Oleh Jack Malik
16 Oktober 2023, 13:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jack Malik menerima undangan reaksi Salman Sulaiman dengan kata balas tentang kehadiran anak muda sastera dalam ruang dan acara sastera kontemporari.

Ke manakah menghilangnya penulis muda kita? Mereka tidak ghaib. Sebaliknya, mereka menjalani hidup.

“Noi” ialah slanga untuk “[hendak] pergi ke mana” kalakini. Satu suku kata. Diakhiri dengan huruf vokal. Ratusan tahun lalu pula di negeri asing, mungkin penutur bahasa Latin berkata kepada teman-teman mereka, “Quo Vadis?” Tujuh dekad lalu dalam novel On The Road oleh Jack Kerouac, watak Carlo Marx (sebenarnya penyajak Beat Generation, Allen Ginsberg) berkata kepada watak utama novel tersebut, “Whither goest thou? Whither goest thou, America, in thy shiny car in the night?” Orang utara Semenanjung tanah air kita pula mungkin lebih bersahaja: “hang pi mana?”

Iya. Hang pi mana, o penulis muda Malaysia?

Pagi Isnin ini saya membaca luahan Abang Salman Sulaiman mengenai keberadaan penulis muda kita. Keresahan beliau, bak kata orang muda, valid (sah). Pertemuan Penyair Nusantara XII, kalau meneliti subteks esei Abang Salman, saya syak kehadiran orang muda tidak ramai. Kalau tidak, mungkin tajuk eseinya berlainan.

Hal ini bukanlah fenomena baharu. Seperti yang dinyatakan oleh Abang Salman sendiri, isu ini telah pun beliau bangkitkan 16 tahun yang lalu. Saya bukanlah seorang sarjana mahupun sejarawan sastera—saya tidak ada jawapan dan kalau ada sekalipun ia bersifat sebagai pemerhatian yang terhad. Saya tidak ada data atau menjalankan apa-apa kajian ilmiah. Walau bagaimanapun, pemerhatian saya datang dari sudut pandang seorang pengkarya yang termasuk dalam golongan umur tersebut.

Ke manakah menghilangnya penulis muda kita? Mereka tidak ghaib. Sebaliknya, mereka menjalani hidup. Sabtu lalu saya menghadiri jemputan perkahwinan; Ahad pula membasuh baju di dobi layan diri, kemas rumah, membeli barang dapur di pasar raya, makan tengah hari bersama isteri, tidur petang, keluar membeli barang basah di Pasar Malam TTDI dan membaca buku The New York Poets: An Anthology sebelum menutup lampu jam 10:00 malam. Begitulah kehidupan seorang penyajak muda. Bukanlah setiap hari ada pengembaraan persuratan dan budaya. Ada hari, penyelenggaraan lebih agung daripada semua perkara.

Sastera is Nothing, bak kata Mohd Jayzuan dalam Sajak-Sajak Gustavo.

Namun, pengalaman saya bukanlah untuk memukul rata. Sekadar selayang pandang untuk tahu di manakah penulis muda kita. Iya, persoalan ini masih belum terjawab. Dengan ini, saya cuba memberi sekilas imbas: di manakah mereka berada dalam tempoh terdekat ini?

Pada tarikh yang sama Pertemuan Penyair XII sedang berlangsung, di Ipoh terdapat acara bernama Lorong Puisi yang dianjurkan oleh sebuah kolektif anak muda, Projek Rebel dan Ipoh Social Club. Acara ini dipersembahkan di Senja Coffee & Bar dan barisan penyajak muda ialah Ashikin M, Natasha Aziz, Afifah Gentayangan, Karmaa.iw, Fatheen Mohamed, Seriluka, dan ramai lagi.

Dua minggu sebelumnya juga terdapat acara di Ipoh, Pasar Dalam Pasar yang dianjurkan oleh Projek Rebel, Bilek Buku dan beberapa usaha sama yang lain. Di Kuala Lumpur pada hujung minggu yang sama berlangsung Pasar Dalam Pasar, saya melihat penyajak sebaya seperti Karim Mohd, Abdullah Hussaini, Qurratul ‘Ain, Jet Lee Hao, dan Khoo Phau Liang menonton pementasan Lantai T. Pinkie di Balai Budaya Tun Syed Nasir. Malam yang sama, saya pula menghadiri Panggung Pusaka: Senandung Kota dan menonton persembahan Main Puteri untuk kajian manuskrip puisi akan datang.

