Oleh Rasoul Manan
15 Oktober 2023, 13:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur ­- Syarahan Utama: Ruang Hidup Puisi Nusantara telah disampaikan oleh Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersempena dengan Pertemuan Penyair Nusantara Ke-12 (PPNXII) di Dewan Bankuet, Hotel Grand Campbell, sebentar tadi.

Dalam syarahan tersebut, beliau menjelaskan bahawa teknologi bukan sahaja merupakan alat yang dapat memperluas ruang hidup puisi dan membawanya kepada khalayak dunia, bahkan kemudahan itu berupaya membawa keuntungan kepada bahasa Melayu kerana bahasa Melayu juga dapat disebarluaskan.

Tambah beliau, ledakan Revolusi Perindustrian 4.0, yakni dunia digital melalui aplikasi seperti Facebook, Twitter (X), Instagram dan TikTok biarpun ada sisi negatifnya, namun tetap mampu mempromosikan puisi sebagai bahagian penting dalam warisan budaya Nusantara. Ujar beliau;

Kita akan terus merayakannya dalam semua bentuk, daripada pantun tradisional hingga kepada puisi moden yang inovatif dalam sebuah kampung sejagat.  

Dr. Hazami Jahari ketika menyampaikan syarahan utama bersempena dengan Pertemuan Penyair Nusantara Ke-12 di Hotel Grand Campbell, Kuala Lumpur.

Menurut Dr. Hazami Jahari, PPNXII pada kali ini membertemakan “Luka, Cinta dan Damai” sudah tentu membawa sebuah pertemuan yang mempunyai makna yang mendalam dan signifikan kepada semua.

Sebelum itu, dalam syarahan tersebut, Dr. Hazami Jahari merakamkan penghargaan kepada Pertubuhan Pendidikan, Santifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) kerana mengiktiraf pantun dalam kategori “Warisan Budaya Tidak Ketara” atau warisan bukan benda.

Pantun merupakan puisi tradisional milik Nusantara dan sebuah wadah komunikasi yang telah menyatukan semua kaum dalam sebuah rumpun. Pantun telah berkembang bersama-sama bahasa Melayu sebagai lingua franca di Nusantara seawal abad masihi lagi.

Dengan kehadiran teknologi biarpun berbeza dari segi geografi dan ideologi politik, namun pantun tetap bersatu tanpa sedar melalui bahasa.

Oleh itu, beliau menjelaskan bahawa kemodenan yang kita kecapi pada era ini membawa kebebasan lalu mengembangkan seni penulisan pantun serta puisi dalam menyatakan perasaan dan pemikiran secara indah dan penuh bermakna.

Sebelum mengakhiri ucapan, beliau berharap agar para penyair mengambil semangat Hamzah Fansuri, cendekiawan yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa moden yang berupaya mengungkapkan pemikiran logikal, analitik dan saintifik melalui karyanya. Beliau juga mengajak masyarakat supaya menjadikan bahasa Melayu sebagai sumber inspirasi dalam penghasilan puisi agar puisi di Nusantara terus berkembang subur dengan hadirnya teknologi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.