Oleh Suyuthi Yusuf
10 September 2023, 08:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Mahizan Husain, Sasterawan Negeri Pulau Pinang 2023.

Seberang Jaya – Mahizan Husain, penerima Anugerah Sasterawan Negeri Pulau Pinang 2023 menyatakan bahawa anugerah yang diterima oleh beliau merupakan kemuncak kepada perjalanan kepengarangannya dalam dunia sastera tanah air.

Kepengarangan beliau dalam tempoh tiga dekad sejak dari tahun 1990-an lagi membuktikan kewibawaannya sebagai sasterawan yang gigih, cekal dan produktif. Menurut ulasan panel penilai Anugerah Sasterawan Negeri Pulau Pinang 2023 terhadap beliau,

Dalam perkembangan kesusasteraan Melayu, kepengarangan Mahizan Husain dalam ranah sastera itu jarang diperhatikan. Keberadaannya jauh dari pusat kota, tempat tumpuan pelbagai kegiatan kesusasteraan berlangsung meriah seperti menjarakkan beliau daripada perhatian khalayak dan peneliti sastera.

Mahizan Husain menerima anugerah Sasterawan Negeri Pulau Pinang daripada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak.

Ketika mengulas tentang karya-karyanya yang meliputi pelbagai genre, panel penilai menyatakan bahawa penguasaan Mahizan Husain terhadap kepelbagaian teknik dan strategi naratif untuk menggarap pelbagai persoalan dan subjek telah membuktikan kreativiti dan kerajinannya yang progresif dan dinamik.

Mahizan Husain ketika ditemu bual oleh wartawan JendelaDBP, menyatakan bahawa anugerah tersebut bukannya sebagai pengiktirafan kepada dirinya semata-mata, tetapi juga untuk pejuang seni dan sastera negeri Pulau Pinang.

Saya berharap agar anugerah ini akan diteruskan lagi untuk menjadi semangat kepada para penulis kelahiran Pulau Pinang. Anugerah ini juga bukan untuk sejarah bagi diri saya sahaja, tetapi juga untuk penulis lain.

Bagi projek penulisannya yang terbaharu, beliau sedang menyiapkan sebuah novel remaja yang akan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Ketika ditanya tentang ciri atau kriteria yang perlu ada dalam diri seorang penulis, beliau menjawab,

Hendak jadi penulis kena berani. Berani dikritik, berani ditolak, dan berani menghadapi berbagai macam dugaan dalam dunia penulisan. Hanya keberanian yang mampu membuatkan saya bertahan selama 20 tahun lebih sebagai penulis sepenuh masa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.