Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSalman Sulaiman menulis tentang isu penyertaan sewaktu Pertemuan Penyair Nusantara XII pada 13–15 Oktober di Kuala Lumpur.
Ketika itu lagi saya sudah tertanya-tanya, ke mana perginya penulis muda kita? Ke mana mereka menghilang? Di manakah kelibat pengarang muda yang dikatakan ramai dan sangat membara itu?
Tubuh yang kepenatan ketika rakan sebilik – Nimoiz T.Y dan Hasmora Masnuri sudah lena tatkala jam telah hampir mencecah pukul 2.00 pagi tidak menghalang saya untuk menaip artikel ini dan membangkitkan isu penting ini.
Saya tetap mahu menulis esei ini dan memaksa juga diri yang keletihan untuk menyiapkan rencana ringkas ini kerana bagi saya isu ini penting, amat penting. Kalaulah saya tidak sayangkan ranah sastera yang telah ditekuni lebih 20 tahun ini, sudah tentu saya hanya memilih tidur daripada susah payah bersengkang mata memaksa diri memikirkan hal ini dan membuka laptop yang lembap dan terhegeh-hegeh hanya kerana ingin menaipkan, dan menyiapkan tulisan ini. Jika diikutkan, rasa mengantuk sudah lama tentunya saya tidur. Barangkali sejak jam 12.00 tengah malam tadi lagi saya sudah tidur pulas di sebuah bilik pengap di tingkat 18, The Grand Campbell Hotel, Kuala Lumpur, tempat berlangsungnya program Pertemuan Penyair Nusantara XII kali ini.
Persoalan awal yang timbul sebelum saya bangkitkan hal tersebut ialah, adakah orang lain ada yang turut memikirkan apa yang sedang saya fikirkan ini? Atau orang lain langsung tidak pernah memikirkannya? Jika ada, saya gembira – alhamdulillah. Jika tidak ada, amatlah dukacita untuk sastera kita. Kenapa dukacita? Kerana, seperti yang saya katakan tadi, hal ini penting, sangat penting!
Persoalan penting tersebut ialah: di mana kelibat penulis muda kita? Mereka sedang buat apa sekarang? Dan, kenapa mereka menghilang? Mengapa mereka tidak muncul di program Pertemuan Penyair Nusantara XII kali ini? Lebih awal perlu ditanyakan ialah: kenapa tiada nama pengarang muda kita hatta walaupun seorang sebagai panel pembentang kertas kerja dalam sebuah program di peringkat Nusantara seperti ini?
Penulis muda yang saya maksudkan sudah tentu menurut ukuran dan kriteria yang diguna pakai oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ketika memilih Sasterawan Mudanya untuk diangkat sebagai Sasterawan Muda MASTERA. Anugerah yang baru saja diungguli oleh Lutfi Ishak itu menilai ketokohan pengarang yang berusia 45 ke bawah. Maka, daripada garis ukuran yang ditetapkan oleh DBP itu, bolehlah kita putuskan bahawa penulis muda dalam konteks kesusasteraan kita ialah pengarang yang berusia 45 tahun ke bawah.
Saya membangkitkan isu “ketiadaan pengarang muda” ini sudah lama, semenjak arwah Rahimidin masih hidup, iaitu sejak lebih 15 tahun lalu, seawal tahun 2007. Saya masih ingat lagi dengan jelas, ketika itu, saya dijemput oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) sebagai salah seorang panel DOM (Dialog Orang Muda) dan apabila tiba di Rumah PENA, Kuala Lumpur dari Kelantan pada hari program, saya terkejut melihat jumlah kehadiran penonton yang amat sedikit untuk majlis tersebut. Saya kecewa. Sangat kecewa. Dan, Rahimidin Zahari mendengar luahan kekecewaan saya itu dan dia menjawab, “Itu sudah perkara biasa.” Memang selalunya sekitar itulah juga jumlah kehadiran penonton semasa acara DOM yang sebelum-sebelum ini pun. “Sudah biasa macam ini,” kata Rahimidin lagi. Sedang saya, masih juga kecewa. Kecewa kerana saya datang dari jauh. Dari puncak Kelantan itu saya datang, naik bas ke Kuala Lumpur hanyalah semata-mata untuk menjadi salah seorang panel DOM, sedangkan penontonnya cuma beberapa kerat penulis sahaja, yang hanya boleh dibilang dengan jari. Ketika itu lagi saya sudah tertanya-tanya, ke mana perginya penulis muda kita? Ke mana mereka menghilang? Di manakah kelibat pengarang muda yang dikatakan ramai dan sangat membara itu?
Pada saat itu, kitaran yang nampak halus tetapi ganas ini akan terus membenamkan suara penulis muda dengan cara yang kelihatan sopan tapi sebenarnya agak kejam.
