Oleh Ramlee Wahab
19 Oktober 2023, 07:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ramlee Wabah, urus setia Pertemuan Penulisan Nusantara XII 2023 memberikan reaksi terhadap tulisan Salman Sulaiman.

Perlu dinyatakan, PENA sebagai tuan rumah PPN XII 2023, program ini dilaksanakan secara terbuka dan tidak ada surat undang dihantar kepada sesiapa, melainkan pemakalah dan tetamu VIP sahaja.

Seraya melayari media maya Dewan Sastera di Jendela DBP bertarikh 16 Oktober 2023, saya tersua sebuah rencana berjudul “Ke Mana Perginya Penulis Muda?” tulisan Salman Sulaiman. Sungguh campin tulisan beliau malah menarik perhatian saya untuk terpanggil sama berkongsi pandangan.

Sebagai urus setia Pertemuan Penulis Nusantara XII 2023 (PPN XII), tugasan mereka memang rencam. Mana tidaknya, beberapa ahli jawatankuasa tidak hadir kerana berhalangan. Sudah tentu perubahan struktur tugasan berlaku; mereka melakukan multitasking dengan penuh tanggungjawab. Seperti diri saya, tugasan hakiki ialah bahagian dokumentasi. Tetapi, secara sukarela saya membantu bahagian-bahagian lain juga demi melancarkan program terbesar Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) tahun ini.

Beberapa minggu sebelum berlangsungnya program, kami bermesyuarat melalui media maya. Setiap perundingan bersemuka atau melalui media maya, diakhiri kefahaman dengan persefahaman. Taklimat tersemat kukuh dalam sanubari; misi menerima dan menjayakan arahan, misi memastikan visi memenuhi piawaian. Sememang begitulah kehendaknya menjadi ahli jika berpersatuan. Sementelahkan pula memegang jawatan, kenalah memikul tanggung jawab yang telah diamanahkan. Menyudahkan apa yang telah bermula hingga selesai. Namun begitu, ukurtara berjaya atau sebaliknya, terpulanglah pada semua peserta.

Perlu dinyatakan, PENA sebagai tuan rumah PPN XII 2023, program ini dilaksanakan secara terbuka dan tidak ada surat undang dihantar kepada sesiapa, melainkan pemakalah dan tetamu VIP sahaja. Seawal 60 hari, PENA telah membuat sebaran maklumat ke beberapa media tempatan. Begitu juga pelbagai pengiklanan berbentuk grafik yang banyak disebarkan dalam media sosial terutamanya Facebook. Ditambah pula inisiatif bahagian dokumentasi yang diketuai oleh Sdr. Noor Kasmara (Fotolawa & Event Svc) yang telah melakukan promosi secara besar-besar dan berterusan; video promosi PPN, membina dan selenggara laman web rasmi, membina dan mentadbir Facebook rasmi Pertemuan Penyair Nusantara XII 2023, reka grafik poster acara dan poster promosi, video montaj acara perasmian PPN dan pelancaran buku antologi, khidmat penyiaran secara langsung ke media sosial dan YouTube, rakaman fotografi, dan produksi berbilang kamera (multiple camera production). Saya percaya, PENA telah menyediakan ruang komunikasi yang cukup, malah meluas sebaran maklumat dan pemberitaan.

Saya percaya, kehadiran Salman bersama sahabat karibnya Nimoiz TY boleh dianggap sebagai mewakili kelompok kecil penulis muda Malaysia yang berfikiran positif dan berjiwa besar. Bagaimana pun, kegusaran Salman dapat sama-sama saya rasakan. Gusar dirinya melihat tidak ramai malah boleh dibilang dengan jari kehadiran penulis-penulis muda dari Malaysia sewaktu program PPN XII 2023 berlangsung. Demi mencari kepastian, saya sempat meneliti senarai nama peserta yang diberikan oleh Zaiful Wagiran (Setiausaha 1).

Walau bagaimanapun, kemunculan S.M. Zakir (Nusa Centre) dan Saifullizan Yahya (DBP) mewakili Malaysia sebagai pemakalah pada Sidang 3: Pergelutan Puisi dalam Arus Teknologi amat memberangsangkan. Sekurang-kurangnya, dapat mengubati kerinduan para pencinta sastera tanah air. Ditambah dengan kehangatan suasana program oleh pemakalah muda dari Indonesia, iaitu Ratna Ayu Budhiarti dari Indonesia dan Mahroso Doloh dari Thailand pada Sidang 4: Forum – Denyut Puisi di Alam Melayu.

