Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangRaden Galuh membongkar pembohongan W.G. Shellabear, orientalis yang menulis semula Sejarah Melayu atau Malay Annals yang berdasarkan daripada manuskrip Sulalatus Salatin karangan Tun Sri Lanang.
Ketika sejarah ditulis dan diolah oleh penjajah dan para orientalis yang bersekongkol dengannya, sering kali wajah serta maruah bangsa yang diremehkan akan digambarkan dalam bingkai persepsi yang halus dan penuh dengan kelemahan dan kehinaan.
Sejarah bukan sekadar catatan masa lalu, sebaliknya suatu akar pemikiran, maruah dan kemuliaan bangsa yang tercerna bersamanya. Lantas, apabila sejarah diselewengkan, maka pemikiran generasi baharu akan terpekung dengan nanah kepalsuan dan kehilangan jati diri.
Inilah yang terjadi apabila seorang orientalis dan pendakwah evangelist Kristian, W.G. Shellabear, dalam tulisannya tentang Sejarah Melayu, menggambarkan tentera Kesultanan Melayu Melaka sebagai bangsa yang ketinggalan zaman dan tidak mengenal teknologi senjata api ketika menghadapi serangan Portugis pada tahun 1509 dan 1511.
Kesultanan Melayu Melaka sejak abad ke-15, merupakan pusat perdagangan antarabangsa yang strategik, menjadi pusat pertemuan pedagang dari China, India, Timur Tengah, Nusantara, dan Eropah. Melalui jaringan perdagangan ini, teknologi dan budaya asing turut digarap oleh rakyat dan bijak pandai Melayu Melaka, termasuklah teknologi persenjataan ketenteraan.
Ketika sejarah ditulis dan diolah oleh penjajah dan para orientalis yang bersekongkol dengannya, sering kali wajah serta maruah bangsa yang diremehkan akan digambarkan dalam bingkai persepsi yang halus dan penuh dengan kelemahan dan kehinaan. Apatah lagi apabila mereka mendukung agenda “misi mentamadunkan” atau “civilizing mission” bangsa yang mereka tanggap sebagai “lemah dan liar”.
Inilah realiti yang menyelubungi Sejarah Melayu edisi Shellabear yang signifikan mengambil salinan Blagden yang digambarkan oleh Winstedt sebagai “wewenang mengubah fakta”.
R.O Winstedt seorang orientalis berbangsa Inggeris dan pentadbir koloni British dengan kepakaran tinggi tentang perihal Tanah Melayu. Beliau pernah mengkritik edisi Malay Annals (Sejarah Melayu) yang telah disalin oleh Blagden pada tahun 1612. Menurut Winstedt, naskhah salinan Blagden itu jugalah yang menjadi induk rujukan Shellabear, di samping seorang lagi orientalis dari Perancis bernama Édouard Dulaurier.
Winstedt mencatatkan, “Hal memindah-mindahkan bab-bab dan lebih-lebih lagi pemindahan perenggan-perenggan, dan peristiwa-peristiwa dalam Sejarah Melayu yang sudah tercetak itu, adalah terlalu banyak untuk dikatakan kecuaian seorang penyalin naskhah seperti Blagden. Segala pemindahan itu pastilah disebabkan oleh penyuntingan yang sewenang-wenangnya terhadap naskhah itu. Perubahan peristiwa-peristiwa dalam Sulalatus Salatin adalah disebabkan kecuaian dan sikap wewenang penyalin naskhah Blagden.”
Dengan itu juga, terdapat kebarangkalian yang signifikan bahawa berlakunya perbuatan yang wewenang mengubahpindahkan kandungan Sulalatus Salatin itu supaya menimbulkan kekeliruan bagi menyelaraskannya dengan agenda penjajah.
Saya amat yakin, meskipun rujukan Shellabear berdasarkan pengisahan asal daripada Tun Sri Lanang, namun dengan halus dan liciknya telah berlaku perubahan fakta demi mengangkat kuasa hegemoni penjajah Barat selain mewajarkan penjajahan.
Antara pendekatan songsang dalam pendekatan wacana Shellabear adalah dengan mendakwa bahawa tentera Melaka pada tahun 1509 dan 1511 ketika memerangi tentera Portugis hanya bersenjatakan keris, parang dan panah, tanpa sebarang senjata api. Naratif ini sangat mengelirukan, dan secara jelas bercanggah dengan pelbagai sumber lain yang lebih berwibawa.
Catatan Portugis sendiri dalam The Commentaries of the Great Afonso de Albuquerque menyatakan bahawa Kota Melaka mempunyai pertahanan yang kuat, termasuk penggunaan meriam dan senjata api seperti istinggar atau senapang.
Afonso de Albuquerque menyatakan dan memperakui secara terang dan terbuka bahawa tentera Portugis telah berhadapan dengan tembok besar dan meriam yang ditembak dari darat dan dari kapal tentera Kesultanan Melayu Melaka, yang menyukarkan kemaraan tentera Portugis (Albuquerque, 1774). Namun fakta dan peristiwa ini disingkirkan dalam versi Malay Annals (Sejarah Melayu) Shellabear.
