Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKota Kinabalu– Bengkel Bimbingan Kritikan Sastera: Penelitian Estetik, dilihat berpotensi melonjakkan semula dunia kritikan kesusasteraan yang semakin lesu di Malaysia.
Program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS) dengan kerjasama Persatuan Sastera dan Budaya Sabah (PSBS) yang julung kalinya diadakan ini telah menarik minat 20 peserta untuk menyertainya pada 24 dan 25 Februari yang lalu.
Para peserta telah dibimbing oleh Dr. Mohamad Shaidan dan Encik Zainal Palit (Zaen Kasturi) dengan memberikan bimbingan awal berkenaan unsur-unsur estetika dalam karya sastera agar peserta berupaya menghasilkan esei kritikan yang berkualiti.
Sebagai pembimbing pertama, Dr. Mohamad Shaidan membuka bicara berkenaan “Estetik dan Penilaian Estetik” menyatakan bahawa keindahan bersifat subjektif kerana bergantung kepada individu yang menilainya. Ujarnya;
“Hal ini juga bergantung pada pengalaman-pengalaman berbeza yang dihadapi oleh individu tersebut sebelum menentukan sesuatu yang ditanggapi itu, indah atau tidak”.
Pembimbing seterusnya, Zaen Kasturi pula menekankan “Estetik dalam Karya Sastera”, iaitu proses memperindah kata-kata dalam karya sastera. Misalnya, “bunga yang melambai” merupakan suatu keindahan dan dapat dinikmati oleh pembaca untuk membayangkan keadaan tersebut.
Malahan, beliau menterjemahkan sesuatu keadaan kepada kata-kata dan dapat dirasakan oleh hati itu dikatakan indah, manakala sesebuah karya sastera yang memiliki nilai estetik mestilah sekurang-kurangnya memiliki empat unsur, yakni kesatuan, keselarasan, keseimbangan dan berlawanan.
Para peserta turut didedahkan dengan teori dan ciri-ciri penulisan esei kritikan berdasarkan penelitian estetik sebagai langkah permulaan sebelum menghasilkan esei tersebut.
Sebelum berakhir, Puan Jennitah Noordin, Timbalan Pengarah DBPCS, dalam ucapan perasmian yang disampaikan mewakili Pengarah, berharap segala cadangan untuk mengangkat peserta program Bimbingan Kritikan Sastera: Penelitian Estetik sebagai wajah baharu pengkritik kesusasteraan ini akan berhasil.
Beliau turut menyuarakan sokongan penuh DBPCS terhadap pelaksanaan kolokium kritikan sastera nanti sebagai anjakan untuk merancakkan lagi penulisan esei kritikan secara berilmiah dan beretika, khususnya di Sabah.