Diterbitkan pada 2 Mei 2025, 09:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jawatankuasa Pertemuan Penyair Nusantara (PPN) XIII akan menerbitkan sebuah antologi Puisi Penyair Nusantara yang akan dilancar dan didiskusikan pada PPN XIII di Jakarta tahun ini.

Sehubungan itu, jawatankuasa berkenaan mengundang para penyair dari negara-negara peserta (Indonesia, Brunei Darussalam, Thailand, Singapura, Filipina, dan Timor-Leste) untuk mengirimkan tiga puisi untuk dipilih bagi antologi puisi PPN XIII.

PPN XIII akan berlangsung di Jakarta selama empat hari bermula pada 11 hingga14 September 2025 akan datang.

Acara yang diadakan selama dua tahun sekali itu sebelum ini telah diadakan di Kuala Lumpur pada 13 hingga 15 Oktober 2023.

Memetik laporan Badan Pengembangan dan Pembinaan Bahasa Kementerian Pendidikan Dasar dan Menengah, Jakarta, salah seorang penyelenggara PPN XIII, Ahmadun Yosi Herfanda, menjangkakan program tersebut akan melibatkan sebanyak 1,000 orang peserta dari seluruh negara.

“Kegiatan ini merupakan lanjutan darpadai PPN XII yang sebelumnya diselenggarakan di Kuala Lumpur, Malaysia. Kali ini, PPN di Jakarta mengusung ‘Puisi Untuk Persaudaraan dan Perdamaian’ sebagai tema besarnya,” kata Ahmadun menerusi laporan berkenaan.

Untuk rekod, PPN pertama diadakan di Medan pada tahun 2007, yang disertai oleh para penyair pilihan dari negara serumpun, iaitu Indonesia, Malaysia, Singapura, Brunei, dan Thailand menerusi pilihan karya.

Seorang lagi penyelenggara PPN XIII, Maman S. Mahayana berkata, PPN XIII menjadi medan strategis penyair dari Asia Tenggara dan sejumlah negara lain, seperti India, Cina, Korea Selatan, hingga Madagascar.

Jelasnya, pelbagai acara atau program menarik serta bermanfaat khususnya kepada para pencinta sastera akan diadakan, termasuk diskusi, orasi budaya, pembacaan puisi dan muzikalisasi puisi.

”Selain itu, acara ini juga akan menampilkan tradisi sastera pesantren, tantangan puisi pada era digital dan AI, serta pengajaran puisi di sekolah yang akan diselaraskan oleh Dewan Kesenian Jakarta dan Yayasan Hari Puisi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pelaksana PPN XIII, Imam Ma’arif berharap, program kali ini akan memberi kesan terbaik dalam sejarah sastera Asia Tenggara selain sebagai perayaan sastera yang inklusif dan berpengaruh.

Pada masa sama, beliau turut mengharapkan agar puisi dapat menjadi medium yang menyuarakan perdamaian dan hubungan kemanusiaan.

“PPN XIII bukan sekadar medan festival, melainkan juga forum strategis memperkuat jaringan sastera dan kebudayaan. Penyair diharapkan hadir dengan suara yang menenangkan dan menyemangati dunia.

”Dalam suasana yang sarat refleksi dan apresiasi, PPN XIII akan menjadi nafas baharu bagi ekosistem sastera Nusantara,” ujarnya.

Kredit Foto: Eko Herwantoro/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi