Oleh Sinaganaga
20 Oktober 2023, 11:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sinaganaga membaca polemik penulis muda-penulis tua dengan hati yang terbuka. Lalu beliau membalas kesemuanya.

Dan saya teringatkan kata-kata Imannurdin Wira di status FaceBooknya; Orang tua = ada sindrom. Orang muda = ada tantrum. Sindrom + Tantrum = Ego.

Usai acara Pertemuan Penyair Nusantara (PPN) XII baru-baru ini, Salman Sulaiman menabrak dengan rencana runcit-runcitannya yang berjudul “Ke Mana Menghilangnya Penulis Muda Kita?” – membangkitkan kegusarannya tentang ketidakberadaan penulis muda (sepatutnya Salman menggunakan istilah “penyair muda” untuk mengecilkan skop), sama ada sebagai pemakalah mahupun sebagai peserta.

Acara yang dihadiri hampir 55 orang Ahli Jawatankuasa Penganjuran (ramai betul), 20 orang pemakalah dari dalam dan luar negara, enam orang moderator, 177 peserta berdaftar, serta dua tiga orang lain yang datang menjengah dengan alasan “hendak jumpa kawan-kawan” ini tidak meredakan gelodak di hati Salman.

Salman tercari-cari susuk tubuh penyair muda yang beliau kenal, yang pada pemikirannya – mereka ni penting dan perlu hadir. Hadir sebagai tokoh penyair muda yang akan menyatakan gagasan mereka atau hadir sebagai pendengar dan sesekali bangun untuk mengutarakan pandangan atau persoalan yang akan menjentik pemakalah dan khalayak.

Cuma, Salman menyatakan itu semua dengan mode yang terkemut-kemut. Salman berbasa-basi dalam tulisannya. Well, Salman yang saya kenal itu – begitulah!

“Di mana penerima anugerah SEA Write Award (Puisi)? Di mana penerima anugerah MASTERA (Puisi)? Di mana penerima anugerah Hadiah Sastera Perdana (Puisi)? Di mana pemenang-pemenang segala anugerah sayembara puisi? Terutamanya yang muda-muda!” – Mungkin itulah yang cuba Salman suarakan.

Jawapannya – Ada yang hadir! Cuma, yang hadir itu bukanlah susuk yang Salman tunggu-tunggu.

Saya bersetuju dengan Wira. Masing-masing ada ego. Yang tua ada ego. Yang muda ada ego. Dan akhirnya, perkara ini tidak akan selesai.

Kemudian tulisan Salman itu disambut oleh Jack Malik dan seterusnya menjadi polemik. Jack, dalam tulisannya yang berjudul “Penulis Muda Ada di Sini” bagaikan mewakili penulis dan penyair muda yang tidak hadir. Kata Jack, “Kami ada ‘je ni hah! Sedang sibuk menjalani kehidupan masing-masing.”

Pada saya, dalam tulisannya itu, Jack cuma nak beritahu kepada khalayak, bahawa pada hari Sabtu yang lalu dia menghadiri kenduri kahwin; pada hari Ahadnya pula dia sibuk basuh baju, kemas rumah, pergi pasar, dan makan tengah hari bersama-sama isteri. Lalu Jack beranggapan bahawa penulis/penyair muda yang tidak hadir itu juga sama seperti dia – “sedang sibuk menjalani kehidupan”; tidak ada masa yang cukup untuk berforum di PPN XII.

Dan, selepas membaca tulisannya itu, saya faham, Jack Malik cuma nak cakap yang dia sedang baca buku The New York Poets: An Anthology. Itu sahaja.

Ketika saya sedang memantau perbelanjaan PPN XII dengan ketat di bilik penginapan, Naim al-Kalantani menghantar pesanan ringkas di aplikasi WhatsApp, “Kalau saya datang ‘ni boleh masuk tak?”

“Boleh,” jawab saya, ringkas. Satu jam kemudian, saya turun ke dewan persidangan, dan menghantar pesanan ringkas kepada Naim, “Kau kat mana?”

“Dah kat [Kompleks] Pertama ‘ni, bang. Saya dah keluar dari [Kompleks] Campbell,” jawab Naim. “Bosan!”

