Oleh Lokman Hakim
17 Oktober 2023, 06:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Lokman Hakim membalas reaksi Salman Sulaiman di Pertemuan Penyair Nusantara XII baru-baru ini.

Selamat datang ke Persatuan Tengok Pokok Tepi Jalan. Tentatif kita pada esok hari adalah kita akan berkumpul di ruang parkir kawasan kejiranan Puncak Jalil dan tengok pokok-pokok di situ. Antara agenda yang kita akan bincang adalah kenapa daun pokok itu hijau dan bukan kuning? Oh ya, kita akan bincang juga kenapa pokok itu dinamakan ‘pokok’ dan bukannya ‘pohon’.

Begitulah persepsi saya setiap kali persatuan-persatuan sastera di negara ini menganjurkan acara-acara kesusasteraan. Perhimpunan karyawan. Wacana-wacana yang kononnya sarat ilmu hakikatnya membincangkan hal-hal remeh-temeh yang tidak menambah nilai ilmu pada hadirin. Masalah tentang khalayak sastera dibincangkan tanpa penyelesaian fizikal. Ya, masalah-masalah perihal khalayak sastera ini hanya di tahap diskusi tanpa ada tindakan oleh pihak berwajib untuk menyelesaikannya. Kenapa begitu? Barangkali, hal ini suatu refleksi penting terhadap permasalahan yang dibangkitkan itu tadi, iaitu inti patinya tidak penting pada masyarakat.

Tahun 2014 ialah tahun saya memulakan kerja-kerja menulis secara rasmi dengan terbitnya novel saya yang pertama. Sehingga kini, saya terus menulis, menghasilkan buku-buku baharu saban tahun dengan penerbit-penerbit yang pelbagai rencam dan kerenahnya. Kadangkala, saya menyertai acara perbukuan, menjadi panel dalam diskusi sastera dan meraikan pelancaran buku-buku baharu terbitan rakan-rakan penulis. Setiap tahun, saya akan mengambil serba sedikit waktu terluang untuk menulis karya-karya eceran yang saya hantar ke pelbagai platform.

Kesibukan bekerja menuntut perhatian lebih, maka saya mengutamakan hal-hal penting dalam usaha membina daya kepengarangan saya supaya boleh terus menghasilkan karya-karya baharu. Membaca karya-karya penting sastera kontemporari dan klasik sambil menganalisis gaya penulisan, buah fikiran dan teknik garapan itu suatu kemestian. Menggauli masyarakat di luar kelompok dunia sastera juga penting demi mendapatkan gambaran semasa isu-isu terkini untuk diterjemahkan ke dalam karya kreatif. Dan semestinya, saya menonton filem-filem yang dirasakan bermanfaat untuk memenuhi keperluan saya selaku penulis. Untuk terus-menerus bergelar pengarang, saya harus menulis. Maklumat di sekeliling dicerap melalui pelbagai bentuk dan kaedah sebelum diterjemahkan ke dalam bentuk karya sastera.

Hasilnya, saya tidak pernah ketandusan ilham ataupun mengalami kelesuan daya kepengarangan untuk menghasilkan karya-karya baharu saban tahun. Sejujurnya, saya sendiri juga ada terlibat dalam persatuan-persatuan sastera. Saya merupakan ahli seumur hidup Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA). Saya juga merupakan mantan presiden Persatuan Penulis Malaysia (Malaysian Writers Society). Namun begitu, setelah beberapa ketika melibatkan diri dalam aktiviti berpersatuan, saya melihat hal itu tidak memberi nilai tambah pada karier kepengarangan saya.

Saya tidak perlu berpersatuan untuk memastikan karya-karya saya sampai kepada khalayak. Saya tidak perlu menyertai wacana-wacana sastera untuk meningkatkan kualiti penulisan.

Kesibukan persatuan-persatuan ini sukar untuk saya gandingkan dengan matlamat menambah nilai kredibiliti seseorang pengarang. Suatu ketika dahulu, saya berpendapat, saya harus membina rangkaian sahabat-sahabat seperjuangan dalam dunia sastera melalui perhimpunan sebegitu. Namun begitu, rata-ratanya sahabat-sahabat penulis juga bergelut dengan masalah individu. Kehidupan pascawabak ini sukar – ekonomi kurang baik dan ramai harus bekerja lebih daripada satu pekerjaan demi menampung hidup. Rakan-rakan penerbit juga tidak kurang cabarannya. Untuk kekal relevan dengan buku-buku baharu dalam keadaan pola pembacaan yang tidak menentu, risiko rumah penerbitan tutup tidak boleh dipandang remeh.

Dalam erti kata lain, demi memastikan seorang pengarang itu kekal terbit buku saban tahun, dia harus rajin turun ke acara-acara sastera, khususnya anjuran penerbit-penerbit sasaran. Dalam mana-mana perniagaan sekalipun, rangkaian rakan-rakan dalam industri yang sama sangat penting demi kesinambungan hayat sesebuah perniagaan. Malangnya, hal ini tidaklah begitu terpakai untuk dunia sastera. Saya boleh pergi ke acara anjuran persatuan sastera tetapi apa pula faedahnya untuk saya?

Jadi soalnya tadi, untuk apa berpersatuan dalam kerja-kerja mengarang? Untuk penulis seperti saya yang dihimpit puluhan lagi komitmen yang harus dipenuhi setiap bulan rasanya tiada keperluan untuk berpersatuan sama sekali. Masa yang terhad selaku pekerja dunia pembinaan dan juga seorang bapa dan juga suami menuntut saya untuk menulis hanya pada waktu senggang yang rasanya tidak akan saya persiakan untuk menghadiri acara-acara sastera.

Seingat saya, saya hanya mahu jadi pengarang. Membaca berterusan dan menulis tanpa kekangan. Dapatkan anugerah sastera selaku penanda aras tahap penulisan saya. Cukuplah di situ.

_________________________

Lokman Hakim merupakan seorang jurutera lulusan Ijazah Kejuruteraan Awam dari Universiti Teknologi MARA Shah Alam dan bekerja dengan syarikat kontraktor pembinaan dari tahun 2007. Aktif menulis bermula dari tahun 2014 dan telah menulis beberapa buah novel, kumpulan cerpen, kumpulan puisi, dan buku motivasi. Cerpennya yang berjudul “Pengap” telah disenarai pendek untuk memenangi Hadiah Cerpen Komanwel 2019. Cerpennya yang berjudul “Jam Menanggalkan Jarumnya Lalu Menghitung…” telah memenangi Hadiah Utama untuk kategori cerpen dalam Anugerah Sastera Selangor 2021. Beliau juga telah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 untuk cerpen “Tiga Cerita Tentang Bahasa”. Di samping itu, cerpen-cerpen beliau juga telah memenangi hadiah penghargaan untuk Hadiah Sastera Selangor dan juga Hadiah Sastera Penulis Sarawak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.