Oleh Asrar Ab Latif
2 Oktober 2023, 10:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Perkembangan sastera kebangsaan dalam era digital menjadi salah satu topik yang dibincangkan dalam Hari Sastera Ke-19 yang telah berlangsung di Hotel Promenade pada 30 September lepas.

Tirai perbincangan tersebut dibuka oleh Encik U-Wei Saari (pengarah filem) dengan pembentangannya bertajuk “Adaptasi Karya Sastera Kebangsaan ke Medium Filem”. Menerusi pembentangannya itu, beliau menyatakan bahawa salah satu sumber bahan bagi penghasil filem adalah daripada buku sastera. Setelah bahan ditentukan daripada buku sastera, maka proses memfilemkan sastera bermula.

Pengarah filem, U-Wei Saari sedang memperkatakan tentang peranan karya sastera dalam penghasilan filem.

Jelas beliau lagi, sememangnya fitrah sang peneraju utama filem adalah untuk mendapatkan cerita yang bagus. Walau bagaimanapun, filem yang cantik dan menawan sekalipun jika ceritanya tidak dapat menambat hati penonton, maka sia-sialah usaha penghasilan sesebuah filem tersebut. Hal ini kerana penonton sangat mementingkan jalan ceritanya. Oleh sebab tugas penghasil filem ialah bercerita, maka salah satu cara bagi mendapatkan bahan cerita ialah dengan membaca buku-buku cerita yang menarik. Ramai penghasil filem yang hebat sentiasa mengambil karya yang mencabar kebolehan mereka bercerita.

Mengulas tentang era digital, Encik Abdul Ghani Abu (Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, DBP) yang membentangkan kertas kerjanya bertajuk “Usaha Adaptasi Karya DBP” menjelaskan bahawa penggunaan internet telah meningkat saban tahun dengan ketara bagi perkhidmatan berkaitan aktiviti mendapatkan maklumat, komunikasi, sivik dan politik, e-kerajaan, hiburan dan e-dagang. Segala akses tersebut membuktikan bahawa medium digital kini perlu dioptimumkan bagi memperkenalkan dunia Melayu, atau Malaysiana kepada dunia luar melalui usaha mengeksport kandungan kreatif tempatan.

Encik Abdul Ghani Abu (Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, DBP) melihat peri penting media digital dalam memperkenalkan dunia Malaysiana.

Jelas beliau lanjut, dalam konteks usaha pembudayaan bahasa Melayu sebagai bahasa negara dalam kalangan masyarakat, usaha ini dilakukan dengan strategi menjajarkan program-program DBP yang seiring dengan perkembangan teknologi. Tiga usaha utama disasarkan, iaitu mengadaptasi sumber primer termasuk memanfaatkan khazanah kepustakaan Melayu dalam bentuk audio, video dan teks ke dalam pelbagai medium; mengadaptasi karya sastera, dan mengadaptasi program DBP dengan kegiatan sohor kini melibatkan bidang sukan dan rekreasi, animasi serta ekopelancongan.

Selain itu, beliau juga mendapati elemen estetika sejarah, alam sekitar dan kepelbagaian budaya merupakan kelebihan utama yang menjadi daya tarikan global manakala elemen multimedia kreatif dan teknologi maklumat pula menjadi pelengkap kepada penghasilan karya kreatif.

Puan Adibah Omar (Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku) pula memerihalkan tentang usaha untuk meluaskan akses pembacaan menerusi pembentangannya bertajuk “Naratif Buku Malaysia: Inisiatif Digital Perbukuan Nasional Demi Pendemokrasian Akses Perbukuan”. Beliau menyatakan bahawa melalui Dialog Penerbit Dunia 2021, buku masih kekal relevan dalam pembangunan ilmu pengetahuan serta pengukuhan budaya membaca. Namun, beliau juga tidak menafikan bahawa industri perbukuan juga harus turut berkembang seiring dengan transformasi pendigitalan.

Puan Adibah Omar (Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku) memerihalkan tentang inisiatif digital dalam kegiatan perbukuan.

Selainnya, beliau juga turut menyebutkan tentang “Pelancaran Kota Buku Digital Malaysia” yang telah disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri pada 27 Mei lepas, iaitu sebuah platform perbukuan digital terbesar negara yang mengumpulkan keseluruhan ekosistem industri buku termasuklah penerbitan, penulisan, penterjemahan, jualan, dagangan dan pelbagai aktiviti perbukuan secara digital.

Seterusnya, Profesor Madya Dr. Asmiaty Amat (Pensyarah Universiti Malaysia Sabah) pula membentangkan kajiannya bertajuk “Tombiruo Penunggu Rimba: Satu Kajian Teksdealisme”. Beliau mengulas bahawa pengadaptasian karya sastera terutama novel menjadi sebuah drama atau filem merupakan sesuatu yang biasa dilakukan oleh penggiat filem di Malaysia mahupun luar negara. Proses pengadaptasian ini merupakan sebahagian daripada peralihan kaedah penceritaan.

Beliau juga melihat pengadaptasian novel tersebut kepada filem dengan menggunakan pendekatan konsep teksdealisme yang diperkenalkan oleh Mana Sikana, berpaksikan kepada empat prinsip, iaitu Kehadiran, Perlanggaran, Pengukuhan dan Keunggulan. Beliau melihat bahawa segala perkara yang dianggap sebagai salah dan benar tidak lagi menjadi suatu perkara besar. Semua pengekalan dan perubahan yang diadakan dalam filem yang merupakan hasil penterjemahan teks ialah suatu proses untuk mengangkat karya ke taraf yang lebih baik.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.