Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangProf. Madya Dr. Nasirin Abdillah meneliti senarai pendek Hadiah Booker Antarabangsa 2025 dan bagaimana anugerah berprestij ini cukup mencerminkan simpang-siur perkembangan semasa dunia.
Selain peranan terjemahan, senarai pendek Hadiah Booker Antarabangsa 2025 turut menonjolkan kepelbagaian suara, terutama melalui peningkatan bilangan penulis wanita.
Dalam era globalisasi dan kemajuan teknologi digital, dunia kesusasteraan telah melalui transformasi dari segi cara pembacaan, penilaian dan penyampaian karya sastera. International Booker Prize 2025 atau Hadiah Booker Antarabangsa 2025, sebagai salah satu anugerah kesusasteraan antarabangsa yang berprestij, bukan sahaja menjadi penanda aras kecemerlangan bahasa dan naratif, malah turut mencetuskan perbincangan kritikal mengenai nilai, identiti budaya dan realiti sosial yang terkandung dalam setiap karya.
Buat pertama kalinya dalam sejarah penganjurannya, senarai pendek (shortlist) Hadiah Booker Antarabangsa 2025 menampilkan hanya karya-karya yang diterbitkan oleh penerbit bebas (independent presses). Pilihan tahun 2025 ini menonjolkan enam pasukan penulis dan penterjemah, yang kini bersaing merebut hadiah bernilai £50,000 yang akan dibahagikan sama rata antara penulis dengan penterjemah. Perkembangan ini bukan sahaja memperlihatkan peningkatan pengaruh penerbit bebas dalam arena sastera antarabangsa, malah menyerlahkan kepentingan kolaborasi antara pengarang dengan penterjemah dalam menghasilkan karya yang benar-benar merentas sempadan. Pada 8 April lalu, telah diumumkan senarai pendek untuk Hadiah Booker Antarabangsa 2025 yang terdiri daripada enam buah novel iaitu: A Leopard-Skin Hat oleh Anne Serre, Heart Lamp oleh Banu Mushtaq, On the Calculation of Volume One oleh Solvej Balle, Perfection oleh Vincenzo Latronico, Small Boat oleh Vincent Delecroix dan Under the Eye of the Big Bird oleh Hiromi Kawakami.
Sejak beberapa dekad kebelakangan ini, Hadiah Booker Antarabangsa telah berfungsi sebagai jambatan antara penulis daripada pelbagai latar belakang budaya dengan pembaca di seluruh dunia. Karya-karya yang asalnya ditulis dalam bahasa seperti Perancis, Kannada, Itali, Jepun, Denmark, dan Arab kini boleh dinikmati secara meluas melalui proses terjemahan yang teliti. Proses ini bukan sekadar pengalihan kata-kata, tetapi melibatkan usaha untuk menyampaikan nuansa emosi, konteks budaya dan makna halus yang terkandung dalam teks asal.
Dalam konteks anugerah tahun ini, penghargaan kepada para penterjemah merupakan pengiktirafan terhadap keupayaan mereka untuk mengekalkan identiti dan keaslian setiap karya dalam bentuk yang dapat difahami oleh khalayak global. Perpaduan antara karya asal dan usaha penterjemah ini menunjukkan bahawa sastera ialah medium universal yang mampu merentas sempadan geografi dan budaya, sekali gus membuka ruang kepada dialog serta pertukaran idea yang kaya dan pelbagai.
Selain peranan terjemahan, senarai pendek Hadiah Booker Antarabangsa 2025 turut menonjolkan kepelbagaian suara, terutama melalui peningkatan bilangan penulis wanita. Perubahan paradigma yang berlaku ini mencerminkan keinginan untuk memperkaya naratif dengan perspektif yang lebih inklusif dan menyeluruh. Penulis wanita kerap kali menyampaikan pengalaman peribadi, cabaran dan aspirasi yang mungkin sebelum ini kurang mendapat tumpuan dalam naratif tradisional yang didominasi oleh suara lelaki. Melalui karya-karya mereka, isu keadilan sosial, hak asasi dan perjuangan untuk mendapatkan ruang bersuara menjadi lebih ketara. Pengkritik moden menyatakan bahawa kehadiran penulis wanita bukan sahaja memperkaya ulasan sastera dari segi teknik dan bahasa, tetapi juga membawa elemen emosi dan keikhlasan yang mampu menyentuh hati pembaca. Justeru, Hadiah Booker Antarabangsa 2025 bukan sahaja memaparkan kecemerlangan estetik, malah turut menyampaikan makna tersirat berkaitan isu-isu kemanusiaan serta realiti sosial semasa.