Walaupun demikian, melalui pengamatan dan hasil semakan saya sekali imbas terhadap senarai para peserta yang hadir, penulis-penulis muda dari luar negara seperti Singapura, Brunei, Indonesia, dan Thailand, jumlahnya boleh dibanggakan. Mereka kelihatan lebih bersemangat dan berminat untuk hadir atas keinginan menghadiri program serta melancong. Dengan kata lain, “sambil menyelam, minum air”.

Justeru, kemungkinan ketidakhadiran penulis-penulis muda pada program PPN XII 2023 boleh disimpulkan sebagai program “kurang penting”, lebih tepat, remeh-temeh (trivial). Mereka lebih mengutamakan perkara-perkara menguruskan keluarga dan mengisi masa lapang dengan perkara yang lebih intim dengan diri sendiri. Suka saya memetik luahan peribadi tapi jujur Jack Malik, “Mereka tidak ghaib..menjalani hidup..hadir jemputan kahwin..basuh baju..kemas rumah..beli barang dapur..makan tengah hari bersama isteri..” dan seterusnya. Malah, menguatkan lagi hujah beliau dengan menyatakan, “Begitulah kehidupan seorang penyajak muda. Bukanlah setiap hari ada pengembaraan persuratan dan budaya. Ada hari, penyelenggaraan lebih agung daripada semua perkara.”

Namun, pandangan Jack Malik mengatakan, “saya turut percaya perkembangan puisi dan sastera di Malaysia tidaklah berada dalam keadaan yang parah”. Malah, beliau menambah, “bola sudah berada di gelanggang kita; terpulanglah hendak ‘tekong’ bagaimana sekalipun”. Adakah penyair Malaysia berkelompok? Jack Malik memberikan pandangan, “Soal kelompok itu sudah pasti. Cuma setiap kelompok-kelompok tidak bermusuhan..mungkin terperangkap dalam gelembung masing-masing..saya percaya penulis sebaya saya dan generasi akan datang tidak menanam dendam”.

Saya sebenarnya tidak prejudis, malah saya anggap kenyataan ini sejujurnya datang daripada suara hati Jack Malik. Sudah barang tentu memberikan sedikit sebanyak kelegaan di sanubari khalayak sastera tanah air, buat setakat ini. Harapan masa depan semoga terbina jambatan persefahaman dan berlaku penyatuan antara semua kelompok sastera; sama ada kumpulan penulis lama atau kumpulan penulis muda.

Dunia sastera Malaysia relatifnya kecil dan semestinya tidak seharus kelihatan berpecah-pecah dengan masing-masing mencari arah kendiri, kerana hal ini akan lebih merumitkan malah melambatkan proses memperkasa pembangunan bahasa dan sastera tanah air. Suka saya memetik kenyataan Dr. Saleeh Rahamad selaku Presiden PENA, “Berikan penghargaan kepada beberapa pihak atau entiti seperti penulis karya berbahasa Melayu terbaik, penyampai bahasa Melayu terbaik dalam media penyiaran, aktivis bahasa Melayu yang tegar, penulis buku ilmiah berbahasa Melayu.” Beliau turut mencadangkan agar “dana munasabah wajar diberikan kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang banyak bergiat menjalankan aktiviti berkaitan dengan kesusasteraan, kebahasaan dan pendidikan. Demikianlah, PENA sebagai pemuka dan sokongan kuat dari Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) tidak putus-putus berjuang dari dahulu hingga kini untuk mengangkat martabat bahasa Melayu, sekali gus bidang sastera tanah air.

Berbalik pada PPN XII 2023, daripada pengamatan saya secara rambang meliputi keseluruhan segmen program, semua ahli jawatankuasa memperlihatkan semangat “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”. Mereka begitu dedikasi dan komited mengurus tadbir setiap tugasan. Namun begitu, “gading mana yang tidak retak” dan adatlah “rumah siap pahat pun berbunyi”. Dalam pada itu, sebagai mengakhiri tulisan ini, ingin saya diselitkan sebuah sajak untuk renungan bersama:

Biarkan Biduk Berlalu
Kiambang Bertaut Jitu

 i.
PPN XII 2023 semalam riuh kini sunyi
tapi rumah siap pahat masih berbunyi.

 Namun, gading mana tidak retak
gading tetap diniaga pedagang
namun, hati mana tidak tersentak
dek cerdiknya pena pengarang.

