Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pertemuan Penyair Nusantara (PPN) XII kembali menemui peminat serantau dengan objektif menghimpunkan sasterawan nusantara dalam satu wadah kebersamaan, dan merumuskan kesepakatan untuk membangunkan persuratan pada peringkat nusantara di Malaysia pada 13 hingga 15 Oktober 2023.
Penganjur mensasarkan 200 orang peserta dan setakat ini, seramai 180 orang telah memastikan penyertaan mereka. Mengikut sejarahnya, PPN adalah acara tahunan yang lahir daripada Pertemuan Penyair Indonesia – The 1st International Poets Gathering di Medan pada tahun 2007.
Kewujudan gagasan sebegini pertama kalinya dikemuka oleh Ahmadun, iaitu pengasas Komunitas Sastra Indonesia, dan Viddy AD Daery yang ketika itu menjadi “orang kuat” pertemuan tersebut. PPN diikuti para penyair pilihan dari negara serumpun; iaitu Indonesia, Malaysia, Singapura, Brunei, dan Thailand menerusi pilihan karya. PPN yang pertama diselenggarakan di Medan, pada tahun yang sama.
Selain Ahmadun sendiri, antara sasterawan yang mengurus PPN termasuklah Sosiawan Leak, Jumari HS, Mukti Sutarman Espe, Kurnia Effendi, Chavchay Syaefullah (Indonesia), Dr. Saleeh (Malaysia), Djamal Tukimin (Singapura), Mahroso (Thailand), dan Zefri (Brunei).
Antara tujuan PPN ialah mempertemu para penyair senusantara untuk menjalinkan kerjasama kegiatan, pertukaran karya, dan berkongsi maklumat perkembangan sastera di negara masing-masing.
Semua pihak yang terlibat dalam PPN, baik penganjur mahupun peserta, dipilih terus oleh para kurator. Khusus untuk peserta terpilih, ahli jawatankuasa sebelumnya mengadakan pemilihan terbuka bagi para penyair yang berminat menyertai, dengan syarat mengirimkan karya sesuai dengan tema yang ditentukan, melampirkan portfolio atau jumlah karya, atau daftar aktiviti dalam masyarakat.
PPNXII kali ini melibatkan lima sesi sidang, bermulanya dengan Sidang 1, iaitu Forum – Mahu ke Mana Puisi Nusantara? pada 13 Oktober, pukul 3 petang. Seterusnya Sidang 2: Ucaptama – Peranan Puisi dalam Pergolakan, pada 14 Oktober, pukul 8 pagi menampilkan Sasterawan Negara (SN) ke-10, Datuk Dr. Anwar Ridhwan, dan wakil Indonesia, Maman S. Mahayana.
Kemudian, perbincangan mengenai isu ini diteruskan dalam Sidang 3: Pergelutan Puisi dalam Arus Teknologi, dan disusuli dengan isu kepesatan teknologi, bagaimanakah kewujudan atau keberadaan puisi Nusantara pada masa kini? Perkara ini akan disentuh dalam Sidang 4: Forum – Denyut Puisi di Alam Melayu pada 14 Oktober, pukul 2.30 petang.
Pada hari terakhir PPNXII, iaitu pada 15 Oktober, giliran Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka akan memberi syarahan utama mengenai: Ruang Hidup Puisi Nusantara.
Akhir sekali, perbincangan berkenaan isu ini ditutup oleh Sidang 6: Pleno – Hala Tuju Pertemuan Penyair Nusantara. Selain sidang perbincangan, PPN XII turut diisi dengan persembahan pentas, iaitu Malam Baca Puisi Nusantara I, di Dewan Sivik, MBPJ pada 13 Oktober dan Malam Baca Puisi Nusantara II di Dewan Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Wisma DBP, 14 Oktober, pada pukul 8 malam.
Untuk maklumat lebih lanjut, boleh hubungi;
Atau layari penamalaysia.com/PPNXII