23 Februari 2024, 16:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Awang Abdul Muizz Awang Marusin meringkaskan ucaptama “Masa Depan Sepanggar dalam Ekonomi Bahasa, Sastera dan Budaya” yang telah disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Ruzita Mohammed sempena Mesyuarat Agung Tahunan Ikatan Penulis Sabah (IPS) 2024 pada 13 Januari 2024 di Sudut Penulis, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah.

Sepanggar juga merupakan tuan rumah Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), sebuah kawasan perindustrian yang menjadi lambang kemajuan teknologi, kepesatan industri dan pertumbuhan ekonomi Sabah sejak tahun 1994.

Sepanggar tidak asing bagi rakyat dan penduduk Malaysia, terutamanya di Sabah. Sepanggar merupakan sebahagian daripada Kota Kinabalu, ibu negeri Sabah. Sepanggar juga merupakan salah satu daripada dua kawasan parlimen yang terdapat di daerah tersebut selain Kota Kinabalu. Namun begitu, tidak semua yang menyedari tentang keunikan dan potensi yang tersirat sebalik nama Sepanggar itu sendiri.

Sepanggar merupakan tempat letaknya Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar yang menjadi mercu tanda pada kemajuan sektor pengangkutan dan maritim di Sabah. Sepanggar juga memiliki institusi pendidikan tinggi (IPT) dan institusi latihan kemahiran (ILK) yang tidak kurang besar namanya di persada negara, seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah, Politeknik Kota Kinabalu, Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu, dan Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu.

Lebih daripada itu, Sepanggar juga merupakan tuan rumah Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), sebuah kawasan perindustrian yang menjadi lambang kemajuan teknologi, kepesatan industri dan pertumbuhan ekonomi Sabah sejak tahun 1994. KKIP sendiri merupakan tuan rumah bagi kilang kerajang tembaga milik syarikat SK Nexilis yang berpangkalan di Korea Selatan, kilang kaca fotovolta solar milik syarikat Kibing Solar yang berpangkalan di China dan banyak lagi syarikat tempatan dan antarabangsa yang memainkan peranan dalam sektor industri dan ekonomi, sekali gus menjanjikan pelaburan berbilion ringgit kepada Sabah dan menawarkan ribuan peluang pekerjaan kepada anak tempatan Sabah.

Profesor Madya Dr. Ruzita Mohammed menyampaikan ucaptama bertajuk “Masa Depan Sepanggar dalam Ekonomi Bahasa dan Sastera” di hadapan ahli dan pemerhati Mesyuarat Agung Tahunan IPS 2024.

Walaupun begitu, Sepanggar bukanlah semata-mata sebuah kawasan yang strategik bagi sektor pengangkutan, pendidikan dan perindustrian. Dengan keluasan 317 kilometer persegi dan penduduk seramai 336,253 orang hasil Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020, Rektor UiTM Cawangan Sabah, Profesor Madya Dr. Ruzita Mohammed berpandangan bahawa Sepanggar juga memiliki peranan dan potensi yang tersendiri dalam sektor bahasa, sastera dan budaya.

Peranan dan potensi tersebut, menurut Dr. Ruzita, dikuatkan dengan pelancaran Koridor Pembangunan Sabah (SDC) pada tahun 2008 di Sepanggar oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi, dan penubuhan Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) oleh Kerajaan Negeri Sabah pada tahun yang berikutnya. Dalam hal ini, Dr. Ruzita memberikan keyakinan bahawa kerencaman demografi Sepanggar dan kepelbagaian fungsi Sepanggar kepada masyarakat membolehkan bahasa, sastera dan budaya Melayu dan etnik tempatan Sabah menjadi sebahagian daripada SDC, selain mendapat tempatnya dalam pertumbuhan ekonomi Sabah.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud, dalam ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Pengerusi, Pembangunan Sumber Manusia Berhad, Ahsim Jamat dalam Majlis Pelancaran Inisiatif “Sepanggar Membaca”, “Sepanggar Berpantun” dan Buku-buku Terbitan Ikatan Penulis Sabah (IPS) Tahun 2023 pada hari yang sama, menguatkan keyakinan tersebut sambil mengingatkan bahawa, “DBP Cawangan Sabah, sebuah pusat kecemerlangan bahasa, sastera dan budaya Melayu dan etnik tempatan Sabah, terletak di kawasan Sepanggar.”

Namun demikian, Dr. Ruzita mengenangkan ekosistem bahasa, sastera dan budaya di Sabah yang semakin hari semakin tidak kondusif kerana beberapa faktor. Salah satunya ialah pandangan sempit dan serong sesetengah masyarakat yang menganggap bahawa bidang tersebut tidak memberikan penambahan nilai ekonomi kepada mereka dan negara, lalu mengelaskan bidang tersebut untuk pelajar-pelajar yang lemah dalam akademik.

Pandangan dan pemikiran tersebut, menurut beliau, mengakibatkan bilangan pelajar yang mempelajari bahasa, sastera dan budaya di sekolah, IPT dan ILK semakin mengecil. Lebih memburukkan keadaan ialah bilangan tenaga pengajar yang menguasai kesusasteraan Melayu yang makin berkurang, malah hampir tiada, yang turut memberikan kesan domino terhadap penawaran mata pelajaran tersebut di sekolah, IPT dan ILK yang juga kini semakin mengecil.

Anak seniman veteran Sabah, Mohamed Haji Salleh atau Mat Congo, turut mengenangkan kedudukan penulis yang tidak dikenali berbanding kedudukan pelakon, pelawak, pemuzik, penyanyi, dan pengarah filem yang dikenali kerana seni yang mereka persembahkan. Mungkin saja kerana penulis lebih banyak berseni di belakang tabir, maka penulis tidak dikenali, melainkan jika tulisan karya seseorang penulis dipersembahkan dalam bentuk drama, filem atau rancangan televisyen.

Tidak setakat itu, beliau turut mengenangkan banyak persatuan yang mewakili golongan tersebut dipimpin dan dianggotai oleh golongan berusia pada ketika ini. Keadaan ini bukan sahaja mewujudkan jurang kemasyarakatan yang besar antara generasi, tetapi juga berpotensi menoktahkan kesinambungan sesuatu bidang yang selalu memerlukan penggerak yang berpengetahuan dan berkemahiran daripada generasi penerus atau pelapis.

Terdapat pandangan sempit dan serong sesetengah masyarakat yang menganggap bahawa bahasa, sastera dan budaya tidak memberikan penambahan nilai ekonomi kepada mereka dan negara, lalu mengelaskan bidang tersebut untuk pelajar-pelajar yang lemah dalam akademik.

Meskipun begitu, Dr. Ruzita optimis bahawa bahasa, sastera dan budaya Melayu dan etnik tempatan Sabah mampu terus hidup pada masa kini dan masa hadapan. Hal ini demikian kerana sastera relevan dalam kerangka Malaysia MADANI, dengan mengingatkan ikatannya dengan sifat manusiawi.

Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu, salah satu institusi latihan kemahiran yang terdapat di kawasan Sepanggar.

Beliau memetik pandangan Timbalan Dekan (Prasiswazah), Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak, Dr. Dilah Tuah yang melihat sastera berpotensi besar untuk memacu keberhasilan gagasan Malaysia MADANI kerana kemampuannya untuk “menyumbang kepada pemahaman budaya, pembentukan nilai dan perjuangan untuk masyarakat yang lebih adil dan bersatu padu” berbanding sebelumnya.

Beliau memperkenalkan Strategi Lautan Putih yang membolehkan sastera diniagakan berdasarkan keharmonian antara insan, alam sekitar dengan keuntungan. Strategi yang diperkenalkan oleh ahli perniagaan dari Thailand, Danai Chanchaocai itu, menggalakkan keusahawanan sosial yang membolehkan situasi menang-menang dicapai sesama pelbagai pihak berkepentingan menerusi penciptaan pelbagai peluang perniagaan dan pekerjaan.

Beliau mengesyorkan agar bahasa, sastera dan budaya Melayu dan etnik tempatan Sabah diperkasakan menerusi model dan strategi perniagaan yang berkonsepkan pelancongan sastera.

Dalam erti kata lain, semua jenis artifak, mentifak (perkongsian idea, nilai dan kepercayaan sesuatu budaya) dan sosiofak (struktur dan organisasi budaya yang mempengaruhi tingkah laku sosial) yang terdapat di Sabah, khususnya di kawasan Sepanggar, dipromosikan dengan meluas agar lebih ramai warga asing berkunjung ke Sabah, bukan sahaja untuk menikmati keindahan flora dan faunanya, tetapi juga untuk mengapresiasi keunikan dan kerencaman masyarakat Sabah, termasuklah budaya, bahasa dan sasteranya.

Sepanggar ternyata kaya artifak, mentifak dan sosiofak. Jika artifak menerangkan suatu objek fizikal yang digunakan oleh budaya, maka Sepanggar beruntung kerana memiliki banyak objek yang boleh dijadikan artifak, baik bangunan, peralatan mahupun dokumen penulisan yang menerangkan sejarah sesuatu zaman. DBP Cawangan Sabah, misalnya, memiliki sebuah Pusat Dokumentasi Melayu yang menyimpan ribuan monograf pelbagai genre yang dihasilkan oleh para penulis Sabah.

IPT seperti UMS dan UiTM Cawangan Sabah, misalnya, memiliki perpustakaan yang memuatkan ribuan buku yang mencakupi pelbagai disiplin ilmu yang boleh dimanfaatkan untuk tujuan penyelidikan ahli akademik dan pembelajaran mahasiswa.

Menariknya, UMS tidak setakat memiliki sebuah perpustakaan, tetapi turut memiliki tiga buah muzium dan tiga buah galeri yang memiliki peranan yang tersendiri dalam usaha mengembangkan sains, teknologi dan kemanusiaan, yang boleh dimanfaatkan oleh ahli akademik, mahasiswa dan masyarakat sekitar untuk mengintegrasikan pelbagai disiplin ilmu dengan sastera.

Realitinya, pengurusan maklumat dan perkembangan ilmu tidak berlaku di institusi perdana semata-mata. Institusi akar umbi turut menyaksikan perkara yang sama dengan kewujudan perpustakaan desa milik Perpustakaan Negara Malaysia dan Perpustakaan Negeri Sabah di enam buah kampung serta pusat sumber di 38 buah sekolah rendah dan 11 buah sekolah menengah di seluruh kawasan Sepanggar, yang masing-masing berperanan untuk menyediakan pengalaman pembelajaran bermakna melalui penggalakan amalan membaca dan mengkaji dalam kalangan guru dan murid.

Rumah Puisi Hasyuda Abadi yang terletak di kawasan Sepanggar.

Kekayaan artifak yang dimiliki oleh Sepanggar ternyata tidak disumbangkan oleh institusi pendidikan dan kemasyarakatan semata-mata. Status Sepanggar sebagai “tuan rumah” kepada bangunan-bangunan yang menempatkan institusi penting pemerintahan di Sabah, seperti Menara Kinabalu, Dewan Undangan Negeri Sabah, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, dan Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Sabah meningkatkan lagi nilai artifak yang terdapat di Sepanggar.

Jika mentifak bermaksud sesuatu idea (mental) yang diterima secara budaya, maka Sepanggar juga beruntung kerana memiliki cerita-cerita yang tersendiri mengenai kawasan tersebut.

Contoh yang paling mudah menggambarkan kewujudan mentifak di Sepanggar ialah Karambunai, sebuah kampung di kawasan Sepanggar yang dikatakan mendapat namanya daripada peristiwa karamnya kapal laut milik seorang bangsawan Brunei pada zaman dahulu akibat dipukul angin kencang, dan Manggatal, sebuah pekan dalam kawasan Sepanggar yang dikatakan mendapat nama daripada sejenis pokok mangga yang menyebabkan kegatalan apabila buahnya dimakan.

Jika sosiofak bermaksud sesuatu yang dibuat oleh budaya, maka Sepanggar sekali lagi beruntung kerana interaksi yang dihasilkan oleh masyarakatnya digambarkan dalam bentuk ekonomi, politik dan sosial yang bersistem dan berstruktur sepanjang masa, tetapi menjadi unik dan berbeza mengikut keadaan dan masanya. Dalam konteks sastera, DBP Cawangan Sabah, IPS dan Kelab Komuniti Penggiat Buku Negeri Sabah merupakan antara sosiofak yang berperanan untuk menjaga dan mempertahankan artifak dan mentifak yang terdapat di Sepanggar.

Dalam usaha menjalankan dan memperkasakan pelancongan sastera melalui promosi, pemeliharaan dan pemuliharaan artifak, mentifak dan sosiofak, Dr. Ruzita mendorong para penulis di Sabah untuk memiliki keperibadian glokal yang berasaskan empat ciri, iaitu (1) daya saing; (2) jalinan dan jaringan tempatan dan antarabangsa yang luas, erat dan berterusan; (3) jati diri yang kukuh; dan (4) penguasaan terhadap teknologi maklumat dan komunikasi.

Beliau percaya, dengan keperibadian glokal yang dimiliki oleh golongan penulis di Sabah, bahasa, sastera dan budaya Melayu dan etnik tempatan Sabah mampu dipelihara, dipulihara dan dikembangkan dengan lebih luas dan berkesan kepada lebih banyak segmen masyarakat di dalam dan luar negeri Sabah.

Beliau telah melihat perkembangan sastera di Sabah pada skala mikro apabila individu dan komuniti sastera bertukar-tukar bentuk kerjasama dan perkongsian, mendapat akses pada pendidikan dan latihan berterusan, dan mempraktikkan pengurusan dan penilaian yang bersesuaian dengan keadaan zaman. Beliau juga telah melihat pada skala meso apabila perantara dan pemudah cara berfungsi sebagai pusat perkhidmatan, menyediakan infrastruktur dan kemudahan yang boleh diguna sama, dan menggalakkan pembelajaran berangkaian dan perkongsian pengalaman sesama pihak berkepentingan.

Seperti yang diharapkan oleh ramai penulis di Malaysia, beliau menginginkan perkembangan sastera di Sabah mencecah skala makro yang membolehkan pembuat dasar dan penyumbang dana menyediakan mekanisme pendanaan yang mantap, strategi pembelajaran sepanjang hayat yang berkesan, dan sistem nilai saintifik yang bersesuaian pada sastera. Perkara tersebut diperlukan bagi menjadikan sastera sebagai cerminan pada identiti kebudayaan Sabah dan secara tidak langsung, penyumbang pada kejayaan SDC.

Kredit Foto: Awang Abdul Muizz Awang Marusin

_________________________

Awang Abdul Muizz Awang Marusin pensyarah subjek umum di Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu, Sabah dan penulis empat buah buku pelbagai genre.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.