3 Januari 2023, 17:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Buku Antologi Drama Muzikal Mendam Rindu telah dirasmikan oleh SN Anwar Ridhwan di Galeri ASWARA, Kuala Lumpur, pada 29 Disember lepas. Menerusi sesi ucapannya, beliau menganggap bahawa beliaulah orang yang paling beruntung dalam menyaksikan diskusi dan pelancaran buku tersebut.

Ujarnya, “dahulu di Panggung Eksperimen, apabila drama muzikal Melayu pertama sekali dipentaskan di Malaysia iaitu Uda dan Dara, saya berpeluang menjadi penonton”. Seakan-akan menyusul titik bersejarah, Mendam Rindu pula merupakan sebuah usaha pertama pengumpulan drama muzikal sebagai sebuah antologi buku. Antologi tersebut ditulis oleh pelajar dan pensyarah ASWARA.

Antologi drama muzikal itu menampilkan empat karya terbaharu penulis graduan ASWARA, iaitu Fatema Ksani (Tia dan Kio), Azielahaneem Idris (BMW No. 19), SN Hayani (Mendam Rindu) dan Ain Hidayah Ahmad Bohari (Raja Siamang dan Puteri Ungka).

Penyunting antologi tersebut, Naim Al-Kalantani menyatakan bahawa keistimewaan karya ini kerana selain daripada masing-masingnya adalah daripada hasil usaha pelajar ASWARA sendiri, kesemua pengarang dalam antologi ini ialah pengarang wanita.

SN Anwar Ridhwan sedang menyampaikan ucapan berkenaan buku antologi tersebut.

Selanjutnya, SN Anwar Ridhwan pula berkongsi,

Penulis dalam antologi ini ialah pelajar yang sangat cemerlang serta berbakat – dalam pengalaman saya bersama mereka. Saya percaya mereka sebagai penulis pelapis. Drama itu ditulis adalah untuk dipentaskan, dan drama yang dipentaskan itu bertujuan menyampaikan kesedaran sosial. Mereka berpegang kepada prinsip ini, di samping menggunakan kemahiran mereka tentang latar yang dipelajari dengan kesedaran konteks kontemporari mereka.

Beliau juga menyifatkan setiap karya dalam antologi ini sebagai karya penting yang bernafas baharu. “Tia dan Kio” ciptaan Fatema Ksani disifatkan beliau sebagai sebuah cubaan kreatif yang turut mencabar para penggiat teater untuk mempersonifikasikan elemen zarah seperti molekul air dan minyak di atas pentas. Karya Azielahaneem Idris yang bertajuk “BWM No. 19” pula berdasarkan pengalaman dan sentimen bersangkut-paut dengan nostalgia penghuni Kuala Lumpur. SN Hayani menerusi “Mendam Rindu” yang merupakan sebuah drama bangsawan, yang menurut beliau merupakan genre yang memberi impak besar kepada teater moden. SN Hayani memanfaatkan pemahamannya terhadap seni drama dan persembahan tradisional untuk memerikan cerita bernafas baharu dalam dramanya itu. Ain Hidayah yang mengadaptasi Hikayat Raja Anggun Cik Tunggal dengan dramanya, “Raja Siamang dan Puteri Ungka” mengambil inspirasi daripada Pawang Ana, tokoh penglipur lara tersohor dan terpenting dalam budaya masyarakat Melayu.

Sasterawan Negara tersebut sempat menyatakan harapan agar setiap mahasiswa penulisan ASWARA sebelum meninggalkan alam kampus, sudah ada sekurang-kurangnya sebuah karya yang dapat dibukukan. Selain itu, beliau turut menyeru dan mencadangkan agar usaha penerbitan produk warga ASWARA ini menjadi produksi tahunan.

Sesi diskusi buku Antologi Drama Muzikal Mendam Rindu yang melibatkan para penulis dan Dr. Rosminah Tahar sebagai panel pembicara turut diadakan dalam program pelancaran buku ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.