Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 28 Jun 2025, 17:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari mencadangkan agar gagasan Puisi Esei MADANI menjadi satu wacana sastera yang tidak hanya merayakan bentuk, tetapi memperjuangkan nilai secara mendalam.

Menurut beliau, Puisi Esei MADANI bukanlah suatu genre baharu, sebaliknya hasrat baharu dalam penulisan puisi yang berupaya menyuburkan masyarakat yang mampu berfikir, berasa dan bererti dalam semangat kebersamaan bahasa Melayu se-Nusantara.

Melalui kekuatan bentuk yang dimilikinya, puisi esei menjadi “gerbang” yang tepat untuk merealisasikan cita-cita wacana puisi esei ASEAN, iaitu Puisi Esei Mengikat Kebersamaan, Merangkul Perbezaan.

“Puisi esei merupakan genre puisi kontemporari yang menggabungkan unsur puitik dan estetik, yakni penyampaian yang penuh perasaan dan refleksi yang bersifat kritikal,” ujar beliau ketika membentangkan kertas kerja utama yang bertajuk “Puisi Esei Mengikat Kebersamaan, Merangkul Perbezaan” dalam Program Wacana Puisi ASEAN 2025 di Hotel Horizon pagi semalam.

Selain itu, beliau menjelaskan bahawa genre ini bukan puisi yang memaparkan perasaan atau esei yang kering rasional semata-mata, tetapi merupakan gabungan kedua-duanya dalam bentuk penulisan yang bersifat wacana.

“Di sinilah genius puisi esei, yakni sebuah ruang hidup bahasa yang mempertemukan rasa dan akal, pemikiran dan estetika bahasa Melayu sebagai bahasa Nusantara suatu ketika dahulu dan kini menjadi bahasa pengucapan lebih 300 juta jiwa di rantau ASEAN,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai hubungannya dengan kerangka Membangun Negara MADANI, puisi esei merupakan suatu respons budaya terhadap kerangka MADANI yang berpotensi untuk dikembangkan pada peringkat serantau, selain berperanan sebagai alat sastera.

Tambah beliau, “Selaras dengan visi MADANI yang mahu merakyatkan dasar dan nilai, puisi esei mampu menjadi medium yang efektif dalam memasyarakatkan pemikiran secara menyeluruh.”

Dalam konteks ini, puisi esei menyerlahkan rukun Daya Cipta dalam MADANI dengan membebaskan puisi daripada bentuk lama yang kaku tanpa mengabaikan nilai luhur sastera melalui gaya penyampaian yang bebas tetapi tetap teguh dari segi pemikiran.

Jelas beliau, melalui puisi esei, penyair memberikan respons terhadap pelbagai isu kontemporari, termasuk ketidakadilan sosial, kegelisahan etnik, krisis iklim dan memori penjajahan dalam bahasa yang puitis sejajar dengan semangat inovasi dalam sastera yang membangunkan naratif melalui reka bentuk baharu, segar dan berakar.

“Sebagai contoh, puisi esei yang mengangkat sejarah mogok buruh dan pengusiran petani miskin dari tanah rizab bukan sekadar catatan nostalgia tetapi merupakan seruan dari masa lalu untuk menegakkan keadilan pada masa hadapan,” ujar beliau.

Malah, rukun Hormat dan Ihsan dalam MADANI telah menjadi landasan pada puisi esei bersifat estetik, lantas membuka ruang untuk menyuarakan perbezaan secara beradab dan membina kesejahteraan bersama.

Lantaran itu, penyair puisi esei mampu mengkritik naratif besar yang berkaitan dengan agama, bangsa dan kenegaraan dalam nada yang reflektif, sarkastik, simpatik atau melankolik yang menggugah pemikiran.

“Penyair puisi esei hari ini bukan sekadar pemuja kata tetapi jurutera jiwa kolektif yang menyusun naratif baharu, menghidupkan sejarah kecil dan menyoal takrif pembangunan dan kemanusiaan sejagat,” tegasnya.

Tambah beliau lagi, dalam dunia pascakebenaran dan ledakan media sosial yang sering menghancurkan kehalusan bahasa, puisi esei hadir sebagai peringatan kepada masyarakat bahawa perbezaan tidak semestinya memecahbelahkan, bahkan boleh merapatkan jurang fahaman dan memperkukuh benteng kemanusiaan.

Dr. Hazami berkata, bentuk penyampaian puisi esei kini perlu berkembang merentas pelbagai platform seperti video, animasi, catatan media sosial, dan persembahan pentas yang penuh dengan warna, dan tidak seharusnya terikat pada medium kertas dan cetakan semata-mata.

“Bentuk penyampaian ini bukanlah suatu usaha yang merendahkan seni sastera, tetapi merupakan ikhtiar untuk mendekatkannya kepada masyarakat, khususnya generasi baharu yang kita hargai.”

Sementara itu, program Wacana Puisi Esei ASEAN 2025 merupakan sebahagian daripada pengisian kegiatan bersempena dengan Festival Puisi ASEAN ke-4 dan Sambutan Ulang Tahun DBP ke-69 di Sabah selaku tuan rumah pada tahun ini dengan tema “Obor nan Abadi”.

Turut hadir dalam sesi pembentangan kertas kerja utama tersebut ialah Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (Bahasa), YBhg. Datuk Jasni Matlani; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai; Pengarah DBP Cawangan Sabah, YBrs. Puan Jennitah Noordin, Ketua-ketua Bahagian DBP, Ketua-ketua Editor DBP, karyawan DBP, wakil-wakil persatuan, serta para penggiat sastera dari rantau ASEAN.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi