Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangRaden Galuh membongkar pembohongan W.G. Shellabear, orientalis yang menulis semula Sejarah Melayu atau Malay Annals yang berdasarkan daripada manuskrip Sulalatus Salatin karangan Tun Sri Lanang.
Sudah tiba masanya sejarah Melayu ditulis semula dari lensa bangsa sendiri, berdasarkan fakta sahih dan bebas daripada kepentingan ideologi penjajah. Anak-anak generasi baharu Melayu berhak mengetahui sejarah yang benar dan nyata, bukan naratif penuh dusta yang telah menjajah minda mereka.
Satu lagi gambaran yang mencurigakan dan menyakitkan hati bangsa Melayu yang terdapat dalam tulisan Shellabear adalah tentang Bendahara Seri Paduka Tuan yang diberikan gambaran sebagai bendahara yang lumpuh kakinya, lantas digelar sebagai “Bandahara Tepok” yang telah berusia 90 tahun.
Bendahara Tepok telah diusung di medan perang ketika serangan Afonso de Albuquerque. Naratif ini bukan sahaja tidak masuk akal, malah menghina sistem pemilihan dan lantikan kepimpinan tinggi dalam institusi Kesultanan Melayu Melaka.
Lakaran sejarah “Bendahara Tepok” yang dicatatkan oleh Shellabear itu yang mungkin datangnya daripada salinan Blagden, merupakan satu lagi dakyah halus dalam agenda orientalis Barat untuk menggambarkan tamadun Melayu yang lemah dan cacat.
Apa yang diketahui, semua Bendahara Melaka sebelumnya, seperti Tun Raden Bagus, Tun Raden Anum, Tun Ali, Tun Perak, Tun Pepatih Putih, dan Tun Mutahir, merupakan pemimpin yang berwibawa, gagah, bijaksana, dan mahir dalam strategi ketenteraan serta diplomatik.
Prof. Shaharil Talib dalam After Its Fall: The Melakan Empire and Its Disintegration (1988) menyebut bahawa pemilihan Bendahara adalah berdasarkan ketokohan dan ketangkasan, dan bukan belas kasihan atau kuota bangsawan cacat, tua dan tepok, seperti digambarkan dalam naratif Shellabear.
Lantas, kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511 sering dilihat melalui lensa orientalis yang menyalahkan kelemahan dalaman empayar Melaka itu, termasuk naratif mengenai pelantikan bendahara yang cacat, uzur dan berusia 90 tahun. Naratif ini telah tersebar luas menerusi suntingan teks Malay Annals oleh orientalis seperti W.G. Shellabear dan C.O. Blagden.
Saya melihat bahawa naratif tersebut ialah manipulasi yang berfungsi untuk menyokong retorik “civilizing mission” atau “misi mentamadunkan bangsa liar” dalam agenda dan propaganda jahat penjajah.
Edward Said dalam Orientalism menjelaskan bagaimana Barat mencipta imej dunia Timur sebagai mundur, lemah dan tidak bertamadun untuk mewajarkan penjajahan mereka. Dalam konteks Melaka, orientalis seperti Shellabear dan Blagden telah mentafsir Sejarah Melayu dari sudut pandang kolonial, lalu menggambarkan kejatuhan Melaka sebagai akibat kelemahan dalaman seperti pemimpin tua yang tidak berupaya.
Adalah tidak logik untuk seorang sultan dalam keadaan darurat, ketika menghadapi ancaman luar seperti Portugis, melantik seorang tokoh yang uzur dan berusia 90 tahun sebagai Bendahara.
Kajian oleh Daya Negri dalam tesisnya menunjukkan bahawa Bendahara Seri Paduka Tuan atau “Bendahara Tepok” turut terlibat dalam peperangan menentang kerajaan Aru. Kenyataan Daya Negri ini menolak dakwaan bahawa Seri Bendahara Tuan ialah seorang yang lumpuh dan tidak berfungsi. Tindakan pelabelan “Tepok” ialah simbolik dan disengajakan untuk menggambarkan kelemahan, bukan berdasarkan keadaan fizikal sebenar beliau.