Malahan, pada sesi serangan yang lebih awalnya yang dipimpin oleh panglima Portugis Diogo Lopes de Sequiera pada September 1509, angkatan tentera Portugis dengan 18 armada kapalnya telah kalah kepada angkatan Kesultanan Melayu Melaka. Pada serangan itu, tentera Melayu Melaka sudah pun memiliki teknologi dan senjata api yang jauh lebih canggih daripada angkatan armada Portugis.
Amatlah sedih dan mengecewakan apabila Shellabear dengan retorik penjajah mencatatkan dalam Sejarah Melayu (hlm.184):
Maka Gonzalo Pariera nama kapitannya, telah datang ke Melaka, maka dibedilnya dengan meriam. Maka segala orang Melaka pun terkejut menengar bunyi meriam ini seperti guruh?
Maka peluru meriam itu pun datang mengenai segala orang Melaka, ada yang putus lehernya, ada yang putus pinggangnya, ada yang putus pahanya, ada yang pecah kepalanya, makin bertambah-tambah hairanlah orang Melaka melihat segala peluru bedil itu, katanya, ‘Apa nama senjata bulat-bulat itu? Mana tajamnya, maka ia membunuh ini?’
Inilah antara pembohongan Shellabear untuk mewajarkan kewiraan Barat menentang bangsa yang kononnya “liar dan tidak bertamadun” yang menjadi “mission of civilizing” mereka.
Sebagaimana kajian Prof. Leonard Y. Andaya dalam karyanya, The Kingdom of Johore 1641–1728 (1975), telah menyatakan bahawa Melaka sudah pun mengimport dan membina senjata api sejak awal abad ke-15 melalui hubungan dengan Kesultanan Gujarat, pedagang Arab dari Empayar Uthmaniyah serta teknologi senjata api yang diperoleh dari China.
Sedangkan serangan pertama Portugis melalui kepimpinan Diogo Lopes de Sequiera telah berlaku jauh terkemudian pada abad ke-16, iaitu pada September 1509.
Kajian sejarawan tempatan juga menyokong fakta tentang penguasaan teknologi senjata api Kesultanan Melayu Melaka dengan keupayaan “pandai besi” Melayu termasuk Aceh.
Dalam “Teknologi Pertahanan Melayu: Sejarah dan Warisan” (2004), Zakaria Ali telah membentangkan bahawa Melaka memiliki teknologi membuat meriam perunggu, yang dikenali sebagai “lela” dan “rentaka”, dan senapang sumbu (istinggar) yang dipelajari daripada pedagang Arab dan India.
Ketika diserang oleh angkatan armada Portugis, Melaka sudah pun mempunyai hubungan diplomatik dan perdagangan yang erat dengan dunia Islam, khususnya Empayar Uthmaniyah dan Kesultanan Gujarat. Kedua-dua kerajaan ini telah pun menguasai teknologi senjata api, malah Empayar Uthmaniyah telah terkenal sebagai kuasa ketenteraan Islam yang pertama menggunakan meriam secara besar-besaran, seperti dalam penawanan Kota Constantinople pada tahun 1453. Tidak mustahil teknologi ini sampai ke Melaka melalui hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Turki.
Pedagang China dan Gujarat (India) juga membawa bersama-sama mereka teknologi bedil dan senapang tangan. Pengaruh China khususnya, sangat signifikan sejak era Laksamana Cheng Ho, yang mempunyai hubungan erat dengan Kesultanan Melaka. Rekod sejarah Dinasti Ming menyatakan bahawa senjata api dibekalkan kepada sekutu-sekutu mereka di Asia Tenggara, termasuk Melaka.
Menurut “Ottoman Encounters in Southeast Asia” (Ismail Hakki Kadi dan A.C.S. Peacock, 2011), terdapat bukti dokumentasi yang menunjukkan bantuan ketenteraan dan perdagangan senjata api dari wilayah Empayar Uthmaniyah di Turki dan Gujarat ke Asia Tenggara, termasuk ke Melaka yang merupakan pelabuhan dan pusat dagangan yang menghubungkan laluan dagangan China dan Eropah.
Bahkan, apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis, para pembesar Melaka yang melarikan diri ke Johor dan Aceh terus berusaha mendapatkan sokongan Empayar Uthmaniyah untuk memerangi Portugis.
Ketika itu, Empayar Islam Uthmaniayah sememangnya amat kuat sehingga mereka berupaya menakluki Constantinople dan mengubah namaya sebagai Istanbul, yang dijadikan sebagai pusat kekuasaan Uthmaniyah. Kekuatan persenjataan Empayar Uthmaniyah terbukti kerana sebelum itu Constantinople telah gagal ditakluki oleh Gothik, Parsi, Bulgaria, dan Rusia.
Hal ini membuktikan bahawa jaringan diplomatik dan ketenteraan Melaka-Turki-Gujarat telah pun wujud sebelum tahun 1509 lagi, malahan agama Islam, sebagaimana dicatatkan dalam sejarah, telah datang dari kerajaan Islam Gujarat.
Baca Bahagian Kedua Refleksi |
_________________________
Raden Galuh atau Dr. Rahmat Ghazali memiliki Ijazah Doktor Falsafah dalam pengkhususan Kewartawanan Secara dalam Talian dari University of Leicester, United Kingdom. Beliau telah memenangi beberapa hadiah sayembara penulisan peringkat nasional serta merupakan penganalisis politik.