Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangGeorgetown — Novel Sigandi nukilan M. Navin yang diterjemahkan dalam bahasa Melayu telah dilancarkan dalam sesi pelancaran Buku Fixi di Georgetown Literary Festival, semalam.
Novel ini mengisahkan perjalanan seorang remaja lelaki India, Theeban yang membawa diri ke Kuala Lumpur dan menemui dunia gelap kota raya itu. Sigandi diterbitkan dalam bahasa Tamil pada tahun 2021 oleh penerbit di India, Yaavarum Publishers.
Novel ini mendapat sambutan yang baik daripada masyarakat dan pengkritik sastera di India, membuatkan penerbit Buku Fixi memilih untuk menterjemahkannya untuk pasaran Malaysia.
Novel ini diterjemahkan oleh Buku Fixi di bawah usaha Fixi Lingo yang mengambil inisiatif menterjemahkan novel-novel Malaysia dalam pelbagai bahasa dalam bahasa Melayu, tanpa ditajai oleh mana-mana agensi kerajaan.

Navin mengutarakan perasaan amat teruja dengan pelancaran novel terjemahannya.
Menurut Navin, Sigandi merupakan antara novel yang terawal diterjemahkan dalam bahasa Melayu.
“Sebelum ini, ada juga beberapa penulis India yang menterjemahkan hasil penulisan mereka secara kecil-kecilan melalui usaha mereka sendiri, dengan membelanjakan duit mereka sendiri,” ujar Navin.
Sebagai contoh, novel Sangkar Saksi yang dikarang oleh Mathialagan Muniandy dan diterbitkan pada tahun 2021 merupakan novel Tamil Malaysia yang turut diadaptasi dan diterjemahkan dalam bahasa Melayu.
Novel tersebut telah diterjemahkan oleh Kamala Udayan pada tahun 2022 dan diterbitkan sendiri oleh penulisnya.

Seterusnya, Navin berharap agar usaha terjemahan ini akan terus memajukan bidang penterjemahan sastera tempatan dan memberikan pelbagai warna dan suara kepada kesusasteraan Malaysia.
Menurut beliau, Sigandi diterjemahkan oleh Saravanan Satianandan, seorang guru bahasa yang berkhidmat di sebuah sekolah rendah. Beliau sudah beberapa kali menterjemahkan cerpen Tamil M. Navin dalam bahasa Melayu dan amat memahami lenggok dan nuansa bahasa rakannya itu.
“Saya memang amat berpuas hati dan gembira dengan hasil terjemahan Saravanan kerana jelas beliau telah memberikan komitmen 100% dalam usaha penterjemahan novel ini,” sambung Navin.
Pelancaran Sigandi dirasmikan oleh YBrs. Encik Amir Muhammad, pengasas Buku Fixi.
Pelancaran ini turut dibarisi oleh beberapa judul terbaharu Buku Fixi, iaitu novel jenayah Inggeris Big Trouble in Little Paradise oleh Nathaniel Sario, kumpulan cerpen Inggeris Bone Weight and Other Stories oleh Shih-Li Kow, dan novel Gula oleh penulis Indonesia Nuril Basri.