Oleh Rina Mohd Rasul
19 Oktober 2023, 17:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Anjung Sasterawan yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS) sempena Pesta Buku Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menampilkan Datuk Jasni Matlani sebagai pembicara di Perpustakaan UMS, baru-baru ini.

Beliau yang juga Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) sejak tahun 2005 menyatakan bahawa bidang penulisan mempunyai potensi tersendiri dan mampu memberikan jaminan masa hadapan kepada generasi akan datang.

Datuk Jasni Matlani sebagai pembicara dalam program Anjung Sasterawan di Perpustakaan UMS, baru-baru ini.

Malahan, beliau amat menggalakkan golongan muda untuk berkarya agar dapat memperkasakan bidang bahasa dan sastera kebangsaan.

Kalian perlu bersungguh-sungguh menangani segala cabaran dan mempunyai kemahuan untuk menjadi insan yang berjaya. Pengalaman-pengalaman yang saya lalui perlu diambil sebagai motivasi untuk kalian bergiat aktif dalam medan sastera.

Selain berkongsi ilmu sastera kepada para peserta, Datuk Jasni Matlani turut menceritakan pengalaman beliau sebagai penggiat sastera yang aktif sehingga melayakkan beliau menerima pelbagai pengiktirafan.

Antaranya Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award) pada tahun 2015 yang diberikan oleh kerajaan Thailand, Hadiah Sastera Sabah, Hadiah Sastera Perdana Malaysia,  Tokoh Persuratan dan Kesenian Islam Nusantara 2019 dan terkini, Anugerah Bakti Sastera GAPENA 2023.

Beliau kemudiannya merumuskan bahawa golongan muda yang ingin menjadi penulis perlu menghasilkan karya berkualiti menerusi budaya membaca. Amalan membaca perlu dipupuk sejak awal lagi agar generasi muda hari ini dapat bercambah menjadi generasi yang berpengetahuan.

Hal ini demikian kerana buku merupakan medium utama untuk menggali segala jenis ilmu dan menyebarkan pengetahuan kepada seluruh masyarakat.

Sementara itu, program ini  ternyata bertepatan dengan usaha memperbanyak perbincangan kritis dan ilmiah dalam kalangan masyarakat yang dapat mengukuhkan peranan sastera sebagai wadah pembangunan insan.

Penganjuran program seumpama ini diharapkan dapat menggalakkan lahirnya lebih ramai penulis muda agar medan sastera kita lebih meriah dengan pelbagai karya yang ekspresif, segar dan terbuka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.