Diterbitkan pada 14 November 2024, 12:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Zulkifli Salleh meneliti amalan diplomasi budaya orang Melayu beratus tahun dahulu, yang tercatat dalam karya agung Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu.

Diplomasi budaya dikatakan diamalkan selama berabad-abad lamanya. Meskipun istilah diplomasi budaya hanya dicipta baru-baru ini, wujud bukti bahawa diplomasi diamalkan sepanjang sejarah dan wujud sejak sekian lama.

Pada tahun ini, genap 50 tahun hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Republik Rakyat China. Sememangnya, Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein mengambil langkah berani dan berwawasan jauh kerana ketika itu, Perang Dingin sedang memuncak dan Vietnam Selatan terhuyung-hayang akan jatuh ke tangan komunis Vietkong.

Oleh sebab China melaksanakan dasar “pintu tertutup”, maka langkah Allahyarham Tun Razak dianggap sebagai mengejutkan gergasi yang sedang tidur lena. Menyusuli hubungan yang terjalin itu, terbitlah usaha Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengadakan kerjasama kebahasaan dengan Beijing Foreign Studies University (BFSU). Kerjasama ini boleh dianggap sebagai “diplomasi budaya” antara dua buah negara.

Diplomasi budaya dikatakan diamalkan selama berabad-abad lamanya. Meskipun istilah diplomasi budaya hanya dicipta baru-baru ini, wujud bukti bahawa diplomasi diamalkan sepanjang sejarah dan wujud sejak sekian lama. Sepanjang sejarah, interaksi manusia, pertukaran bahasa, agama, idea, seni, dan struktur masyarakat secara konsisten menambahbaikkan hubungan antara kumpulan yang mencapah.

Dalam Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu (Sulalat al-Salatin ya’ni Pertuturan Segala Raja-raja) karya Tun Sri Lanang, terdapat apa yang dianggap sebagai diplomasi budaya.

Dalam Hikayat Hang Tuah, kita diberitahu bahawa wujud Benua Rom, Benua Turki, Benua Keling, Benua Siam, dan Benua China. Benua ini dalam istilah hubungan antarabangsa boleh dianggap sebagai adikuasa. Sementara itu, dalam Sejarah Melayu, wujud tiga buah negeri yang sama besarnya, iaitu pertama, Maja Pahit (Majapahit), kedua Pasyai (Pasai), ketiga Melaka, masing-masing mempunyai orang yang bijaksana.

Amalan diplomasi budaya, antaranya termasuk perkahwinan seorang raja atau putera raja dari sebuah negeri (negara?) dengan tuan puteri yang biasanya digambarkan cantik jelita, dengan kiasan yang sungguh mempesonakan. Perkahwinan seumpama ini bukan hanya penting dari segi kekeluargaan dan persanakan, bahkan juga penting dari segi hubungan antara dua buah negeri, apatah lagi sekiranya negara berkenaan pernah bermusuh, berperang.

Dalam Sejarah Melayu, diriwayatkan bahawa tercetus peperangan yang dahsyat antara Raja Iskandar Zulkarnain dengan Kida Hindi, dan antara tentera Raja Syulan dengan tentera Raja Culin. Tatkala peperangan meletus, Raja Kida Hindi terfikir untuk mengahwinkan puterinya yang terlalu amat baik parasnya, bernama Tuan Puteri Syahr al-Bariyah, dengan Raja Iskandar Zulkarnain, melalui perantaraan Nabi Khidir. Perkahwinan itu, seperti yang diberitahu oleh Nabi Khidir agar, “Kehendaknya minta dikasih pada tuan hamba dan diambil Raja Kida Hindi kiranya ia akan menjadi menantu supaya berhubunglah segala anak cucu Raja Kida Hindi dan anak cucu Raja Iskandar; jangan lagi berputusan kiranya hingga hari kiamat.”

Peperangan kedua pula berkesudahan. Kemenangan Raja Syulan berjaya membunuh Raja Culin. Kemenangan itu yang “tiada terkira-kira lagi banyaknya beroleh rampasan” tidak membawa kepada penjarahan segala-galanya dan juga tidak membawa kepada pengaiban terhadap pihak yang kalah. Meskipun kalah, maruah mereka tetap dijaga. Hal ini demikian kerana, puteri Raja Culin, iaitu Tuan Puteri Onangkiu yang terlalu amat baik parasnya, dipersembahkan kepada Raja Syulan, lalu diambil baginda sebagai isteri.