Mungkin, penulis muda kita berada di sini. Saya tidak pasti sama ada mereka sedar akan acara-acara besar yang dibawa oleh persatuan sastera. Saya sendiri mengakui bahawa saya baru tahu tentang “pertemuan” ini selepas membaca esei Abang Salman.

Sebagaimana saya masih percaya kebimbangan Abang Salman itu sah, saya turut percaya perkembangan puisi dan sastera di Malaysia tidaklah berada dalam keadaan yang parah.

Untuk menjawab keresahan Abang Salman, pelbagai sebab dan kerana boleh dilihat. Apa-apa pun, ini bukanlah untuk menuding jari dan meletakkan salah kepada mana-mana pihak. Barangkali, kita semua boleh memainkan peranan—tanpa kira usia atau kedudukan.

Penulis berpengalaman mungkin boleh menjemput para penulis muda untuk menghadiri acara mereka atau bertanya kepada kenalan mereka jika ada sesiapa yang mengenali penulis muda tertentu. Abang S.M. Zakir pernah menghubungi saya untuk membaca puisi di Suara Kuala Lumpur beberapa bulan lalu. Nursyuhaidah A. Razak, salah seorang pegawai dari Gerakbudaya Petaling Jaya menjemput penulis veteran dan muda untuk acara Raikan Puisi pada September lalu. Saban tahun, Pesta Sastera Georgetown (Georgetown Literary Festival) bukan sahaja melihat kehadiran penulis mapan, malah para penulis muda juga mendapat tempat dan perhatian.

Kita sudah mempunyai rangka tindakan (blue print) untuk saling berhubung. Meminjam simpulan bahasa orang Barat, bola sudah berada di gelanggang kita; terpulanglah hendak “tekong” bagaimana sekalipun.

Sebagaimana saya masih percaya kebimbangan Abang Salman itu sah, saya turut percaya perkembangan puisi dan sastera di Malaysia tidaklah berada dalam keadaan yang parah. Soal kelompok itu sudah pasti. Cuma, kita semua masih boleh bernafas lega kerana setiap kelompok-kelompok ini tidak bermusuhan atau mempunyai sikap hasad. Paling kuat, mungkin terperangkap dalam gelembung masing-masing. Berapa ramaikah antara kita tahu pertandingan Laga Puisi Kebangsaan Malaysia (Malaysian National Slam Poetry)—anjuran Institut Debat dan Pidato Umum Malaysia (Malaysian Institute for Debate and Public Speaking)—baru sahaja selesai?

Sastera di Malaysia mempunyai banyak gelembung dan tempurung kelapa besinya. Ada baik kalau kita membunuh curiga—dalam hal ini, lebih kepada ketidaktahuan dan ketidakpedulian—dengan menyapa satu sama lain dan sering memaklumkan apakah yang telah, sedang dan bakal berlaku.

Usah bimbang, Abang Salman. Saya percaya penulis sebaya saya dan generasi akan datang tidak menanam dendam. Kami hanya menuai penerimaan jika mempunyai jemputan. Kalau tiada kepedulian, tiada ruang yang disediakan untuk penulis muda, kami mencipta ruang sendiri. Bukan atas dasar benci atau iri, tetapi cukup sekadar pegangan lebih baik kami buat sendiri daripada mati (DIY or Die).

Begitulah pemerhatian terhad saya. Quo vadis, iuvenis scriptor? Atau bahasa budak-budak jaman now—noi? Untuk waktu terdekat, kami akan menghadiri pementasan The Amok of Mat Solo yang berlangsung pada 19, 20, 21, dan 22 Oktober. Saya sudah membeli tiket untuk slot petang, Sabtu 21 Oktober. Beberapa penulis sebaya turut hadir, insya-Allah.

Jumpa semua di sana.

Kredit Foto: Zamirul Roslan/Unsplash

_________________________

Jack Malik merupakan seorang penyajak dari Ipoh. Karyanya pernah tersiar dalam Mekong Review, Dewan Sastera, Selangorkini, dan halaman Tukang Puisi. Jack juga sebahagian daripada kolektif seniman Projek Rabak. Beliau mempunyai dua kumpulan puisi, iaitu Wannabe Sasau dan Sajakjakja(c)k. Jack juga merupakan salah seorang penerima anugerah Hadiah Sastera Selangor 2020 bagi kategori sajak eceran.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.