Oleh Azrin Eddy
19 Oktober 2023, 09:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – “Selain daripada plot yang menarik dan kekuatan watak dalam cerita, penulis berperanan menyajikan maklumat-maklumat tambahan kepada pembaca. Oleh itu, saya mengolah data kajian dalam bentuk kreatif”.

Demikian penjelasan oleh Encik Jamail Masador, salah seorang panel pembicara Secangkir Kopi Siri 4/2023 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS) sempena Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) dan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) Peringkat Negeri Sabah, baru-baru ini.

Beliau yang juga merupakan seorang guru,  akan menyuntik nilai budaya tempatan Sabah dalam novel. Antaranya, novel Purnama Senja. Ujarnya;

Sebagai contoh, Purnama Senja menceritakan mengenai adat istiadat pengebumian suku kaum Dusun Kimaragang.

Justeru, dengan menambahkan maklumat-maklumat yang sukar diperolehi ini amatlah membantu sesebuah novel menjadi lebih menarik. Terbaharu karya beliau berjudul Aku Ingin Menjadi Angin.

Secangkir Kopi Siri 4/2023 turut menampilkan Puan Lina Mohamed Lin membicarakan novel beliau, Kembara Dahlia.

Untuk menulis novel kanak-kanak, kita mesti selami jiwa kanak-kanak dan menggunakan laras bahasa yang sesuai dengan umur sasaran pembaca.

Beliau menggambarkan watak utama dalam novel ini, iaitu Dahlia sebagai seorang kanak-kanak perempuan yang bijak, tetapi lasak dan nakal. Perwatakan ini sesuai dengan sifat kanak-kanak yang sedang belajar melalui pengalaman hidup mereka.

Puan Lina Mohamed Lin, Penulis Novel Kanak-kanak Kembara Dahlia mengulas buku beliau dalam Secangkir Kopi Siri 4/2023 anjuran DBPCS.

Selain daripada memaparkan nilai-nilai positif seperti kasih sayang dalam watak cerita ini, beliau turut memasukkan elemen motif tempatan dalam karya beliau. Pembaca dapat mempelajari pelbagai haiwan tempatan seperti Badak Sumatera, Beruang Madu, Rusa Sambar dan Gajah Borneo (gajah pigmi).

Program ini telah dikendalikan oleh Puan Hajah Kasima Salinri. Sebanyak 50 orang peserta hadir yang terdiri daripada penulis tempatan, pensyarah dan pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, IPG Kampus Kent dan Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF), Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Penyampaian Sijil Penghargaan oleh Puan Aminah Awang Basar, Pengarah DBP Cawangan Sabah kepada Encik Jamail Masador.

Turut hadir memeriahkan program ialah Puan Aminah Awang Basar, Pengarah DBPCS, Tuan Haji Sukor Usin (Hasyuda Abadi), Sasterawan Negeri Sabah Ketiga,  Dr. Norsuhaila Sulaiman, Pensyarah Akademik ASTiF, UMS, Dr. Caroline Lorena David, Pensyarah Akademik IPG Kampus Kent, dan Puan Arbiah Maddahiri, Pensyarah Akademik IPG Kampus Gaya.

Pensyarah Akademik IPGK Kent dan IPGK Gaya bersama-sama peserta.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.