Bahak!

Beberapa hari kemudian, beliau menulis rencana berjudul “Sebuah Gumam… ‘Di Sini Rupanya Penulis Tua”, hasil polemik yang tercetus antara Salman Sulaiman dengan Jack Malik.

Dalam tulisannya, “Saya rasa kita perlu akur dan bersetuju dulu bahawa masalah paling asas yang perlu kita selesaikan ialah persoalan kenapa program penulis muda, penulis tua tak datang; dan mengapa program penulis tua, penulis muda tak datang.”

Well, apalah yang kita hendak harapankan kepada dia yang hadir cuma satu jam sahaja tetapi menulis panjang lebar macam kononnya telah mengikuti program itu dengan khusyuk dan tawaduk selama tiga hari tiga malam!

Tetapi ada betulnya. “Orang tua tidak cool!” Kadang-kadang, saya pun berfikiran begitu tentang orang yang lebih tua daripada saya.

“Oleh kerana mereka (orang tua) tidak cool – maka lebih baik kami (orang muda) pergi [Kompleks] Pertama!” Itu mungkin maksud Naim. Tetapi, apakah dengan pergi ke Kompleks Pertama – orang muda akan menjadi cool!? Come on, Naim!!!

Dan saya teringatkan kata-kata Imannurdin Wira di status FaceBook-nya, “Orang tua = ada sindrom. Orang muda = ada tantrum. Sindrom + Tantrum = Ego.”

Saya bersetuju dengan Wira. Masing-masing ada ego. Yang tua ada ego. Yang muda ada ego. Dan akhirnya, perkara ini tidak akan selesai. Yang muda akan tua. Yang tua akan renta. Dan, hal program penyatuan antara dua generasi seperti yang diharapkan oleh Naim itu tetap tidak juga akan menemui titik noktah.

Kejap! Adakah kita sedang mencari jalan penyelesaian itu!? Tidak!

Balas pula oleh Lokman Hakim yang mencelah dengan tulisannya berjudul “Untuk Apa Berpersatuan dalam Kerja-kerja Mengarang?” Hampir senada dengan Jack Malik apabila Lokman menulis, “Masa yang terhad selaku pekerja dunia pembinaan dan juga seorang bapa dan juga suami menuntut saya untuk menulis hanya pada waktu senggang yang rasanya tidak akan saya persiakan untuk menghadiri acara-acara sastera.”

Awal tulisannya itu saya kutip, “Wacana-wacana (dalam acara perhimpuan karyawan) yang kononnya sarat ilmu hakikatnya membincangkan hal remeh-temeh yang tidak menambah nilai ilmu kepada hadirin.”

Betullah kata Lokman. Dia sibuk. Hampir tidak pernah melihat kelibatnya di acara-acara sastera. Cuma, sekali, saya pernah terlihat dia dari jauh sewaktu kami sama-sama hadir dalam Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2019/2020 untuk menerima hadiah berupa sijil dan wang ringgit bagi kategori masing-masing.

Berselisih, tetapi tidak pula kami bertegur sapa. Kerana ego barangkali. Atau kerana masing-masing sibuk. Entahlah!

(Saya berniat ingin menulis rencana “Mengapa Penulis Perlu Berpersatuan?” bagi menjawab apa yang Lokman timbulkan. Tetapi, nanti-nantilah apabila saya tidak sibuk.)

Reaksi-reaksi mereka ini kemudiannya menimbulkan persoalan lain di hati saya. Di mana hilangnya ramai-ramai penulis tua yang menjadi ahli persatuan penulis di PPN XII? Tidak semua hadir nampaknya. Kenapa? Kerana sibuk jugakah mereka? Kerana orang tua perlu dijemput-jemput? Kalau tidak dijemput-jemput dengan surat menyurat – mereka tidak akan datang? Atau mereka tidak pandai mendaftar dengan menggunakan Google form?

Boleh bagi tahu saya?

Kredit Foto: Karsten Winegeart/Unsplash

_________________________

Azalan Hussain atau Sinaganaga merupakan Bendahari Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dan kawan kepada Hadri Shah. Itu Sahaja.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.