Oleh Suyuthi Yusuf
14 Oktober 2023, 18:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Penyair Nusantara mengutuk kekerasan Israel dan mendesak agar keamanan segera tercapai,” tegas YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) semasa Sidang 2: Ucaptama sempena Pertemuan Penyair Nusantara Ke-12 yang berlangsung di Hotel Grand Campbell, pada pagi tadi.

Sidang kedua tersebut bertemakan “Peranan Puisi dalam Pergolakan”. Sasterawan Indonesia, Maman S. Mahayana turut sama menjadi ahli panel dalam sesi tersebut yang dikendalikan oleh Datuk Zainal Abidin Borhan, Ketua Satu GAPENA.

YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ketika menyampaikan ucaptama sempena Pertemuan Penyair Nusantara Ke-12.

SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan juga mengusulkan agar perkara tersebut dimasukkan dalam resolusi pertemuan tersebut selain menyentuh agar persempadanan dua negara tersebut dibuat kembali seperti persempadanan 1967. Jelasnya lagi,

Saya juga selaku PLP DBP menyarankan agar sebuah buku antologi sajak khas segera dibuat dengan kerjasama DBP, PENA dan GAPENA yang mengumpulkan sajak-sajak berkaitan dengan konflik di Palestin.

Dalam ucaptama yang sama juga beliau menyentuh tentang peranan puisi dalam mendepani pergolakan, kekacauan dan kekalutan dalam masyarakat dan negara. Baginya, segala pergolakan tersebut meliputi pelbagai aspek seperti aspek politik, ekonomi, sosial, kebudayan dan sebagainya.

Beliau juga mengisarkan hal tersebut dengan menyentuh tiga buku antologi puisi, iaitu buku Antologi Sajak Teluk Gong, Antologi Puisi Keranda 152, dan Antologi Puisi dari Derita Bangsa.

Selanjutnya, beliau juga menyatakan bahawa penyair yang menulis puisi pergolakan boleh dibahagikan kepada dua golongan, iaitu penyair bersuara lantang dan keras yang sanggup mengambil apa-apa jua risiko, dan kedua penyair yang menyaring suara lantang dengan berani menggunakan perlambangan yang pelbagai ragam dan bentuk seperti metafora, personifikasi dan lain-lainnya.

Pertemuan Penyair Nusantara Ke-12 tersebut berlangsung selama tiga hari, bermula pada 13 hingga 15 Oktober dan akan diakhiri dengan pembentangan resolusi.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.