Melalui diplomasi budaya, peperangan antara negeri (benua) dapat dielakkan, yang jika tidak, pasti membawa malapetaka yang amat dahsyat. Dalam Sejarah Melayu, kita diberitahu bahawa Raja Culan, cucunda Raja Syulan merancang untuk menyerang Benua China. Baginda menghimpunkan rakyat dengan bantuan segala raja takluk baginda, yang menyediakan 1200 orang rakyat. Ketika angkatan perang Raja Culan tiba di Temasik, maka kedengaran khabar ke Benua China bahawa Raja Culan “datang menyerang kita, membawa rakyat yang tiada terpermanai.” Raja Benua China yang seakan-akan menjangkakan malapetaka yang akan menimpa tidak bertindak menyediakan angkatan tentera. Sebaliknya, cuba berhelah yang menunjukkan bahawa jarak di antara Temasik dengan Benua China amat jauh:

Maka sahut Cina itu, ‘Tatkala keluar dari Benua sekalian kami muda-muda belaka, baharu 12 tahun umur kami dan segala buah-buahan ini pun bijinya kami tanam. Sekarang kami sudah tua, gigi kami pun habislah tanggal, segala buah-buahan yang kami tanam ini pun habislah berbuah; barulah kami sampai ke mari.’

Setelah utusan Raja Culan mendengar kata Cina itu, dia pun segera kembali memberitahu baginda. Menyedari bahawa Benua China amat jauh sehinggakan “besi yang sebesar lengan pun habislah haus”, maka baginda membatalkan rancangan untuk menyerang China, dan kembali ke benua baginda. Tindakan Raja Benua China yang boleh dianggap sebagai diplomasi budaya dan bukannya “perang budaya”, iaitu dengan memalu gendang perang sekuat-kuatnya – mencabar Raja Culan – berjaya mengelakkan peperangan antara dua adikuasa ketika itu.

Dalam Hikayat Hang Tuah pula, disebut bahawa Hang Tuah mengetahui 12 bahasa, antaranya bahasa Keling, bahasa Siam, bahasa Cina, dan bahasa Jawa.

Tatkala Raja Siam bersiap sedia untuk menyerang Melaka, yang ketika itu di bawah pemerintahan Sultan Muzaffar Syah, tetapi berakhir pula dengan diplomasi budaya. Cau Pandan, anak Bubunnya yang diperintahkan menyerang Melaka tiba-tiba meninggal dunia, menyebabkan rancangan itu dibatalkan. Sultan Muzaffar Syah yang seakan-akan mahu mencabar Raja Benua Siam memerintahkan Bendahara Paduka Raja dan segala menteri, “Hendaklah tuan-tuan sekalian serta kita ke Benua Siam itu. Kehendak kita sembah pun jangan, salam pun jangan, surat kasih pun jangan.”

Namun begitu, ketika di Benua Siam, ditunjukkan diplomasi budaya, apabila salah seorang utusan Raja Melaka, iaitu Tun Telanai berdatang sembah kepada Raja Siam, “Inilah sebabnya, tuanku, Melaka tiada alah diserang Siam, kerana orang Melaka semuanya kebal-kebal.” Baginda berasa yakin dengan kata-kata itu. Sementara itu, seorang lagi utusan, iaitu Menteri Jana Putera, menyembah, “Tuanku, akan adat kami Islam, jikalau sembahyang menghadap ke matahari mati, jikalau berparang tiada beroleh menghadap ke matahari mati.” Seterusnya, Raja Benua Siam mengutus surat dengan bingkis kepada Sultan Muzaffar Syah. Baginda pula memberikan persalinan kepada utusan Siam dan membalas surat Raja Benua Siam.

Dalam Sejarah Melayu, kita diberitahu tentang hubungan antara Benua China dengan Melaka. Meskipun Benua China boleh dianggap sebagai adikuasa, rajanya yang sakit, lalu kedal semua tubuh baginda, diubat oleh beratus-ratus oran tabib, tiada juga sembuh, akhirnya memohon bantuan Melaka: air basuh kaki Raja Melaka. Dalam sepucuk surat kepada Sultan Mansur Syah, Raja Benua China, dengan rendah diri dan penuh sopan memohon pertolongan baginda:

Surat daripada paduka ayahanda datang kepada paduka anakanda. Jikalau ada hendak kasih pada paduka ayahanda akan paduka anakanda bahawa paduka ayahanda hendak minta air basuh kaki paduka anakanda.

Ditakdirkan, dengan air basuh kaki, penyakit kedal pada tubuh Raja Benua China semuanya hilang, maka baginda bertitah, “Adapun segala anak cucuku, jangan lagi berkehendakkan sembah kepada Raja Melaka, datang kepada anak cucunya, tetapi muafakat, berkasih-kasihan juga.” Bagi Sultan Mansur Syah pula, baginda tidak menunjukkan sikap sombong dan angkuh apabila Raja Benua China memohon ihsan baginda dan berjaya mengubati penyakit itu.

