Oleh Karmila Azmi
14 Julai 2023, 15:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perubahan teknologi yang seiring dengan perkembangan zaman tidak harus ditakuti, sebaliknya dihadapi selain belajar untuk mengadaptasi dan juga menguasainya.

Hal ini disebutkan oleh ketiga-tiga panel yang ditampilkan dalam rancangan Sembang Tamu: Sastera dan Manusia dalam Simpang-siur Teknologi yang disiarkan di laman Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka minggu lalu, iaitu Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, Penerima SEA Write Award 2010, Zaen Kasturi dan Pensyarah Universiti Kuala Lumpur Dr. Fauzi Naeim Mohamed

Bagi Anwar Ridhwan, beliau menyifatkan dirinya sebagai imigran digital dalam ruang perkembangan teknologi masa kini.

Justeru katanya, beliau perlu belajar dan beradaptasi dengan perkembangan semasa.

“Hal perubahan teknologi ini sudah disebutkan sejak dulu, pada awal abad ke-19 hingga kini. Misalnya dulu, ada penulis di England, membayangkan bagaimana kalau ada kuasa kelajuan selain kereta kuda?

“Malah hari ini, sesuai dengan perubahan semasa juga kita melihat kemunculan internet dan bayangan mengenai kurangnya sambutan buku bercetak,” katanya.

Anwar berkata, dalam sastera pun hal seperti ini biasa dibuat oleh penulis. Misalnya, sebelum ini, ada novel fiksyen sains seperti Di. Ar. Ti oleh Rahmat Haroun, malah banyak filem yang mengangkat mengenai kecerdasan buatan, misalnya filem seperti A.I. Artificial Intelligence (2001) dan juga filem The Matrix (1999).

Hal ini katanya, menunjukkan kita perlu belajar benda baharu dalam hidup. Sepertimana karya sastera mungkin boleh dihasilkan dalam bentuk baharu dengan audiens yang baharu.

Bagaimanapun, tegasnya, hal yang paling utama ialah pendidikan sastera itu sendiri. Misalnya, bagaimana kita hendak mendidik murid untuk menghargai karya sastera dan melahirkan karya sastera.

“Keduanya, bagaimana khalayak boleh menerima dan menghargai sastera, seterusnya penerbit yang boleh terus menerbitkan karya sastera dalam bentuk apa pun, keempatnya perlunya pengkritik sastera yang kita tandus sekarang supaya kita faham karya mana yang baik dan tidak baik.

“Dan akhirnya, perlunya penghargaan kepada karya dan penulis yang baik,” katanya.

Sementara itu Zaen Kasturi menyifatkan, orang Melayu sudah berpandangan jauh dalam isu-isu teknologi.

Katanya, Sejarah Melayu yang memaparkan cerita Raja Suran turun ke laut tidak lagi menghairankan anak muda zaman ini kerana hal itu sudah pun dilakukan oleh ramai orang.

“Namun pada masa teks itu ditulis, ia adalah hal luar biasa dan ini membuktikan penulisnya orang yang berpandangan jauh.

“Perubahan teknologi harus didepani, kita perlu beradaptasi, ia tidak boleh ditolak kerana sudah menjadi sebahagian hidup kita,” katanya.

Sementara itu bagi Fauzi Naeim, manusia hari ini berada dalam perubahan teknologi dan teknologi banyak diperkatakan hingga timbul pandangan anti-Tuhan.

“Namun dalam perubahan teknologi itu, kita ada banyak pendekatan untuk kekal relevan. Ramai orang gentar dengan AI, tapi saya merasakan sebagai penulis atau pelukis kita perlu bereksperimen dengannya,” katanya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.