Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pertemuan Penyair Nusantara (PPN) Ke-12 yang berlangsung selama tiga hari bermula dari 13 Oktober 2023 hingga 16 Oktober 2023 di Hotel Grand Campbell, mempertemukan para penyair dari negara Malaysia, Indonesia, Brunei, Thailand dan Singapura.
Penyair veteran Malaysia, Marsli N.O semasa sesi perbincangan Sidang 1: Forum – Mahu ke Mana Puisi Nusantara? menyatakan bahawa kreativiti amat penting kerana tanpa unsur tersebut, tiada puisi yang terhasil. Menurut beliau, baik buruk sesebuah puisi itu bergantung pada tahap kemampuan penulisnya.

Marsli yang telah memiliki lapan buah kumpulan sajak (bermula dengan buku Negeri Ini, Anak terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (1993) dan terbaharu Primadona terbitan Nadir Enterprise (2023) turut menarik perhatian peserta yang hadir apabila beliau mengatakan bahawa hala tuju puisi tidak wajar hanya berdasarkan tema dan isi sahaja, tetapi juga pengiktirafan terhadapnya. Tegasnya,
Pemerhati atau pengkritik jangan hanya melihat puisi seorang dua penyair, terutama yang akrab dengan mereka sahaja. Usahlah hanya memperkata, sebagai contoh, sajak-sajak Sasterawan Negara ketiga, Usman Awang sahaja. Mengapa sajak-sajak karya Allahyarham Afrini Adham yang amat baik, malah muncul lebih awal tidak dibicarakan?
Inovasi atau eksperimen dalam puisi juga boleh dianggap sebagai faktor penentu arah masa hadapannya. Namun demikian, inovasi atau percubaan itu biarlah wajar.
Sehubungan dengan itu, dalam pembicaraannya, Dr. Shamsudin menyatakan bahawa khalayak kurang senang dengan kewujudan puisi esei ataupun puisi, iaitu dalam hal ini, sajak yang digabungkan dengan esei. Ujarnya yang juga merupakan penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara 2019 (SEA Write Award),
Saya telah meneliti beberapa buah puisi esei, dan mendapati ada kerancuan untuk menetapkan apakah sebenarnya sifat dan motif karya tersebut? Bagi saya, ia tidak tuntas untuk memberikan manfaat kepada pembaca kerana mengelirukan.
Tegas Dr. Shamsudin, jika mahu mendapatkan ketentuan dan kepuasan dalam puisi, lebih baik pembaca membaca puisi sahaja. Begitu juga kalau mahu memahami esei. Tidak wajarlah, tambah beliau, pembaca membaca kedua-duanya sekali dalam sebuah karya.
Sementara itu, Roslan Madun juga turut menyentuh soal inovasi atau eksperimen dalam penyampaian karya puisi yang katanya tidak wajar diraikan. Beliau memperkatakan hal tersebut dalam konteks puisi tradisional. Tegasnya,
Bagi saya, biar nyawa diancam sekali pun, saya tetap akan mempertahankan syair atau nazam dalam bentuk yang asli. Saya sama sekali tidak akan berkompromi dengan sebarang inovasi, apatah lagi yang merosakkan keaslian puisi tradisional.
Sebelum itu, Isbedy yang banyak menulis sajak dan cerpen sejak era tahun 1980-an lagi, menyentuh soal bahasa puitis dalam karya. Katanya, penulis perlu dan wajar mempertingkat mutu penulisan dari semasa ke semasa.
“Tidak patut jika selama-lamanya seseorang penyair itu berterusan menggunakan bahasa yang sama sejak dari mula berkarya, apatah lagi selepas berpuluh tahun. Contohnya, untuk menyatakan perasaan kepada seseorang, sudah tidak hebat lagi jika mengatakan, ‘aku mencintaimu’. Menyebutkan, ‘aku terpesona dengan urai rambutmu’ ataupun ‘aku tidak dapat melupakan wajah anggunmu’ adalah lebih indah,” kata Isbedy.