27 November 2022, 22:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

George Town – Begitulah ungkapan daripada penulis kontemporari kesusasteraan Tamil, iaitu B. Jeyamohan dalam diskusi yang bertajuk “B. Jeyamohan: The Free and Ferocious Elephant of Tamil Literature” sempena George Town Literary Festival 2022 yang berlangsung selama empat hari (24 hingga 27 November). Diskusi tersebut dikendalikan oleh penulis Tamil Malaysia, M. Navin.

B. Jeyamohan (kiri) sedang membicarakan tentang nuraninya sebagai seorang penulis. M. Navin duduk di tengah bertindak sebagai moderator.

Diskusi tersebut membicarakan tentang  karya-karya Jeyamohan yang dianggap sebagai cuba merekonstruksi kebudayaan Tamil serta meletakkannya relevan dalam masa kini. Selain itu, beliau juga membicarakan tentang bagaimana beliau menyuntik persoalan-persoalan falsafah dalam tulisan-tulisannya.

Antara hadirin yang hadir mendengar bicara Jeyamohan.

Jeyamohan membicarakan tentang sejarah kesusasteraan Tamil yang bermuara kepada dua jenis, iaitu karya klasik dan kisah-kisah lisan rakyat seperti dongeng. Kedua-duanya merupakan sebuah sintesis. Dalam perbicaraannya, beliau melihat kembali perjalanan panjang kesejarahan dan kebudayaan tersebut yang mana di dalamnya terdapat banyak unsur seperti falsafah, mitologi, dan persoalan-persoalan ‘keberadaan’ manusia (human being). Dalam melihat kedua-dua bentuk awal kesusasteraan Tamil tersebut, beliau juga menyatakan bahawa fantasi yang sering terjumpa dalam kesusasteraan Tamil klasik merupakan imej-imej yang puitis (image poetic).

Stories of The True karya B. Jeyamohan yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris.

Selain membicarakan tentang kesusasteraan Tamil klasik, beliau juga menyentuh perihal suasana dan keadaan kesusasteraan moden kini yang nampaknya terbelah antara ‘sastera serius’ dan ‘sastera popular’. Beliau berterus terang dengan menyatakan bahawa ‘sastera popular’ selamanya tidak akan boleh menjadi kesusasteraan. Selanjutnya, beliau menganjurkan bahawa sastera popular perlu dikritik. Dalam pengalamannya sebagai seorang penulis, beliau memerhatikan bahawa tidak banyak karya yang berbentuk sastera popular dalam kesusasteraan Tamil.

Apabila menyentuh tentang unsur spiritual dalam pengalamannya sebagai penulis, beliau menyatakan bahawa beliau ‘menjumpai’ dirinya dalam sastera. Sastera membolehkannya melihat dunia dan kompleksiti kehidupan manusia moden dengan lebih jernih dan teratur. Ujarnya,

Menulis juga merupakan sebahagian daripada kegiatan spiritual.

Menyentuh persoalan bahasa Inggeris dan Tamil, beliau menyatakan bahawa bagi memahami dan mengerti jiwa kebudayaan dan kesusasteraan Tamil, seseorang penulis (dalam konteksnya ialah penulis Tamil sendiri) perlulah menulis dan berdialog dalam bahasa Tamil kerana terdapat estetika dan semangat kesenian Tamil yang tersendiri yang tidak dapat ditangkap oleh bahasa Inggeris.

Dalam kehidupan moden kini, Jeyamohan (yang mengaku sebagai seorang penulis beraliran pascamoden) menyifatkan dirinya sebagai penulis yang cuba untuk melihat dan menulis kembali kebudayaan dan sejarah serta merekonstruksi kembali tema-tema besar seperti sosial dan agama. Beliau secara jelas menyatakan bahawa beliau ingin lebih ‘besar’ daripada Albert Camus dan Franz Kafka.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.