Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangJurufoto: Puan Zaidah Zakaria
Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Siti Zainon Ismail bermula pada hari ini hingga 2 November 2023 di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Wisma DBP.
Seminar ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Sasterawan Negara (SN) yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan yang mewakili Menteri Pendidikan, iaitu YB Puan Fadhlina Sidek. Menerusi majlis tersebut, YBhg. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan sekali gus melancarkan 10 buku Siri Kajian Pemikiran Sasterawan Negara.
Dalam ucapan perasmian, YBhg. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan menyatakan bahawa RM20 juta yang diberikan oleh YAB Perdana Menteri kepada agensi yang berpotensi untuk mengetengahkan karya seni dan sastera negara telah diagihkan secara saksama kepada DBP, Yayasan Karyawan, dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia serta penerbit dan institusi lain.
Kerajaan yakin dan percaya bahawa sastera dan persuratan dapat menghidupkan semangat patriotik cinta akan negara, sekali gus mendidik inspirasi moral dan nilai-nilai murni dalam jiwa bangsa Malaysia yang kita cintai ini.
Tegas beliau lagi,
Penghasilan 10 buah buku Siri Kajian Pemikiran Sasterawan Negara ini amat penting sebagai wadah korpus sastera di negara kita.
Sementara itu, dalam ucapan alu-aluan, Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari menyatakan bahawa sebanyak 16 pemakalah termasuklah penyampai ucaptama akan membentangkan kajian mereka dalam karya-karya terpilih Sasterawan Negara (SN) Siti Zainon Ismail.
Menurut YBrs. Dr. Hazami Jahari lagi, semua hasil kertas kerja seminar ini akan dikumpulkan dan diterbitkan dalam bentuk buku oleh DBP di bawah Siri Kajian Pemikiran Sasterawan Negara.
Ujar beliau lagi,
Antara tujuan penerbitan Siri Kajian Pemikiran Sasterawan Negara ini adalah agar bahan kajian ini kekal menjadi bacaan, korpus, dan rujukan para pengkaji, penulis, mahasiswa, dan masyarakat umum.
Antara tetamu yang hadir dalam majlis perasmian seminar dan pelancaran buku pada pagi tadi termasuklah SN Dato’ Seri A. Samad Said, SN Dato’ Rahman Shaari, SN Datuk Dr. Zurinah Hassan, pensyarah, mahasiswa dari Universiti Putra Malaysia, dan mahasiswa dari Universiti Kebangsaan Malaysia.