16 Mei 2023, 15:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jerantut – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Penyelidikan Sastera (BPS) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA), Daerah Jerantut, Pahang telah melaksanakan penyelidikan dan pengumpulan cerita rakyat Orang Asli Suku Kaum Bateq Siri Kedua pada 10 hingga 11 Mei 2023 di Perkampungan Orang Asli Sungai Tabong dan Kampung Jeram Dedari, Kuala Tahan, Jerantut, Pahang.

Pada 8 hingga 9 Mac yang lalu, kumpulan penyelidik dari BPS telah melaksanakan kajian lapangan yang sama, tetapi bertempat di perkampungan Orang Asli yang berbeza, iaitu di Kampung Kuala Atok dan Kampung Sungai Yong.

Melalui kajian lapangan tersebut, kumpulan penyelidik berjaya merakam sebanyak 10 buah cerita rakyat suku kaum Bateq. Kebanyakan cerita yang berjaya dikumpul pada siri pertama tersebut berkisar tentang adat, budaya, pantang larang dan kepercayaan.

Kumpulan penyelidik tekun mendengar cerita lisan yang sedang dituturkan.

Berdasarkan hasil kajian lapangan siri pertama tersebut, kumpulan penyelidik mengorak langkah untuk terus mengumpulkan lagi sastera lisan yang ada dalam kalangan Orang Asli suku kaum Bateq.

Fokus penyelidikan ini adalah untuk mengumpulkan dan mendokumentasikan cerita rakyat Orang Asli suku kaum Bateq sekali gus memulihara khazanah warisan daripada hilang ditelan zaman.

Kumpulan penyelidik BPS, DBP yang sekarang giat melakukan penyelidikan dan pengumpulan cerita lisan.

Kumpulan penyelidik yang terlibat ialah Encik Saifullizan Yahaya (Ketua Bahagian BPS), Puan Fathenwan Wan Mohd Nor, Encik Shoffi Sukamin, dan Puan Muzdalifah Izzati Mansor. Turut serta ialah pegawai JAKOA Daerah Jerantut, iaitu Encik Asyraf Naim Ying, Puan Surianti Ismail dan Encik Mohamad Asrul Izam Omar @ Bahari.

Pada awalnya, melalui pengamatan, kumpulan penyelidik mendapati tidak ramai penutur cerita dalam kalangan suku kaum Bateq di Sungai Tabong dan Jeram Dedari. Malahan, golongan muda mereka seolah-olah tidak berminat untuk mewarisi khazanah warisan leluhurnya. Ujar Kamal, salah seorang penduduk Kampung Sungai Tabong:

Kami tidak pernah mengambil tahu apa yang dilakukan oleh orang tua kami dahulu. Apa yang kami tahu, kami perlu belajar untuk menguruskan diri sendiri.

Tambah Tok Batin mereka, iaitu We A/L Bumbai:

Saya juga tidak pernah mendengar cerita-cerita rakyat yang dipertuturkan oleh nenek moyang atau ibu bapa saya. Saya hanya mewarisi cara perawatan menggunakan herba-herba yang terdapat di hutan sahaja.

Walau bagaimanapun, kumpulan penyelidik berjaya memperoleh cerita rakyat berunsur jenaka. Berdasarkan kajian lapangan lepas, penutur cerita banyak berkongsi atau bercerita perihal yang lebih dekat dengan unsur alam.

Namun, uniknya pada kali ini, cerita jenaka yang diperoleh mempunyai nilai pemikiran serta gambaran keseluruhan kehidupan Orang Asli Bateq yang jarang-jarang ditonjolkan dan dikongsi kepada para penyelidik.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.