Rupanya, persoalan yang saya timbulkan 16 tahun lalu itu masih juga berterusan hingga ke hari ini. Tidak selesai-selesai pun, malah kelihatannya makin parah dan demikian membarah. Walaupun dalam masa satu dekad setengah itu, penulis dan pengarang muda tentu saja bercambah dan makin ramai yang muncul bertali arus. Namun, dalam banyak acara sastera sama ada sebagai pembentang atau peserta, tetap amat sukar juga untuk melihat kelibat penulis muda. Atau mereka hanya minat menulis dan menulis dan menulis, tanpa perlu berpersatuan dan bercampur orang?
Sejak setahun lalu ketika Hari Sastera diadakan di Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu dulu pun penulis muda tidak ada dalam senarai pembentang kertas kerja. Saya telah bangkitkan hal ini dalam esei khusus mengenainya berjudul “Kenapa dengan Hari Sastera ke-18 2022?” siaran 7 Julai 2022 di portal Dewan Sastera. Sila rujuk saja di sana. Kemudian sekitar sebulan dua yang lalu, berlangsung pula Konvensyen Penyair (KONPES) yang juga diadakan di Kelantan, iaitu di Pantai Chap, Bachok – juga para pembentangnya tidak ada langsung daripada kalangan penulis muda.
Saya bimbang kitaran kerosakan ini akan berulang 20 tahun akan datang apabila pengarang muda hari ini pula yang menguasai dunia sastera kita. Ketika itu, para penulis muda kita sekarang telah bergelar sasterawan veteran menggantikan tempat sasterawan mapan hari ini. Saat itu, mereka pulalah yang disebut sebagai penulis veteran, pengarang otai. Pada waktu itu, saya bimbang, mereka juga tidak akan memberikan peluang kepada penulis muda yang ada pada zaman mereka hanya kerana “membalas dendam” terhadap apa yang berlaku ke atas diri mereka ketika muda. Kitaran kerosakan ini kelihatannya seperti akan berulang-ulang dan berulang-ulang dek menurut aturan kebiasaan.
Ketika itu, yuran untuk mengikuti acara-acara sastera juga semakin mahal dan penulis muda kita akan terus meminggir dan terpinggir. Pada saat itu, kitaran yang nampak halus tetapi ganas ini akan terus membenamkan suara penulis muda dengan cara yang kelihatan sopan tapi sebenarnya agak kejam.
Saya menulis hal ini bukanlah kerana tidak menghormati orang tua atau sekadar mahu memanaskan bicara dan suasana program. Saya hormati pengarang veteran kita. Saya sanjung budi mereka. Tiada mereka, mana mungkin ada kita. Namun dalam masa yang sama, saya mahu penulis muda bangkit dan bersuara kerana mana-mana acara sastera yang besar dan berjaya adalah dibangunkan oleh tenaga-tenaga muda yang gagah perkasa serta bernas cerdas pula menyuarakan idea. Sastera kita tidak akan maju dan berkembang jika sasterawan dan penyair mudanya lemah, lembap dan takut untuk bersuara serta segan ingin menyampaikan idea – saya pasti itu.
Malah, seorang tokoh kepenyairan tanah air kita juga tidak ada dalam senarai nama pembentang kertas kerja. Walhal program ini mempertemukan para penyair Asia Tenggara, tapi tokoh kepenyairan kita sendiri tidak ada. Di mana Zaen Kasturi? Kenapa Zaen tidak diambil sebagai salah seorang panel pemakalah sedangkan beliau ialah salah seorang tokoh besar dunia kepenyairan Malaysia?
Kita perlu bangunkan sastera ini bersama-sama. Perlu gandingan mantap dan akrab antara pengarang lama dengan penulis muda, serta sasterawan generasi baharu juga. Bukannya kelompok dan berpuak-puak serta saling menjauhkan diri antara sesama kita. Dunia sastera kita ini bukannya luas mana pun. Balik-balik muka yang sama juga kita jumpa. Jadi, apa faedahnya bercakaran dan membina kelompok sesama sendiri yang hanya akan menyempitkan dunia sastera kita yang telah sedia sempit ini?
Saya tentu saja amat gembira dan berbesar hati jika ada mana-mana penulis muda atau pengarang generasi baharu kita yang mahu menjawab persoalan ini. Silakan, saya memang menunggu …
Kredit Foto: Salman Sulaiman
_________________________
Salman Sulaiman sudah menulis lima buah buku. Mendapat Hadiah Fasilitator Terbaik dalam Akademi Sastera Siber di Hotel Perdana, Kota Bharu pada tahun 2008. Menerima Penghargaan Karyawan Kelantan 2013. Menjadi Johan Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan 2015 dan menerima Hadiah Sastera Penulis Harapan Negeri Kelantan 2019/2020.