15 Oktober 2023, 14:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Khairul Azhar Baharuddin

Kuala Lumpur – Genre puisi telah berkembang luas dan merakyat dalam ranah kesusasteraan seluruh masyarakat di gugusan Nusantara pada masa ini. Selain itu, bahasa puisi juga menjadi wahana ekspresi estetika, pemikiran, sikap, pandangan dan suara hati pengarang.

Demikian antara inti pati rumusan pembentangan daripada lima orang wakil daripada lima buah negara Nusantara yang mewakili negara masing-masing, iaitu Malaysia, Brunei, Singapura, Thailand dan Indonesia, pada pertemuan dalam “Sidang 6: Pleno – Hala Tuju Pertemuan Penyair Nusantara” di Hotel Grand Campbell, Kuala Lumpur, pada pagi tadi. Moderator yang terlibat ialah YBrs. Encik Mohd Khair Ngadiron.

Antara kupasan menarik daripada YBrs. Encik Samsudin Said (Singapura) ialah buku-buku Kumpulan Puisi telah banyak mengembangkan bahasa Melayu walaupun arus bahasa perdana di Singapura menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa komersial, manakala guru pula merupakan pejuang sastera yang terlibat secara langsung pada hari ini.

Tambahnya, penerbitan e-buku perlu diusahakan sebagai tambahan kepada penerbitan buku fizikal yang sedia ada, e-digital atau “Jendela rujukan” perlu diwujudkan sebagai sumber maklumat semasa isu-isu sastera di negara Nusantara, termasuklah melalui forum golongan muda (bawah 35 tahun), mewujudkan anugerah Tokoh Penyair Harapan Nusantara sebagai pengiktirafan kepada para pejuang sastera di Nusantara, serta lagu PPN yang dinyanyikan semasa acara pembukaan dan penutupan PPN perlu diperkenalkan sebagai lambang perpaduan dan peneguhan lima negara Nusantara dalam perjuangan bahasa dan sastera di Nusantara.

Menurut wakil dari Thailand, iaitu YBrs. Tuan Nik Rakib Nik Hassan, makalah atau puisi secara dalam talian perlu diadakan agar semua golongan masyarakat dapat membacanya. Selain itu, mewujudkan pusat wakil Nusantara menerusi laman web khusus untuk PPN.

Sementara itu, menurut YBrs. Tuan Haji Jawawi Ahmad, iaitu wakil dari Brunei Darussalam pula berkata bahawa perlunya bantuan pembiayaan kepada pemuisi di Brunei Darussalam.

YBrs. Encik Ahmadun Yosi Herfanda dari Indonesia pula menerangkan bahawa puisi dari negara serumpun perlu ada jati diri masing-masing, iaitu tidak perlu serupa dengan negara lain. Beliau mencadangkan agar diadakan pemilihan puisi atau makalah yang terbaik yang mewakili negara di Nusantara, dan seterusnya dibukukan untuk diterbitkan.

Selain itu, kepustakaan PPN juga perlu diperluas ke rantau yang lebih luas termasuklah ke negara ASEAN supaya akhirnya antologi puisi bersama antara penyair di rantau ASEAN dapat diterbitkan.

Wakil dari Malaysia, iaitu YBrs. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad pula mencadangkan agar perlunya bersahabat dengan teknologi digital agar tidak ketinggalan dalam arus perkembangan dunia sastera Nusantara.

Selain itu katanya, buku antologi penyair perlu dihasilkan sebagai mercu tanda atau keperluan; perhimpunan ini perlu diteruskan untuk menghimpun dan mengembangkan khalayak sastera agar sastera dapat dibugarkan sebagai satu rangsangan penerbitan buku sastera dan begitu juga dengan kemajuan dan kerjasama penulis Nusantara kini dilihat sudah menunjukkan perkembangan yang membanggakan.

Pada akhir pertemuan dan sebagai penutupan pertemuan ini, YBhg. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, selaku wakil Panitia Malaysia dan tuan rumah telah membentangkan resolusi yang turut dipersetujui bersama oleh setiap wakil daripada lima negara yang hadir pada pertemuan ini, iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura dan Brunei Darussalam.

Antara resolusi yang disampaikan oleh YBhg. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad (mewakili kelima-lima negara Nusantara) termasuklah;

Meneruskan acara PPN dengan memilih Jakarta sebagai tuan rumah pada 2025; Pada setiap acara PPN, sekurang-kurangnya diterbitkan sebuah antologi puisi khusus PPN oleh tuan rumah; Menghormati hak kemerdekaan dan pemikiran warga Rempang, Palestin, dan di mana-mana sahaja demi kemanusiaan sejagat; Penyertaan perlu dibuka kepada penulis dengan jumlah yang munasabah mengikut kemampuan tuan rumah; Para panitia PPN setiap negara perlu meraih sokongan dan dukungan daripada pihak pemerintah dan entiti korporat di negara masing-masing untuk mendanai kegiatan PPN; Bagi memperluas penyebaran karya teknologi digital perlu dimanfaatkan secara silang budaya dan negara; Panitia PPN perlu menyediakan laman maya yang komunikatif secara khusus dan aktif bagi menggerakkan suasana pengkaryaan yang lebih kondusif, mencerdaskan pemikiran dan kreativiti; Merancang penyediaan dana pengiktirafan kepada karya dan penulis di peringkat Nusantara; Merancang usaha mewacanakan karya penulis secara lintas negara.

Pertemuan Penyair Nusantara Kali ke-12 (PPN XII) yang menghimpunkan sasterawan Nusantara telah berlangsung pada 13 Oktober 2023 hingga 15 Oktober 2023, dengan Malaysia selaku tuan rumah.

Pertemuan ini dianjurkan oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Majlis Perbandaran Petaling Jaya, SHAPADU Group, serta sokongan daripada pelbagai pihak. Sebanyak 247 peserta daripada lima buah negara telah menyertai pertemuan pada kali ini.

YBrs. Encik Samsudin Said wakil dari Singapura.
YBrs. Tuan Nik Rakib Nik Hassan mewakili Thailand.
YBrs. Tuan Haji Jawawi Ahmad, wakil dari Brunei Darussalam.
YBrs. Encik Ahmadun Yosi Herfanda, wakil dari Indonesia.
YBrs. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, mewakili Malaysia.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.