antara penulis dengan penterjemah.

Kredit Foto: The Booker Prizes
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi