Oleh Karmila Azmi
2 Februari 2024, 17:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur British Council menawarkan Geran Kerjasama Antarabangsa bernilai £1 juta yang bertujuan untuk memupuk kerjasama seni dan budaya yang inovatif antara United Kingdom (UK) dengan Malaysia.

Dalam kenyataan medianya, British Council menyebut pemohon dari Malaysia boleh membuat permohonan geran bernilai RM440,000.

Walau bagaimanapun, permohonan ini mesti membabitkan kerjasama seni dan budaya antara dua organisasi masing-masing, satu di Malaysia dan satu lagi di UK.

Pengarah British Council Malaysia, Jazreel Goh berkata, pemberian geran itu menyokong suatu perkongsian baharu pada peringkat antarabangsa, selain menawarkan sokongan kepada organisasi dan juga para seniman dalam konteks pembangunan projek kreatif.

“Kami berbangga kerana dapat menyokong kerjasama kreatif baharu antara UK dengan Malaysia melalui Program Geran Kerjasama Antarabangsa kami.

“Pemberian ini mewakili satu peristiwa penting dalam komitmen kami untuk memupuk dialog dan kerjasama bermakna dalam bidang seni.

“Kami membuka pintu kepada peluang baharu untuk para seniman dan organisasi seni untuk berkongsi ilmu dan belajar antara satu sama lain, selain dapat menonjolkan bakat mereka pada peringkat antarabangsa.

“Inisiatif ini (dijalankan) untuk mewujudkan ruang dinamik artistik yang bermakna dan saling bertukar ilmu dan kearifan, bersifat merentasi sempadan dan mampu memperkaya landskap kreatif global,” katanya.

Sementara itu, selain membabitkan dua organisasi kerjasama seni dan budaya, geran ini turut memberikan kebebasan kepada pemohon untuk meneroka apa-apa sahaja tema, namun penekanan khusus ditawarkan untuk isu yang meraikan kepelbagaian, keterangkuman dan kelestarian alam sekitar.

Tarikh akhir untuk mengirim permohonan adalah pada 30 April 2024.

Maklumat lanjut mengenai geran berkenaan boleh dicapai dalam laman web rasmi British Council. Klik di sini untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Kredit Foto: Tim Wildsmith/Unsplash

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.