Di samping isu terjemahan dan perwakilan jantina, inovasi dalam teknik penceritaan juga merupakan salah satu aspek utama yang menjadi tarikan bagi senarai pendek tahun ini. Karya-karya yang dipilih oleh juri menampilkan eksperimen naratif dengan menggabungkan elemen fiksyen spekulatif, naratif sejarah serta realiti sosial dalam satu wadah naratif yang mantap. Pendekatan ini mengajak pembaca untuk meneroka dunia imaginatif sambil membuka ruang untuk pentafsiran mendalam mengenai masa depan serta perubahan nilai kemanusiaan. Dalam dunia yang dipenuhi dengan arus maklumat pantas, karya-karya seperti ini menawarkan pengalaman membaca yang interaktif dan mengajak pembaca untuk merenung hakikat keberadaan manusia, dilema moral, serta harapan untuk masa depan yang lebih lestari dan berdaya saing.
Menariknya, senarai panjang (longlist) terdahulu turut menampilkan beberapa judul terkenal seperti The Book of Disappearance oleh Ibtisam Azem, There’s a Monster Behind the Door oleh Gaëlle Bélem, Solenoid oleh Mircea Cărtărescu, Reservoir Bitches oleh Dahlia de la Cerda, Hunchback oleh Saou Ichikawa, Eurotrash oleh Christian Kracht, dan On a Woman’s Madness oleh Astrid Roemer. Kepelbagaian geografi dan tema dalam senarai ini menandakan betapa luasnya skop kesusasteraan dunia yang diambil kira oleh panel juri. Bagi tahun 2025, panel penghakiman diketuai oleh penulis dan penyair Max Porter dan turut disertai oleh Caleb Femi (penyair), Sana Goyal (penulis dan pengulas sastera dari The Guardian), Anton Hur (penulis dan penterjemah), serta Beth Orton (pemuzik). Gabungan latar belakang ini membentuk satu panel yang holistik, dengan kepekaan terhadap bahasa, budaya, muzik, serta terjemahan sebagai medium seni dalam keragamannya.
Pengerusi panel juri, Max Porter, menggambarkan senarai pendek tahun ini sebagai “mind-expanding”, iaitu mampu meluaskan ufuk pemikiran pembaca. Beliau menyatakan bahawa karya-karya yang terpilih “menyoal apa yang bakal menanti kita, atau bagaimana kita meratapi, menyembah atau terus bertahan”. Tambah beliau lagi, kesemua karya ini memberikan “jawapan yang rumit, kadangkala pesimistik, kadangkala sangat radikal dalam pengharapannya” dan bersama-sama mencipta “sebuah kanta ajaib untuk melihat pengalaman manusia.” Kenyataan ini memperkukuh lagi kedudukan Hadiah Booker Antarabangsa 2025 sebagai anugerah yang bukan sahaja mengangkat bahasa dan naratif, tetapi juga mengilhamkan pemikiran falsafah dan rohaniah tentang erti menjadi manusia. Seterusnya, saya menyenaraikan ringkasan setiap novel dalam senarai pendek Hadiah Booker Antarabangsa 2025:
Novel pertama, A Leopard-Skin Hat karya Anne Serre (diterjemahkan daripada bahasa Perancis oleh Mark Hutchinson), mengisahkan hubungan persahabatan antara narator dengan Fanny, seorang wanita yang bergelut dengan masalah psikologi. Melalui gaya penulisan yang ringkas namun penuh emosi, karya ini menyampaikan pengalaman mengenai kehilangan, pengorbanan dan kegetiran hidup. Karya ini mengajak pembaca untuk merenung tentang bagaimana kenangan dan hubungan peribadi menyumbang kepada pembentukan identiti seseorang.
