Oleh Aninah Janang
29 September 2023, 23:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Kerajaan Negeri Sabah beriltizam untuk memajukan negeri ini mencakupi pelbagai bidang termasuklah bahasa, sastera dan budaya. Hal ini dinyatakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, ketika merasmikan Hari Sastera Ke-19, di Kota Kinabalu, Sabah, pada malam ini.

Majlis yang penuh bermakna itu berlangsung di Hotel Promenade, Kota Kinabalu, dihadiri oleh ratusan hadirin yang terdiri daripada sasterawan, tokoh dan penggiat bahasa, sastera dan budaya tanah air yang berhimpun di negeri ini selama dua hari (29 September 2023 hingga 30 September 2023) untuk memberikan penghormatan seterusnya menjayakan Hari Sastera ke-19.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor ketika merasmikan Hari Sastera Ke-19, di Kota Kinabalu, Sabah.

“Pemilihan bandar raya Kota Kinabalu, sebagai tuan rumah sambutan Hari Sastera Ke-19 (2023) pastinya memberikan makna yang cukup besar kepada negeri Sabah, lebih-lebih lagi kali terakhir negeri ini menjadi tuan rumah adalah pada 50 tahun yang lalu. Saya difahamkan bahawa Hari Sastera ini buat pertama kalinya telah dianjurkan pada tahun 1972, iaitu di Kota Bharu, Kelantan. Kemudian, pada tahun 1973, Kota Kinabalu diangkat sebagai Tuan Rumah Hari Sastera Kedua. Maka itu, pada pemilihan kali kedua ini pastinya kita berasa gembira lebih-lebih lagi sambutan ini diadakan pada waktu saya menerajui tampuk Kerajaan Negeri Sabah. Sudah pasti semua ini mempunyai hikmah yang tersendiri,” ucap Datuk Seri Panglima Hajiji.

Penghargaan yang dizahirkan oleh Ketua Menteri Sabah itu kemudiannya disulami dengan iltizam kepimpinannya untuk memajukan Sabah dalam pelbagai bidang termasuklah dalam bidang bahasa, sastera dan budaya di bawah slogan Sabah Maju Jaya. Hal ini dikatakan demikian kerana menurut Datuk Seri Panglima Hajiji, kemajuan negeri Sabah bukan hanya dalam bentuk pembangunan fizikal semata-mata, tetapi mesti mengambil kira pembangunan jiwa insan berdasarkan citra budaya bangsa yang signifikan dan relevan dalam memastikan kelangsungan peradaban, bangsa dan negara.

 

Kemajuan fizikal yang sedang diusahakan di Sabah katanya mesti dilengkapi dengan nilai keinsanan dan nilai budi yang tertanam dalam akar leluhur seni warisan bangsa, seterusnya menjadi pelengkap kepada keunggulan citra warganya. Lebih-lebih lagi dalam era Revolusi Industri 4.0 yang semakin mencabar dan penuh pencaroba ini.

 

“Saya sendiri sedang memikirkan cara yang terbaik untuk kita di Sabah khususnya di Kota Kinabalu dapat membangunkan satu prasarana ketamadunan ilmu, misalnya melalui pembinaan sebuah galeri buku yang boleh dimanfaatkan dan menjadi tempat pertemuan para penulis dalam menyerlahkan kearifan tempatan dan mencitrakan tokoh-tokoh dalam pelbagai bidang di Sabah, termasuklah tokoh dalam bidang politik agar citra hidup mereka menjadi bukti sejarah dan mengabsahkan lagi sumbangan mereka kepada negeri bertuah ini,” ucap Datuk Seri Panglima Hajiji.

 Tambahnya lagi, semua usaha itu boleh diabadikan dalam bentuk buku yang suatu hari nanti boleh dipamerkan dan dipelihara dalam galeri buku berkenaan sebagai tatapan umum. Jika hal ini menjadi kenyataan, Datuk Seri Panglima Hajiji yakin hal itu bukan sahaja akan menjadi tempat pameran buku daripada penulis Sabah, tetapi akan menjadi galeri yang akan menjadi mercu tanda pelancongan ilmu serta dilengkapi dengan dewan seminar. Pada akhirnya, usaha ini akan membantu Sabah dari segi ekonomi dan meningkatkan pelancongan ilmu di negeri ini.

