Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) berjaya membukukan 12 Cerita Pokok Makyung Fatimah Abdullah yang diperoleh secara lisan daripada adiguru Fatimah Abdullah.
Buku ini menjadi buku pertama di Malaysia yang mengandungi koleksi lengkap skrip pokok makyung dalam dialek Kelantan dan merupakan hasil usaha penyelidikan oleh Juhara Ayub, Eliza Mustafa dan Zaimah Zulkifli.
Ketika ditemui, Juhara Ayub yang juga seorang penggiat teater berkata, idea penulisan dan pengumpulan mengenai makyung muncul kerana kesukaran untuk mendapatkan naskhah berkaitan pembelajaran dan pementasannya.
“Sejak ASWARA ditubuhkan pada tahun 1994, hanya beberapa naskah makyung sahaja yang ada. Oleh sebab keterbatasan itu, maka persembahan makyung di ASWARA sentiasa membawa cerita yang sama
“Ada beberapa cerita makyung yang belum lagi dibuat ke dalam bentuk penulisan dan masih belum dibukukan, lantas dengan penghasilan naskhah ini mampu menjadi panduan kepada generasi akan datang sekali gus sebagai kenangan buat adiguru Fatimah Abdullah dalam memartabatkan seni warisan makyung,” jelasnya.
Fatimah Abdullah merupakan tenaga pengajar kursus makyung di ASWARA sejak tahun 2000 hingga kini.
Beliau yang juga merupakan Sri Panggung Makyung mengakui bahawa cerita-cerita makyung yang dihafalnya merupakan harta peninggalan arwah ayahnya yang tidak ternilai.
Oleh itu, penghasilan buku tersebut menjadi warisan turun-temurun dan lambang kasihnya terhadap arwah ayah yang telah mendidiknya selama ini.
“Buku ni ialah ilham daripada Tuhan untuk saya mengalirkan rasa cinta terhadap tradisi kepada generasi hadapan
“Bukan mudah untuk mewarisi adat turun-temurun ini, namun saya menguatkan diri dan mencipta semangat untuk bersungguh-sungguh memartabatkan tradisi kesenian makyung.”
Buku 12 Cerita Pokok Makyung Fatimah Abdullah menghimpunkan 12 cerita pokok makyung, seperti Dewa Pechil, Dewa Muda, Endeng Tejeli, Anak Raja Gondang 1, Dewa Indera Andera Dewa, Raja Bongsu Sakti, Raja Muda Laksana, Raja Besar Ho Gading, Raja Muda Lakling, Anak Raja Panah, Raja Tangkai Hati, dan Raja Dua Serupa.
Selain itu, buku itu juga mengandungi koleksi lagu, ucap tetap dan repertoir persembahan makyung.
Makyung telah diiktiraf sebagai elemen warisan tidak ketara oleh Pertubuhan Pendidikan Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 2022.