Novel kedua (sebenarnya kumpulan cerpen), Heart Lamp karya Banu Mushtaq (diterjemahkan daripada bahasa Kannada oleh Deepa Bhasthi), merupakan himpunan 12 cerita yang menggambarkan kehidupan seharian wanita dan gadis dalam komuniti Muslim di selatan India. Novel ini mengecap pencapaian bersejarah apabila buat pertama kalinya karya dalam bahasa Kannada telah disenarai pendek dalam anugerah berprestij ini. Gaya penulisannya yang sederhana tetapi tajam merakam suasana komuniti marginal dengan kelembutan dan ketegasan yang seimbang. Cerita-cerita dalam karya ini menonjolkan konflik dalaman, perjuangan melawan norma masyarakat yang mengekang, dan aspirasi untuk mencapai keadilan serta hak asasi yang selama ini dipinggirkan.
Novel ketiga, On the Calculation of Volume One karya Solvej Balle (diterjemahkan daripada bahasa Denmark oleh Barbara J. Haveland), merupakan karya pertama dalam siri septologi yang dirancang. Novel ini menyelami konsep masa dan ingatan dengan menggambarkan pengalaman misteri watak utama, Tara, yang terperangkap dalam satu kitaran masa yang berulang, terutamanya pada 18 November setiap tahun. Walaupun hanya merupakan permulaan kepada siri yang lebih panjang, naratifnya telah menunjukkan keberanian eksperimen untuk mengolah tema tentang identiti, kehilangan dan pencarian makna dalam konteks perjalanan masa yang tidak menentu.
Novel keempat, Perfection karya Vincenzo Latronico (diterjemahkan daripada bahasa Itali oleh Sophie Hughes), merupakan sebuah karya sosiologi yang menggambarkan kekosongan dalam kewujudan kontemporari. Ceritanya tertumpu pada kehidupan pasangan ekspatriat dan golongan milenial, walaupun kelihatan hidup ideal di media sosial, hakikatnya diselubungi oleh kekosongan emosi dan kekecewaan mendalam. Melalui naratif yang menggugah, karya ini mengetengahkan pencarian keaslian diri serta perjuangan untuk membentuk identiti sebenar di tengah-tengah dunia yang bergantung pada imej dan penampilan luaran. Latronico membongkar rasa keterasingan akibat globalisasi dan ketidakpastian identiti dalam dunia pascamoden. Penterjemahnya, Sophie Hughes, mencatat sejarah sebagai penterjemah yang paling banyak tersenarai dalam sejarah anugerah ini.
Novel kelima, Small Boat karya Vincent Delecroix (diterjemahkan daripada bahasa Perancis oleh Helen Stevenson), mengisahkan tragedi secara fiksyen mengenai sebuah perahu terapung yang mengangkut migran dari Perancis ke England. Novel ini berdasarkan kejadian sebenar pada November 2021, berkaitan tragedi perahu migran yang karam di Selat Inggeris yang mengorbankan 27 nyawa. Ditulis hanya dalam tiga minggu, karya ini mempersoalkan kegagalan sistem bantuan kecemasan dan ketidakpedulian sosial terhadap krisis migrasi. Melalui penceritaan yang penuh emosi, novel ini menyoroti isu pengurusan bencana, keadilan sosial dan keperluan untuk komunikasi yang berkesan antara pihak berkuasa dengan masyarakat.
Novel keenam, Under the Eye of the Big Bird karya Hiromi Kawakami (diterjemahkan daripada bahasa Jepun oleh Asa Yoneda), menawarkan naratif spekulatif yang membawa pembaca ke zaman hadapan apabila umat manusia berada di ambang kepupusan. Diceritakan dalam dunia masa hadapan yang ganjil dan mencabar, karya ini menggambarkan manusia hidup dalam kelompok kecil di bawah pengawasan entiti misteri, “Big Bird”. Dikenali sebelum ini melalui Strange Weather in Tokyo, Kawakami sekali lagi menyentuh persoalan eksistensial dengan gaya penceritaan yang puitis dan kontemplatif. Pendekatan fiksyen spekulatif ini bukan sahaja mengundang pembaca untuk merenung tentang ancaman kepupusan, tetapi juga mengeksplorasi tema evolusi, interaksi antara manusia dengan alam, serta kemungkinan kebangkitan semula umat manusia dalam konteks perubahan global.
Hadiah Booker Antarabangsa 2025 jelas merupakan platform yang melangkaui bukan sekadar anugerah untuk karya terbaik, malah berfungsi sebagai refleksi transformasi dalam dunia kesusasteraan moden.
