Oleh Orked Una
24 Januari 2022, 08:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Mohd Anwar Rethwan (Anwar Ridhwan) merupakan penulis yang dikenali mempunyai kuasa kepengarangan yang tinggi. Karyanya mempunyai gaya naratif simbolisme yang menyulam pemikiran kompleks dan tidak gentar menyentuh tentang kuasa, politik, ideologi, pembunuhan, isu masyarakat, dan isu global. Hal ini menjadikan karya sastera beliau menarik untuk dikaji dan dikupas.

Pada hari Jumaat, 21 Januari 2022, Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) telah menganjurkan Seminar Cereka Drama Pentas Karya SN Dato’ Dr. Anwar Rethwan. Dalam seminar ini, sesi Bicara Drama Pentas Karya SN Anwar Ridhwan disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook ASWARA. Sesi Bicara Drama Pentas ini merupakan salah satu kursus wajib pelajar tahun akhir Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem bagi membentangkan kertas kerja mereka dan dinilai oleh panel terpilih.

Ahli panel kali ini terdiri daripada Zakaria Ariffin (penulis skrip, pelakon dan pengarah teater, bekas pensyarah ASWARA), Syed Mohd Zakir Syed Othman (penulis dan pemenang SEA Write Award), dan Fasyali Fadzly Saipul Bahari (Dekan Fakulti Teater). Seminar ini dimudah cara oleh Puan Roziah Adama.

Tiga naskhah teater yang dipilih sebagai kajian oleh tiga kumpulan pelajar tahun akhir ialah Orang-orang Kecil (DBP, 1990), Yang Menjelma dan Menghilang (DBP, 1992) dan Rumah Septuagenarian: Kumpulan 7 Drama Pentas (Nusa Centre, 2021).

“Cara Watak ‘Orang-orang Kecil’ Dikembangkan Melalui Petanda dalam Teks” merupakan kajian Nurarifah Fatema Khairulsani, Rabiatul Adawiyah Shamsul Kamar dan Aliff Haiwal Roslan yang memilih tiga daripada 13 petanda teater Tadeusz Kowzan, iaitu dialog dan arahan pentas (gesture and movement). Fokus kajian adalah kepada tiga watak, iaitu Doktor, Peguam dan Mereka. Watak-watak tersebut menyimpulkan arahan pentas dan dialog sebagai medium untuk mengembangkan perwatakan watak. Watak yang konsisten ialah watak yang diingati, dan watak yang diingati bukan sahaja melalui kostum dan pergerakan yang besar. Kumpulan ini dinilai oleh Zakaria Ariffin.

Siti Nurul Hayani Bahanudin, Nik Nur Athirah Mohd Hasmazi, dan Ain Hidayah Ahmad Bohari meneruskan pembentangan dengan “Pemikiran Anwar Ridhwan dalam Drama ‘Yang Menjelma dan Menghilang’”. Tiga pemikiran yang dianalisis ialah pemikiran politik, Islamik dan kreatif. Pengarang menyerlahkan pemikirannya melalui plot, kompleksiti watak dan simbol-simbol tertentu melalui pengalaman yang mengalirkan bakat dan memberi keupayaan kepada penulis untuk menghasilkan karya yang matang dan berkesan. S.M. Zakir yang merupakan panel penilai menyatakan, naskhah ini kompleks untuk dikaji malah para sarjana dan penggiat industri kreatif mengalami kesukaran menangani skrip dengan jelas.

Seminar diteruskan dengan pembentangan terakhir dengan tajuk “Kecelaruan Masyarakat dalam Kumpulan Drama Rumah Septuagenarian” yang dibarisi oleh Naim Abd Aziz, Norrazila Idris dan Hafiz Fardillah Mohd Rosli. Drama-drama yang dipilih ialah “Mentee Politik”, “Rumah Septuagenarian” dan “Concipies”. Setiap drama ini mempunyai kecelaruan diri akibat tekanan dan pengalaman watak masing-masing menerusi kupasan dalam “Kecelaruan Masyarakat dalam Drama ‘Concipies’”, “Masyarakat Warga Emas dalam ‘Rumah Spetuagenarian’” dan “Masyarakat Rasuah dalam Drama ‘Mentee Politik’”. Pembentang juga menyatakan pengarang cuba memberitahu bagaimana penyair dan sasterawan boleh berfungsi untuk berjuang dalam zamannya, seperti dalam drama “Mentee Politik”. Kumpulan ini dinilai oleh Fasyali Fadzly.

Bagi menutup sesi, para penilai menyatakan kualiti pelajar mencapai standard yang baik, berupaya mengkaji naskhah yang sukar, dan turut menekankan kepentingan memahami konteks dengan lebih baik apabila mendalami naskhah.

Tonton acara bicara karya di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.