Shellabear telah mencampuradukkan pelbagai versi Sejarah Melayu, menjadikan teksnya hibrid dan korup, seperti yang dikritik oleh Dr. Roolvink yang melemahkan kredibiliti tafsiran Shellabear. Blagden pula dikritik kerana tidak bersikap kritikal terhadap sumber dan sebaliknya secara wewenang menyesuaikan naratif untuk menyokong ideologi kolonial.
Kajian oleh Henri Chambert-Loir dan Oman Fathurahman menunjukkan bahawa terdapat pelbagai versi Sejarah Melayu, dan tidak semuanya mengandungi naratif yang sama. Hal ini membuktikan bahawa tafsiran orientalis terhadap watak Bendahara Tepok yang berusia 90 tahun tidak semestinya mewakili naratif asal. Hal ini mungkin disisipkan, dicanangkan dan diperbesarkan, demi menyokong retorik penjajahan.
Oleh itu, menggambarkan bangsa Melayu sebagai mundur, kolot dan tidak mengenal dan sifar teknologi senjata api merupakan sebahagian daripada strategi halus kolonialisme budaya serta pendekatan penulisan Shellabear.
Shellabear serta Blagden cuba mewajarkan pendudukan, kewiraan dan penjajahan Barat secara moral dan spiritual, sekali gus menafikan kekuatan tamadun Islam di Alam Melayu.
Sudah tiba masanya sejarah Melayu ditulis semula dari lensa bangsa sendiri, berdasarkan fakta sahih dan bebas daripada kepentingan ideologi penjajah. Anak-anak generasi baharu Melayu berhak mengetahui sejarah yang benar dan nyata, bukan naratif penuh dusta yang telah menjajah minda mereka.
Terdapat pendekatan kritikal terhadap Sejarah Melayu edisi Shellabear dengan menggunakan kerangka historisisme baharu, sebagaimana yang disarankan oleh Prof. Madya Dr. Roslina Abu Bakar untuk menilai semula naratif sejarah dengan mempertimbangkan konteks budaya dan weltanschauung (pandangan alam) Melayu tulen bagi menepis tafsiran orientalis Barat.
Seperti kata sejarawan tersohor Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, “Sejarah adalah cerminan jiwa bangsa. Barang siapa yang merosakkan sejarahnya, maka binasalah jati dirinya.”
Rujukan
Albuquerque, Afonso de, 1774. The Commentaries of the Great Afonso de Albuquerque. London: Hakluyt Society.
Andaya, Leonard Y., 1975. The Kingdom of Melaka. Kuala Lumpur: Oxford University Press.
Chambert-Loir, Henri dan Fathurahman, Oman, 1997. “The ‘Long Version’ of the Sulalat al-Salatin”. New York: Cornell University Press.
Daya Negri, 2020. “The Role of Bendahara Paduka Raja” dlm. University of Porto Repository.
Kadı, Ismail Hakki dan Peacock, A.C.S, 2011. Ottoman Encounters in Southeast Asia. Oxford: Oxford University Press.
Roolvink, R., 1957. “Ulasan terhadap Suntingan Shellabear” dlm. JSTOR.
Roslina Abu Bakar, “Unravelling the Truth and Demystifying the Malay Civilisation: Reading Sulalatus Salatin with New Historicism” dlm. International Journal of Academic Research in Business and Social Sciences 12:9, 2022.
Said, Edward, 1979. Orientalism. New York: Vintage Books.
Syed Muhammad Naquib al-Attas, 1972. Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Bangi: Penerbit UKM.
Talib, Shaharil, 1988. After Its Fall: The Melakan Empire and Its Disintegration. Bangi: Penerbit UKM.
W.G. Shellabear (ed.), 1915. Sejarah Melayu: The Malay Annals.
Zakaria Ali, 2004. Teknologi Pertahanan Melayu: Sejarah dan Warisan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Baca Bahagian Pertama Refleksi |
_________________________
Raden Galuh atau Dr. Rahmat Ghazali memiliki Ijazah Doktor Falsafah dalam pengkhususan Kewartawanan Secara dalam Talian dari University of Leicester, United Kingdom. Beliau telah memenangi beberapa hadiah sayembara penulisan peringkat nasional serta merupakan penganalisis politik.