Muhammad Haziq bin Noor Affandi .
Diterbitkan pada 24 Ogos 2025, 17:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terus mempergiat usaha melahirkan penulis baharu yang berpotensi dalam memperkasakan kesusasteraan Melayu serantau, di samping memperkukuh peranan alumni Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) sebagai pemangkin jaringan sastera merentas negara yang mampu menjulang bahasa dan budaya Melayu ke tahap lebih tinggi.

Menurut Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari, alumni MASTERA perlu memainkan peranan utama dalam menggerakkan penghasilan dan penyebaran karya sastera yang bermutu yang akan menjadi asas penting bagi memperkukuh kedudukan kesusasteraan Melayu pada peringkat serantau.

“Saya menyeru agar alumni MASTERA terus bersemangat dalam memartabatkan bahasa dan kesusasteraan Melayu, bukan sahaja sebagai tonggak kebudayaan, malah sebagai ejen perubahan yang mampu memperkukuh perpaduan serta membina jaringan serantau yang erat demi kelestarian warisan bangsa,” jelas beliau ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dalam program Semalam bersama dengan OPERA “Ingatan kepada Zaen Kasturi” di Dewan Bankuet, Menara DBP, malam tadi.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, YBrs. Dr. Hazami Jahari ketika menyampaikan kata alu-aluan dalam program Semalam bersama dengan OPERA “Ingatan kepada Zaen Kasturi” di Dewan Bankuet, Menara DBP.

Dalam majlis tersebut, YBrs. Dr. Hazami Jahari yang turut merangkap Pengerusi MASTERA Malaysia mengingatkan Kumpulan OPERA agar membuat persiapan awal untuk menerbitkan sebuah kumpulan puisi.

“Karya tersebut akan dibukukan dan dilancarkan dalam Majlis Pelancaran Hari MASTERA yang bakal berlangsung di Kuching kelak sebagai lambang penghargaan terhadap seni puisi dan usaha untuk mengangkat martabat karya sastera tempatan ke persada serantau,” ujar YBrs. Dr. Hazami Jahari.

Momentum sambutan ini turut diperluas ke peringkat antarabangsa apabila Singapura dipilih sebagai tuan rumah persidangan besar serantau MASTERA.

Persidangan tersebut bakal menghimpunkan sasterawan, ahli akademik dan penggiat seni dari negara anggota yang akan memberikan tumpuan kepada usaha memperkukuh kedudukan sastera Melayu dalam konteks global.

Selari dengan hal itu, DBP menerusi Bahagian Promosi dan Pengikitirafan akan terus mempergiat usaha pencarian bakat baharu yang berpotensi untuk digilap agar berpeluang diiktiraf sebagai Sasterawan Negara pada masa hadapan sebagai usaha meneruskan legasi dan memperkasakan dunia kesusasteraan Melayu dalam kalangan alumni MASTERA.

“Inisiatif ini juga bertujuan untuk membuka peluang kepada penulis muda untuk berkembang dan menyumbang karya bermutu yang mampu memperkaya khazanah sastera negara serta mengukuhkan identiti budaya bangsa,” tambah beliau lagi.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengerusi Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Anwar Ridhwan; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai; Encik Zaen Kasturi; ketua bahagian DBP; dan karyawan DBP.

Kredit Foto: Mohd Farid Januddin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi