9 Disember 2022, 17:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

George Town – Sebuah cerita rakyat Kelantan, Dewa Pechil mendapat ruang dalam penerbitan kontemporari baru-baru ini apabila Patricia Hardwick bersama rakan penyelidikannya daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerbitkan sebuah naskhah, iaitu Dewa Pechil: A Mak Yong Tale Told by Ali bin Ibrahim.

Dewa Pechil merupakan sebuah kisah mak yong. Naskhah baharu terbitan UPSI Press ini merakamkan dan menceritakan semula apa yang disampaikan oleh Ali bin Ibrahim, pemilik nama yang besar dalam tradisi budaya Kelantan dan penglipur lara seni mak yong. Selain daripada penceritaan semula itu, naskhah ini lahir dengan nafas uniknya yang tersendiri.

Dalam acara George Town Literary Festival (GTLF) baru-baru ini, Patricia Hardwick berkongsi perihal ilustrasi unik dan menonjol Kamal Nawie dalam naskhah Dewa Pechil: A Mak Yong Tale Told by Ali bin Ibrahim dalam sebuah sesi iaitu “Citra dan Kata”. Sentuhan Kamal Nawie yang luar biasa itu mendapat perhatian sehingga dijemput pihak GTLF untuk menceritakannya dengan lebih rinci.

Sejurus selepas sesi tersebut, Dewan Sastera mengambil peluang untuk mendapatkan sedikit pencerahan tentang naskhah ini.

Dalam Dewa Pechil: A Mak Yong Tale Told by Ali bin Ibrahim, setiap baris ayat telah disalin semula melalui pengucapan dan rujukan naskhah yang telah disiapkan oleh Mohd Hafiz Mohd Razali pada tahun 2005. Patricia berkongsi,

Saya dan Fara Dayana bersama-sama menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Maka cerita rakyat Dewa Pechil ini disampaikan, dirakam dan diolah kepada tiga bahasa, iaitu bahasa Inggeris, bahasa Melayu baku dan bahasa dialek Kelantan.

Dengan tiga bahasa dalam satu naskhah, maka khalayak sasarannya menjadi lebih luas. Penerbitan buku ini juga hadir dengan usaha untuk memasarkannya kepada pasaran antarabangsa.

Penulisan dialek Kelantan merupakan antara cabaran yang dikongsikan kepada Dewan Sastera apabila disoal perihal pemilihan tiga bahasa itu. Ujar beliau,

Ada yang tanya kenapa letakkan dialek Kelantan sedangkan sudah ada bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Bukankah terbitan ini untuk pasaran antarabangsa? Kita terbitkan buku ini untuk memberi ruang kepada masyarakat untuk menikmati cerita mereka. Cerita ini diambil daripada orang Kelantan dan dipulangkan semula kepada orang Kelantan.

Tambahnya, agak sukar untuk mendapatkan bahan-bahan rujukan bertulis dalam dialek Kelantan. Dengan sedikit isyarat kecil kepada Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menerbitkan lebih banyak lagi buku dalam dialek Kelantan, Patricia menegaskan, masih banyak lagi cerita-cerita rakyat Kelantan yang boleh diterokai dan dihidupkan semula.

Melalui buku ini juga beliau menggunakan kaedah tulisan rumi (terdapat idea untuk menggunakan tulisan Jawi, namun menangguhkannya kepada projek akan datang) untuk menulis dalam dialek Kelantan. Oleh itu, tulisan ini khususnya akan dapat dibaca oleh penutur bahasa Melayu di samping penutur dialek Kelantan sendiri.

Dalam menulis teks dialek Kelantan, Patricia dibantu beberapa pihak daripada orang Kelantan sendiri. Mereka yang membantu tersebut mendengar, menasihati, dan memberi kaedah yang betul berkaitan gaya pengucapan dan penulisan dialek Kelantan yang digunakan. Beliau merumuskan,

Saya percaya dengan meletakkan dialek Kelantan dalam karya ini, ia bukan sahaja menimbulkan makna tersendiri buat orang Kelantan, tetapi juga akan memberi ruang kepada dialek itu sendiri untuk lebih mudah dirujuk dan difahami oleh orang luar.

Dalam sesi perkongsian tersebut, Patricia turut berkongsi sebab pemilihan beliau untuk tidak meletakkan nilai dan pengajaran kisah di hujung cerita. Kenyataan ini menjelaskan pendirian beliau terhadap peranan cerita rakyat. Jelasnya,

Pihak penerbit juga ada meminta kita menyenaraikan nilai dan pengajaran di bahagian belakang buku, tetapi kami menolak. Itu merupakan kelaziman dalam buku pendidikan, buku kanak-kanak malah buku ilmiah. Namun cerita rakyat merupakan cerita yang bergerak dan beralun dalam kalangan masyarakat pelbagai usia daripada kanak-kanak sehinggalah dewasa. Apa yang menariknya, walaupun berbeza pemahaman antara suara dan generasi, tidak pula ia menghalang mereka terutamanya anak kecil untuk memahaminya. Kitaran dan penglibatan cerita rakyat luas.

Beliau merasakan dengan menyenaraikan senarai rumusan dan pengajaran di hujung cerita, maka peluang pembaca untuk menyerap makna naskhah itu secara semula jadi akan tersekat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.