Senarai pendek Hadiah Booker Antarabangsa 2025 ini mencerminkan keberanian juri dalam memilih karya-karya yang bukan sahaja cemerlang dari segi teknik penceritaan, tetapi juga mampu mencetuskan dialog kritis mengenai cabaran global semasa. Ramai pengkritik berpendapat bahawa karya-karya tersebut telah berjaya mengimbangi antara tradisi dengan inovasi, sambil membuka ruang untuk perbincangan mengenai isu seperti krisis kemanusiaan, keadilan sosial serta konflik budaya yang semakin mendesak. Sastera, dalam konteks ini, tidak hanya sekadar hiburan atau ekspresi artistik, tetapi juga cerminan kepada realiti sosial dan politik yang kompleks.
Hadiah Booker Antarabangsa 2025 jelas merupakan platform yang melangkaui bukan sekadar anugerah untuk karya terbaik, malah berfungsi sebagai refleksi transformasi dalam dunia kesusasteraan moden. Melalui proses pemilihan yang teliti dan kritikal, anugerah ini memperlihatkan betapa pentingnya pengintegrasian antara tradisi dengan inovasi, antara pengalaman peribadi dengan nilai kolektif, serta antara keindahan bahasa dengan mesej sosial yang rencam. Senarai pendek yang disajikan tahun ini mengajak pembaca untuk merenung, menghayati dan terlibat dalam dialog kritikal yang tidak hanya memberikan penekanan pada estetika naratif tetapi juga menyentuh isu-isu kemanusiaan yang relevan dengan zaman sekarang.
Ramalan pemenang Hadiah Booker Antarabangsa 2025 menyaksikan persaingan sengit antara karya-karya hebat. Perfection oleh Vincenzo Latronico menonjol sebagai calon utama yang berpotensi untuk merangkul anugerah berprestij ini. Novel tersebut menawarkan pemerhatian sosiologi yang tajam dan menyentuh perihal kewujudan kontemporari, menjadikannya sebuah karya yang bukan sahaja relevan tetapi juga menggugah pemikiran. Kejayaan penterjemahnya, Sophie Hughes, yang mencatat sejarah dengan penyenaraian ketiga dalam senarai pendek ini, turut memperkukuh peluang kemenangan Perfection. Terjemahan Hughes mencerminkan kepakaran luar biasa beliau dalam memperkenalkan karya antarabangsa kepada khalayak berbahasa Inggeris. Walau bagaimanapun, Heart Lamp oleh Banu Mushtaq juga mencuri perhatian sebagai pencapaian bersejarah, menjadi karya pertama terjemahan daripada bahasa Kannada yang tersenarai.
Koleksi 12 cerpen ini menyerlahkan kehidupan seharian wanita dan gadis dalam komuniti Muslim di India selatan dengan kehalusan dan ketelitian yang mengundang empati. Saya juga menggemari Small Boat sebagai calon yang berpotensi besar kerana kekuatan naratif, relevansi isu kemanusiaan, serta daya tarikan emosi yang merengkuh jiwa. Ramalan ini, walaupun subjektif, mencerminkan kepercayaan bahawa sastera yang mampu menjentik kesedaran sosial dan menyalurkan harapan melalui cerita berpeluang tinggi untuk diiktiraf sebagai karya unggul pada peringkat antarabangsa.
Kesimpulannya, Hadiah Booker Antarabangsa 2025 tidak hanya mengukuhkan kembali peranan sastera sebagai jambatan antara budaya dengan nilai, tetapi juga membuka ruang bagi kita semua untuk merenung semula makna keberadaan manusia di tengah-tengah realiti global yang semakin mencabar. Semoga anugerah ini terus menjadi inspirasi, membimbing kita untuk terus menghayati, berkongsi dan mencipta cerita yang mampu mengubah cara kita melihat dunia dan diri kita sendiri. Akhir kata, adakah anda telah membaca semua enam novel dalam senarai pendek Hadiah Booker Antarabangsa 2025 ini? Novel yang manakah menjadi pilihan atau kegemaran anda untuk memenangi anugerah ini? Mari kita bersama-sama nantikan keputusannya pada 20 Mei 2025 nanti.
_________________________
Nasirin Abdillah (Profesor Madya Dr.) merupakan pensyarah dalam bidang seni kreatif di Universiti Teknologi MARA (UiTM), kampus Puncak Perdana. Beliau juga seorang ahli teori yang telah mencipta teori 2IN untuk kegunaan dalam bidang seni, sastera dan mitologi.