Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangNaim al-Kalantani memberi “pedas” terhadap lingkungan dan persekitaran sastera yang semakin berjurang antara generasi awal dengan generasi selepasnya.
Saya rasa kita perlu akur dan bersetuju dulu bahawa masalah paling kanan yang perlu kita selesaikan ialah persoalan kenapa program penulis muda, penulis tua tidak datang; dan mengapa program penulis tua, orang muda tidak datang.
Oorang kata, hendak menyamar seperti ‘mata-mata’ (special branch) agak susah. Perlu menyamar menjadi orang awam dan perlu memakai pakaian yang berbeza dengan apa-apa yang kita pakai sehari-hari.
Tetapi tidak saya. Saya sengaja dan tanpa jemputan rasmi hadir ke program Pertemuan Penyair Nusantara XII yang berlangsung di The Grand Campbell Hotel, Kuala Lumpur. Mula-mula agak cuak untuk hadir kerana tiada jemputan. Mengapa tidak? Melihat sahaja barisan pembentang dan tokoh-tokoh dalam ranah sastera dalam poster sahaja, mungkin saya yang ‘kecil-kecil’ anak ini tidak lepas masuk ke dalam perut dewan pembentangan.
Sebab utama saya menonong sahaja berani masuk tanpa daftar di meja pendaftaran adalah kerana saya rasa memang sedari dulu sampailah ke hari ini—’penyair-penyair tua’ (atau bahasa lembutnya, penyair veteran) tidak menghiraukan langsung kehadiran orang muda ke majlis mereka.
Perancangan saya untuk hadir ke sana bermula kira-kira dua minggu sebelum program bermula. Memang memasang niat untuk hadir ke sana bagi meninjau-ninjau. Saban hari, saya melihat apa-apa kemas kini yang dihebahkan melalui media sosial. ‘Mata-mata’ saya menjalankan tugas—memberi maklumat awal apakah pengisian yang bakal berlangsung dalam persidangan itu nanti.
Tebakan saya tepat—memang tiada jemputan anak muda. Senarai pembentang juga dikuasai oleh orang tua. Saya kira ada beberapa orang di pertemuan tersebut yang dalam lingkungan awal 40 hingga 45 tahun, tetapi saya tidak menyatakan mereka ini “orang muda,” sekali gus saya bersetuju untuk tidak bersetuju dengan kenyataan Salman Sulaiman yang memutuskan penulis muda dalam konteks kesusasteraan negara ialah pengarang yang berusia 45 tahun ke bawah.
Kita boleh berbincang hal ini dengan lebih lanjut tetapi saya akan berikan percikan sahaja. Dalam konteks yang lebih besar melebihi ranah kesusasteraan, menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menggariskan lama dulu—orang muda ialah individu yang berumur 15 hingga 24 tahun. Paling tinggi pun, The African Youth Charter menyatakan anak muda boleh mencecah 35 tahun.
Dalam lingkungan umur ini, yang saya nampak di pertemuan itu hanya dua orang, Nimoiz T.Y dan Rasydan Fitri. (Itu pun Rasydan hadir sebagai penjual buku.)
Saya rasa kita perlu akur dan bersetuju dulu bahawa masalah paling kanan yang perlu kita selesaikan ialah persoalan kenapa program penulis muda, penulis tua tidak datang; dan mengapa program penulis tua, orang muda tidak datang.
Peribadi saya menjawab sebab orang tua tidak cool. Itu sahaja. Saya tidak gemar dengan lenggok-lenggok jawapan dari Jack Malik. Beliau kata penulis muda ada kerja hakiki di siang hari dan hari bekerja. Di hari minggu, ada sahaja penulis-penulis muda yang mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti kesusasteraan.
Tetapi Jack tidak menjawab soalan dan cuba lari dari persoalan dasar—kita tidak nampak program penyatuan antara dua generasi ini.
Tetapi itulah, hendak menyatu ‘apa bendanya’, dalam Pertemuan Penyair itu pun dijemputnya penulis-penulis tua sahaja. Sudah la merangkumi negara-negara jiran seperti Indonesia dan Thailand, pun penulis-penulis muda tempatan tiada wakil. Sebelum ini “mata-mata” saya pun beritahu, program tersebut sudah mencapai 250 peserta dan peserta tidak boleh masuk terus (walk-in). Saya hanya sengih kerang apabila mendengar kenyataan sedemikian.
Sampai bila lagi kita hendak mengharap pada suara ‘Lemak Manis’ sahaja yang menghiasi majlis-majlis sastera? Sampai bila hendak mengharapkan Salman Sulaiman bersuara? Sampai bila sahaja hendak julang Nimoiz T.Y kemas kini status di Facebooknya apabila ada program bersama-sama dengan penulis tua?
Pun perlu akui, penulis muda ada fikirannya sendiri. Ada sebilangan daripada mereka yang menolak untuk hadir ke program penulis tua ini sebab memang program orang tua tidak cool. Depan mata saya lihat, macam mana seorang penulis tua boleh menjaja dan mempromosi bukunya di dalam dewan ketika persidangan sedang berlangsung? Kes-kes sebegini yang mengurangkan rasa hormat penulis muda kepada ‘otai-otai’ ini.
Penulis muda sering mengingatkan bahawa penulis tua perlu faham semangat zaman (zeitgeist) ketika itu dan penulis tua pula berlagak seperti dialah maestro dan tidak mahu menerima semangat zaman itu kerana zamannya lebih hebat.
Setiap zaman ada kehebatannya masing-masing. Saya pun pernah ditegur (oleh penulis muda) kerana saya sering kali meletakkan nilai romantis pada semangat mahasiswa tanah air sekitar tahun 1971. Kata penulis muda itu,
Setiap zaman ada semangatnya tersendiri, ada caranya tersendiri. 1970-an itu dengan cara mereka, dan kita sekarang ini, juga hebat setanding dengan mereka.
Dari segi pemilihan tajuk program, forum atau pembentangan kertas kerja pun—kalau tidak melihat siapa pembentangnya—saya sendiri dapat tebak itu adalah program orang tua. Kita memang ada satu jurang yang jelas dan ia perlu diakui. Juga menjadi kelakar apabila mereka bersidang dengan tema puisi dalam teknologi tanpa kehadiran penulis muda.
Kita banyak bermain kata dan berlapik dan sekali lagi saya tekankan, saya kurang gemar idea-idea lontaran Salman Sulaiman dan Jack Malik. Tetapi saya sedikit lega dengan Lokman Hakim kerana beliau mengajukan persoalan dasar—buat apa berpersatuan? Penulis tua atau muda, tugas penulis ialah menulis dan memberi komentar (juga medium tulisan) karya-karya yang ada.
Percayalah, tahun hadapan pun kita akan ada lagi forum bertajuk, “Mana Penulis Muda?” Bezanya panel masa itu sudah tua atau masih muda sahaja.
_________________________
Naim al-Kalantani merupakan graduan ijazah sarjana muda di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang penulisan kreatif di bawah Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem. Kini, dia menyambung pengajian di peringkat sarjana seni kreatif di tempat yang sama.