Dalam Hikayat Hang Tuah pula, disebut bahawa Hang Tuah mengetahui 12 bahasa, antaranya bahasa Keling, bahasa Siam, bahasa Cina, dan bahasa Jawa. Bagi Hang Tuah, penguasaan “bahasa utama” ini penting kerana beliau pernah dilantik oleh Sultan Melaka sebagai “wakil khas”. Untuk ke Benua Keling, misalnya, Tuanku Syah Alam pada mulanya melantik bendahara sebagai utusan, tetapi bendahara mencadangkan agar tuanku melantik Laksamana Hang Tuah: “Pada bicara patik, siapalah lain daripada Laksamana, kerana Laksamana tahu akan bahasa Keling, tambahan tahu perintah segala raja-raja.”

Ketika tiba di Benua Keling, surat dari Melaka disambut dan dipermulia secara besar-besaran oleh orang benua itu. Setelah surat itu dibaca oleh khatib di hadapan Duli Kisna Rayan, yang tersenyum kerana mendengar isi surat itu, lalu baginda bertitah dalam bahasa Bijaya Nagaram, bertanyakan, “Siapakah namanya utusan Melayu?” Maka, Laksamana Hang Tuah berdatang sembah dengan bahasa Bijaya Nagaram, menyebabkan Krisna Rayan, bendahara mangkubumi, segala raja, dan menteri berasa hairan.

Utusan ke Benua Keling, secara tersirat, bertujuan untuk menunjukkan “kekuatan” Melaka kepada Majapahit. Maka sembah bendahara, “Ya, Tuanku Syah Alam, pada bicara patik, baik juga tuanku mengutus ke Benua Keling pada paduka adinda itu, kerana baginda itu pun raja besar; lagi pula, tuanku berseteru dengan Majapahit; supaya adalah malu segala raja-raja akan Duli Yang Dipertuan.”

Laksamana Hang Tuah seterusnya dilantik oleh Krisna Rayan sebagai utusan ke Benua China, atas cadangan bendahara: “adapun daripada penglihatan patik, mengutus ke Benua China itu pekerjaan besar, kerana raja itu raja besar. Jikalau barang-barang orang, jangankan bertemu dengan raja itu, dengan menterinya pun tiada dapat.”

Di Benua China, Hang Tuah disambut secara besar-besaran dan diberikan persalinan dengan “sekalian pakaian itu daripada emas sepuluh akan Laksamana dan Maharaja Setia dan perak pula dua pikul akan Laksamana.” Walau bagaimanapun, setelah beberapa kali Laksamana menghadap, tidak juga dapat melihat Raja China, yang duduk di dalam mulut naga emas. Dengan itu, Hang Tuah menggunakan diplomasi budaya memberitahu menteri empat: “Adapun jika tuanku hendak berjamu sekalian orang Keling ini, orang besarnya tiada makan ikan dan daging. Sekaliannya makan segala sayur-sayur, daun kayu, dan buah kayu juga … Sayur pun tiada dikerat; beri panjang-panjang.” Dengan demikian, Laksamana Hang Tuah akhirnya dapat melihat Raja China itu, duduk di dalam mulut naga emas bersisik akan permata sembilan bagai rupanya. Laksamana berpeluang melihat baginda ketika beliau menyuap sayur kangkung ke mulutnya.

Dalam kedua-dua karya agung itu, kerap juga diadakan “jamuan diraja” untuk meraikan pembesar  asing. Minuman dihidangkan dalam piala yang bertatahkan ratna mutu manikam. Selain makanan dan minuman, dalam Hikayat Hang Tuah, dinyatakan: “Setelah sudah, maka sirih pada jorong emas dan tembaga suasa pun datanglah.” Ketika Mendam Berahi berlabuh di Tuban, “Sang Adipati Tuban dan segala orang besar-besarnya itu pun membawa makan-makanan dan sirih pinang, tebu, pisang, dan segala buah-buah akan Patih Kerma Wijaya dan Hang Tuah.” Makan sirih merupakan amalan budaya golongan istana dan masyarakat di Alam Melayu pada suatu ketika dahulu. Barangkali sirih merupakan pencuci mulut yang paling baik untuk menarik orang sama-sama duduk dengan baik dan sopan.

Beli Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu.

_________________________

Zulkifli Salleh ialah mantan Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), selain pernah menjawat tugas sebagai Ketua Bahagian Ensiklopedia, Ketua Editor Buku Sastera dan Ketua Editor Majalah di DBP. Antara hasil karyanya termasuk Idea-idea Besar Ekonomi Politik Dunia (DBP, 2019), Krisis Tidak Berhujung (DBP, 2018) dan Warung Kopi: Sejarah dan Budaya (DBP, 2021).

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi