23 Oktober 2023, 14:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Melaka – Memetakan sejarah hubungan intelektual bahasa, sastera dan budaya tiga buah negara – Malaysia, (Johor dan Melaka), Indonesia (Riau dan Kepulauan Riau) dan Singapura dalam Dialog Selatan kali ke-5 telah membuka banyak mata terhadap kerjasama serantau dalam memartabatkan dan melestarikan persuratan Melayu di Nusantara.

Program yang diadakan pada 20 hingga 22 Oktober lepas di Hotel Seri Costa, Melaka merupakan anjuran Gabungan Penulis Nasional (GAPENA), Ikatan Persuratan Melayu (IPM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan sokongan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Melaka (JKKN) dan Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI).

Dialog Selatan merupakan acara tradisi bagi pertemuan para penulis dari selatan Malaysia bersama-sama dengan karyawan Indonesia dan Singapura semenjak tahun 1992. Kali pertama dialog ini dianjurkan ialah di Johor Bahru, diikuti di Pekan Baru, Riau (1995), Singapura (2000) dan Batam (2015).

Negeri Melaka dipilih sebagai tuan rumah bagi pengajuran kali ini dengan tema “Serumpun Sebudaya”. Atas beberapa faktor seperti pandemik COVID-19, pertemuan para karyawan serantau ini telah terbatas. Isu birokrasi sempadan juga telah mengakibatkan hubungan karyawan antara tiga negara tidak seakrab seperti sebelumnya. Maka pertemuan kali ini dilihat berjaya meningkatkan hubungan dan semangat serumpun dalam rasa kebersamaan sebagai sebuah keluarga besar.

Datuk Zainal Abidin Borhan (GAPENA) semasa menyampaikan ucapannya.

Dialog Selatan dimulai dengan syarahan perdana “Tan Sri Ismail Hussein” oleh Tan Sri Prof. Dr. Abdul Latiff Abu Bakar selaku Ketua Satu Lembaga Bahasa Melayu merangkap Presiden DMDI. Empat sesi forum pembentangan kertas kerja tentang dialek, budaya, bahasa dan sastera telah dikupas dengan penuh rapi dan rinci oleh beberapa ahli forum yang terdiri daripada Datuk Zainal Abidin Borhan (GAPENA), Abd. Razak Adam (IPM), Mohamad Haji Musip (Persatuan Penulis Melaka), Amiruddin Md. Ali Hanafiah (Persatuan Penulis Johor), Dr. Hashim Ismail (GAPENA), Rendra Setyadiharja, Daeng Firman Afriansyah (Dewan Kesenian Kepulauan Riau), Datuk Taufik Ikram Ismail (Lembaga Adat Melayu Riau), Dr. Elmustian Rahman (Universitas Riau), YM Raja Yoserizal Zan (Kebudayaan Provinsi Riau), Abdul Samat Ali dan Suraidi Sipan (ASAS 50 Singapura).

Pembentangan pemikiran ahli forum telah meleraikan beberapa isu terutamanya tentang perbezaan dialek tempatan, penggunaan bahasa Melayu yang lebih bersifat global dan penerbitan buku-buku sastera yang mampu “dirakyatkan” oleh negara serumpun termasuk dari aspek pemasarannya kepada khalayak yang lebih luas.

Perbezaan politik dan isu ekonomi negara tetangga diharapkan tidak menjadi halangan dalam memperkukuh nilai bahasa, sastera dan budaya. Dialog Selatan mampu diangkat sebagai platform kebersamaan yang akhirnya mampu menjadi alat jalinan diplomatik.

Bersempena dengan tahun melawat Melaka pada tahun 2024, Dialog Selatan ini juga telah berjaya mempromosikan Melaka sebagai destinasi penting di Nusantara untuk dikunjungi. Penganjuran pada kali ini juga telah menyerlahkan iltizam dan semangat kerjasama dan sokongan negara serumpun dalam membina hubungan seni dan budaya merentas sempadan.

Turut hadir dalam dialog pada kali ini ialah Encik Mohd. Riduwan Wahab, Pengarah DBP Wilayah Selatan selaku wakil rasmi Ketua Pengarah DBP dan Puan Ezlina Alias, Pengarah JKKN Melaka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.