Diterbitkan pada 16 Mei 2026, 08:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program wacana kesusasteraan yang dikatakan begitu aktif sekitar tahun 90-an sehingga 2000 kini dilihat semakin berkurangan dan perubahan itu dianggap sebagai amat membimbangkan terhadap perkembangan sastera tanah air.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari berkata, tanpa pewacanaan yang berterusan, karya sastera akan dilupakan begitu sahaja dan masyarakat kehilangan peluang untuk menerima manfaat serta pemikiran daripada karya berkenaan.

Oleh itu, beliau menyarankan agar wacana kesusasteraan dipertingkatkan semula bagi memastikan kepentingan dan kedaulatan bahasa, sastera dan budaya kekal terjamin sepanjang zaman.

Katanya, bahasa dan sastera merupakan antara asas penting ketamadunan sesebuah bangsa dan negara yang merangkumi pelbagai aspek budaya, adat resam, ekonomi, siasah, termasuk teknologi.

“Kalau di negara luar, mereka sentiasa mengangkat kedaulatan bahasa, sastera dan budaya mereka. Mereka rakamkan segala hasil karya tokoh mereka dalam bentuk muzium, nama jalan dan sebagainya.

“Tapi kelekaan kita ialah kononnya ingin maju tetapi lupa akan kepentingan bahasa, sastera dan budaya,” katanya semasa berucap merasmikan majlis Pelancaran Buku Siri Tokoh Puisi dan Wacana Karya Tokoh Puisi yang bertempat di Sudut Karyawan (Stor Teater) DBP, semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Hazami mencontohkan ketamadunan Greek yang berkembang melalui budaya wacana zaman keagungan tokoh falsafahnya seperti Socrates, Plato dan Aristotle.

Katanya, hasil daripada wacana tersebut, maka timbulnya ilmu yang pelbagai, dan apabila karya mereka terus dibincangkan oleh generasi intelektual berikutnya, maka ilmunya terus berkembang sehingga hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, pentingnya berwacana bagi menghidupkan, sekali gus meletakkan kembali peranan bahasa dan sastera dalam pembangunan sesebuah tamadun bangsa dan negara.

“Bukan sekadar satu mata pelajaran yang diajar untuk faham apa itu tema, apa itu watak, apa itu dialog, apa itu latar, dan apa itu persoalan.

“Bukan itu, tetapi yang penting ialah apa yang dihasilkan oleh seseorang penulis yang perlu kita jana dan kembangkan,” tegasnya.

Tambahnya, karya yang diwacanakan akan terus hidup, manakala pengarangnya akan sentiasa diingati selain percambahan dari segi pemikiran akan meningkatkan mutu karya yang berikutnya.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, DBP turut mengalu-alukan syarikat-syarikat berkaitan yang berminat untuk bekerjasama bagi menjayakan wacana ilmu yang bermanfaat ini, walau dalam skala yang kecil.

“Tidak perlu memikir dalam skala yang besar. Buat besar sekadar untuk memeriahkan majlis tidak ada maknanya.

“Tetapi jika hari ini hadir 40 orang dan balik, berusaha untuk menghasilkan sesuatu, itulah yang lebih bermakna,” tambahnya.

Kredit Foto: Syafiq Selamat
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi