Oleh Karmila Azmi
23 Mei 2023, 19:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Adakah Hadiah Puisi T. Alias Taib yang bakal diumumkan pada 26 Mei ini bakal memecahkan dominasi penulis muda? Hal ini tidak mustahil jika disandarkan pada peningkatan jumlah penyertaan yang mendadak daripada kalangan penulis mapan dan berusia.

Jumlah penyertaan yang mendadak itu mengimbangi penyertaan penulis muda dan baharu yang sebelum ini lebih dominan. Malah, agak mengejutkan, urus setia turut menerima penyertaan yang banyak dari negara jiran, khususnya Indonesia dan Singapura, sekali gus menjadikan persaingan edisi kali ini lebih sengit.

Hadiah Puisi T. Alias Taib dimulakan sejak tahun 2018 oleh Penerbitan Kata-Pilar dengan kerjasama laman web Tukang Puisi. Pada peringkat awal, sayembara ini dinamakan sebagai Sayembara Puisi Kata-Pilar. Walau bagaimanapun, sayembara ini dijenamakan semula dengan dikenali sebagai Hadiah Puisi T. Alias Taib sebagai penghormatan kepada tokoh puisi tanah air, Allahyarham T. Alias Taib bermula tahun ini.

Penganjuran sayembara ini terhenti pada tahun 2022 gara-gara COVID-19, dan kali ini dijangka menggegarkan landskap sastera tanah air dengan barisan pemenangnya.

Untuk rekod, pusingan akhir hadiah puisi edisi pertama ini diadili oleh penerima SEA Write Award 2011, S.M. Zakir sebagai ketua juri. Panel juri lain termasuklah Datuk Dr. Ramzah Dambul, Ainunl Muaiyanah Sulaiman, Fahd Razy, dan Rasydan Fitri, dengan Arif Zulkifli sebagai sekretariat pertandingan.

Sepanjang tiga bulan penyertaan dibuka, 170 manuskrip diterima yang kemudiannya melalui beberapa peringkat saringan sebelum 29 manuskrip disenarai pendek ke penilaian akhir.

Menurut juri, penilaian manuskrip mengambil kira dua aspek utama, iaitu penelitian terhadap kekuatan setiap puisi secara satu per satu dan juga kekuatan manuskrip secara menyeluruh.

“Kekuatan menyeluruh merangkumi dari segi keseragaman konsep, pemilihan dan susunan keseluruhan puisi dalam manuskrip.

“Pertimbangan juri juga menjadi sengit dan berbelah bahagi antara manuskrip yang membawakan gaya konvensional tetapi kemas bahasa dan estetikanya dengan manuskrip yang lebih bersifat eksperimental dan menawarkan pembaharuan dalam pengucapan puisinya,” katanya.

Jadi, siapakah lima pemenang yang bakal diumumkan pada 26 Mei nanti di pentas utama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia?

Adakah hadiah sastera ini tetap didominasi oleh penulis muda dan baharu atau mungkinkah penulis mapan kembali mengasah taring dan menguasai pentas Hadiah Puisi T. Alias Taib? Kita nantikan pada 26 Mei ini.

Majlis ini yang dijadualkan akan disempurnakan oleh Sasterawan Negara ke-10, Datuk Dr. Anwar Ridhwan yang menawarkan bakal pemenang dengan hadiah awalan royalti sebanyak RM1500, sebuah trofi, serta penerbitan oleh Penerbitan Kata-Pilar.

Barisan finalis pula akan menerima awalan royalti RM700, trofi, serta karya juga bakal diterbitkan.

Penganjuran Hadiah Puisi T. Alias Taib ini diharap dapat merancakkan lagi penghasilan karya puisi yang bermutu, dan dalam masa yang sama menanamkan minat generasi baharu terhadap karya sastera dan puisi.

Senarai pendek manuskrip yang dinilai pada pusingan akhir Hadiah Puisi T. Alias Taib 2023 adalah seperti yang berikut:

Menjadi Para Hal Kecil

Sesekali Berpaling

Suara yang Tumpah di Lantai

Bunga Anggerik di Belakang Mulai Mekar, tetapi Epal Masih Tidur

Kabin Tepi Tasik

Sajak-sajak Bergelandangan

Asal Muasal Asu

Bunga Bengkok di Dadamu

Sebilah Kunci Kamar Mimpi

Perempuan di Tubuhku

Keberangkatan

Jendela yang Enggan Tertutup

Purnama di Daun Basah

Tubuh Sebuah Rumah

Urna Manusia, dan Oyen Melukis Sinekdok

Empat Musim di Bibir Emak

Cuma Hantu

Celup Tepung

Hutan Ayah

Kembara di Negeri Belantara

Tentang Hujan

Ikarus di Langit Cita

Antologi Pemetaan Trikromatik

Dosa-dosaku Diikat Jamin Tuhan

Waktu yang Bermata Peristiwa

Bangunlah Mel, Matahari Masih Belum Menjadi Milik Orang Lain

Renjana Retrospeksi

Pasport

Tidurlah Sayang, Biarku Jaga Malam

Kredit Foto: Pawel Szymankiewicz/Unsplash dan Kata-Pilar

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.