27 Februari 2022, 10:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Tokoh dramatis, media dan penerbitan negara, Tan Sri Johan Jaaffar tampil sebagai penyampai ucaptama bagi Seminar 50 Tahun Kepengarangan Sasterawan Negara (SN) Datuk Dr. Anwar Ridhwan yang dianjurkan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) pada 23 Februari baru-baru ini.

Beliau yang mempunyai sejarah panjang secara peribadi mahupun profesional dengan Sasterawan Negara ke-10 itu menyifatkan Anwar Ridhwan sebagai pengarang ilmuwan yang menelaah nuansa dan rona bangsa dalam kertas ucap utamanya, “Tok Selampit Moden: Cakerawala Kepengarangan Anwar Ridhwan Melampaui Sebuah Apartment”, yang mengangkat cerita dan perjalanan kepengarangan Anwar selama 50 tahun.

Beliau menyifatkan juga Anwar Ridhwan sebagai pencorak dan pembentuk generasi seniman, generasi yang meneladani selok-belok pengarang itu. Menerusi novel terkenalnya Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, Johan Jaaffar menceritakan bagaimana novel itu mewarnai hari-harinya, lalu mendorong ke arah pembikinan skrip drama berdasarkan novel itu oleh beliau sendiri. Kemudian, Hari-hari Terakhir Seorang Seniman dipentaskan buat pertama kalinya, arahan Johan Jaaffar di Balai Budaya. Melangkau dua dekad, Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman telah menemui khalayak di layar khas siaran Astro pada tahun 2013, arahan Sabri Yunus.

“Begitulah karya Anwar Ridhwan membentuk diri saya dan mencorak perjalanan saya sebagai seorang seniman, yang juga melibatkan ramai antara kami dalam pementasan teater itu,” ujar Johan.

Tan Sri Johan turut membawa khalayak menelusuri perjalanan kepengarangan Anwar Ridhwan yang sangat prolifik dan unik, yang dibanjiri oleh karya berbentuk prosa. Johan memang bersetuju bahawa Anwar ialah seorang maestro dalam penulisan prosa. Naratif Ogonshoto yang dianggap oleh sesetengah pembaca sebagai adikarya Anwar; berdiri sebagai naskhah komentari terhadap isu kuasa dan penguasaan yang diceritakan dengan keadaan yang bukan konvensional dengan menggunakan realisme magis.

“Oleh kerana itu, Naratif Ogonshoto mempunyai pola naratif yang unik. Naratif Ogonshoto meletakkan watak dan lokasi dalam apung-apungan mitos pascamoden. Dengan lokaliti yang tidak pasti, pendekatan penceritaan yang tidak biasa dan tidak normal, aturan sekuen yang elastik, episod yang tidak mengikut aturan, sebuah karya yang memerlukan pembacaan dan penelaahan yang berulang kali atas sebab penceritaannya yang kompleks. Ia seakan-akan sebuah ‘artifak pascamoden’.

“Anwar mencipta dunianya yang sendiri. Menjadikannya seakan-akan buku bagi sebuah buku, atau buku sebagai sebuah dunia,” jelas Johan.

Anwar Ridhwan sebenarnya telah memulakan tradisi tukangan prosa yang baharu. Menurut Johan, Anwar menggandingkan kenyataan realiti dengan dunia abstrak. Seperti seorang Tok Selampit (penglipur lara), Anwar membawa sebuah cerita dengan cara yang segar dan baharu, tetapi sentiasa berpegang pada akarnya supaya tidak lari daripada jati diri bangsa dan tradisi.

Selama 50 tahun Anwar berkarya juga telah memperlihatkan beliau menyeberangi semua genre sastera kreatif. Susulan itu, drama tukangan Anwar Ridhwan memaparkan kebolehan beliau untuk meluaskan lagi cakerawala sastera Melayu. Menurut Johan, “Anwar membawa kelainan dalam dramanya, membina lapisan demi lapisan abstraksi dalam persembahan absurdisme. Seperti dalam Orang-orang Kecil, sebuah alegori pada situasi politik yang kacau dan keliru.”

Anwar Ridhwan juga dikenali sebagai pencerita luar biasa yang berkebolehan dalam pemilihan diksi; setiap patah perkataan dalam naskhahnya ditukang dan dikemas gabung secara teliti. Selain bakat beliau dalam kesusasteraan, ilmu bahasanya juga tidak dapat dinafikan.

Johan turut mengagumi kebolehan ini dan beliau menegaskan, Anwar Ridhwan membawa bahasa Melayu pada satu tahap yang lain, yang sebelum ini telah disempurnakan dalam bidang puisi oleh SN Usman Awang, SN A. Samad Said, SN Baha Zain, dan SN Muhammad Haji Salleh. Beliau memetik pengakuan Anwar yang berbunyi: “Saya gemar membaca puisi, tapi jarang-jarang menciptanya. Pada puisi yang ringkas dan padat, bahasanya yang penuh konotasi, dengan segala metafora memanipulasi bahasa secara berseni, ia menjadikan puisi itu hidup, berbentuk dan bergerak, berwarna dan menyampaikan perasaan, renungan dan pemikiran penyairnya.”

Johan Jaaffar berkata, “Setengah abad berkarya ialah pencapaian luar biasa. Ini bukan pengakhiran pengkaryaan beliau, dan saya percaya beliau akan terus menulis. Beliau penulis yang menyeberangi semua genre kreatif. Si ilmuwan yang menelaah nuansa rona bangsa. Pemerhati yang sentiasa menggunakan kebijaksanaan akal. Anwar Ridhwan masih berhutang pada dunia kesusasteraan.”

Tonton ucaptama penuh di sini.

Beli novel Naratif Ogonshoto.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.