“Saya yakin, kegiatan bahasa dan sastera di Sabah ini akan terus menyerlah kerana kita ada badan yang bergiat aktif di sini dalam memperjuangkan bahasa dan sastera. Saya dimaklumkan bahawa mereka sering mengadakan pelbagai aktiviti dan sebagainya. Oleh itu, saya yakin negeri ini akan terus berada di landasan yang kukuh untuk menjadi sebuah wilayah yang bertamadun, khususnya melalui peningkatan tradisi keilmuan.  Oleh itu, kesudian pihak Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia, serta Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), memilih Kota Kinabalu sebagai tuan rumah Hari Sastera Ke-19 ini, amat dominan sekali dan sudah pasti akan membantu melestarikan  bahasa, sastera dan budaya di bawah slogan, Sabah Maju Jaya,” jelas Datuk Seri Panglima Hajiji.

Mengakhiri ucapan perasmiannya, Datuk Seri Panglima Hajiji  yakin bahawa usaha yang sedang dan akan digiatkan melibatkan sastera, bahasa dan budaya di negeri ini akan menjadi pemangkin kepada gagasan besar, iaitu untuk menjadikan negeri Sabah sebagai “Dataran Bahasa Sastera dan Budaya” yang penting di rantau ini.

Datuk Zainal Abidin Borhan, Presiden GAPENA.

Sementara itu, Presiden GAPENA, Datuk Zainal Abidin Borhan dalam ucapannya menyatakan bahawa Hari Sastera Ke-19 telah berjaya menghimpunkan sasterawan, budayawan, seniman, aktivis, intelektual bahasa dan sastera. Maka itu, semua pihak perlu menyedari akan peranan dan tugas yang sangat besar dalam menjadikan sastera, bahasa dan budaya sebagai pemangkin dan penggerak pembangunan kepada bangsa dan negara ini.

Hal yang demikian turut diakui oleh Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Aminah Awang Basar yang menyakini bahawa penganjuran Hari Sastera Ke-19 bukan sahaja membantu DBP dalam usaha pengantarabangsaan bahasa dan sastera, tetapi turut berjaya menghimpunkan para pengarang, penggiat bahasa dan sastera serta para sarjana untuk berkongsi ilmu dan pandangan.

Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Aminah Awang Basar.

“Hari Sastera berupaya memanifestasikan hasrat kerajaan bagi memupuk sebuah masyarakat yang bersatu-padu, sesuai dengan kerangka Sabah Maju Jaya dan Malaysia MADANI. Kita amat mengharapkan buah fikiran dan hasil perbincangan yang dirumuskan dalam program ini mampu memberikan kefahaman kepada segenap lapisan masyarakat tentang peranan dan potensi bidang sastera terhadap kemajuan negara. Untuk itu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan sekali lagi kepada Kerajaan Negeri Sabah yang menjadi tunjang dalam penganjuran Hari Sastera Ke-19 pada tahun ini, dibantu perancangan teliti oleh rakan-rakan daripada GAPENA dan BAHASA,” ucap Puan Aminah ketika menyampaikan ucapan sambutan  pada malam ini.

Sementara itu, Presiden BAHASA, Datuk Jasni Matlani pula dalam ucapannya menanam tekad dan iltizam untuk menjadikan negeri ini sebagai hab sastera di Asia Tenggara. Hal ini dikatakan demikian kerana Sabah katanya perlu mengambil peluang terhadap perkembangan di negara jiran, Indonesia yang menjadikan Kalimantan sebagai ibu negara baharu Indonesia.

Datuk Jasni Matlani, Presiden BAHASA, merangkap Ahli Lembaga Pengelola DBP.

“Perkembangan yang berlaku di Kalimantan ini pastinya memberikan peluang kepada kita untuk menjadikan negeri ini sebagai hab sastera di Asia Tenggara. Maka itu, kita perlu mempersiapkan diri kita dan membangunkan rakyat di negeri ini melalui karya sastera yang sudah terbukti menjadi asas ketamadunan dan peradaban di serata dunia,” ujar Datuk Jasni.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.