Acara Pertemuan Penulis Nusantara
selesai sudah, hadir lima negara
buka minda berlapang dada
tiada masalah menggoda.

Peserta rata-rata bersyukur rasa
upaya hadir setia pada acara
bertemu sesama manusia
bukan cuma alam maya.

Trio Shapadu dan MBPJ serta DBP
menaja seikhlasnya acara rasmi
bersyukur, masih ada oknum
jujur berkongsi buah ranum.

Waktu panas di manakah angin?
tatkala haus di manakah air?
kabilah terus berusaha
dalam tekun berdoa.

Ke hulu bergiat membina takung
ke hilir berhasrat menjana desa
tempat saudara berkampung
biar selesa, pelihara nama.

Bersasteralah kita senusantara
lima negara menjana minda
tiada strata dan tiada kasta
bergaul, darah kita sama.

Penulis muda juga penulis lama
penulis bilis, penulis sarjana
kita bina negara bangsa
pena, tintanya bahasa.

ii.
Dengar, soksek sana soksek sini
dalam gudang tikus berbunyi
terasa kaki tertusuk duri
pasti langkah terhenti.

Ke mana hilangnya butir permata
ibarat pengembara hilang peta
ke mana pergi kicau serindit
bagai serimba jatuh sakit.

Hiruk pikuk sang kerbau sekubang
hingar bingar lembu sekandang
mencari anak-anak hilang
dilapah ratah pak belang?

Jauhari sastera mencari pemberani
pedang kebenaran perisai diri
pejuang dan perjuangan
jangan perdagangkan.

Sastera wajar terpelihara dari diperkosa
Chat GPT punya onar dan angkara
karya segera tanpa berjiwa
pesona pengkarya muda.

Sastera tradisi pasti tidakkan mati
asuh, titip ilmu setiap generasi
tahu susur galur berjati diri
bentuklah minda pertiwi.

Adat muda menyongsong orang tua
bukan sekedar gemerlap karya
tapi, jujur berbudi berbahasa
nilainya cara juga gaya.

Kita orang Timur beradat berbudaya
dari raja hingga hamba sahaya
sopan susila jadi sandaran
tua muda seiring jalan.

Mungkinkah penulis muda mahu
dihantar tepak sireh menjamu
meminang kehadiran tamu
agar saling bertemu?

Adakah penulis lama sudah lupa
tanah permainan dipijak sama
tua atau muda berjarak depa
berganding dan bermesra.

Mungkin memang ada banyak pilihan
rambang mata tidak terpilihkan
mungkin lain pandangan
lain pula cadangan.

iii.
Tapi siapa mahu mendatangi siapa
tua hampiri muda, sebaliknya?
sukar merungkai persoalan
jika kita tiada sefahaman.

Jangan biarkan rajuk minta dipujuk
usah lepaskan dendam kejam
pastilah tersebar isu buruk
akibat hati remuk redam.

Hindari kitaran dendam penulis muda
ulangi semula negativiti dalam diri
sastera bukan lubuk permata
demi mencari kekayaan diri.

Belajar dari menyelar dan menjalar
biarpun berkorban menjadi ular
cari ilmu bertapa dalam gua
kalau mahu menjadi naga.

Tidak cukup jika peraga pengalaman
perlukan juga tekad pengorbanan
korbankan kerjaya tugasan
demi kejayaan persatuan.

Jika meleding papan, ketam luruskan
andai cupul, tanggam dipasangkan
jika melentur rotan, bakar panaskan
andai menampal sampan, digalakan.

Mendung ada kembali cerah akhirnya
ribut ada reda, pulih semula cuaca
rungkai kembali apa kusut masai
agar tawa berulang berderai.

Tempoh enam puluh hari mendaftar
melayari maya mungkinkah sukar?
hidup biarlah teliti serta faham
bijak menjajar tiada waham.

Demikianlah sedikit coretan pandangan saya menjawab kegusaran penulis muda Salman Sulaiman. Walau apa-apa pun, program PPN XII 2023 telah berlalu dengan jayanya. Sekiranya terdapat kekurangan, PENA secara terbuka memohon kemaafan. Perancangan dan usaha telah dilakukan dengan sebaik mungkin. Tetapi, Allah SWT yang menentukan.

Kredit Foto: Ryoji Iwata/Unsplash

_________________________

Ramlee Wahab ialah ahli Persatuan Penulis Johor (PPJ) dan Pemeriksa Kira-kira Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) yang juga menulis puisi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.