Oleh Karmila Azmi
24 Februari 2022, 07:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Naskhah Penyeberang Sempadan tulisan Sasterawan Negara (SN) Datuk Dr. Anwar Ridhwan nyata membawa muatan ideologi yang menghantui watak utamanya, Kuay. Bermula dengan keinginannya membalas dendam kematian bapanya yang dibunuh oleh Inggeris, Kuay digambarkan tenggelam dalam ideologi, melompat daripada komunisme kepada demokrasi kapitalis, namun akhirnya kembali kepada Islam.

Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write) 2011 S.M. Zakir berkata, hal yang dialami oleh Kuay adalah asas kepada pembentukan manusia yang mana manusia walau apa-apa pun keadaannya ialah manusia yang beragama

“Malik Bennabi dalam naskhahnya Fenomena al-Quran menjelaskan kemodenan menentang adat resam dalam semua bentuk, tidak terkecuali agama dan akhirnya menjadikan manusia membuang agama.”

Hal ini kata S.M. Zakir, terlihat jelas pada watak Kuay yang pada ketika dia menganut ideologi komunisme yang membuang agama, dia mendekati demokrasi kapitalis yang menjadikan manusia sebagai objek dagang.

“Kuay mencari kebenaran dalam hidup dan dalam Penyeberang Sempadan dia bergelut dengan norma tradisional dan berasa terasing dan diganggu oleh bau.

“Konsep bau ini menarik untuk diperhatikan kerana ketika dia memeluk ideologi komunisme, dia diikuti bau itu hinggalah ketika dia beralih kepada demokrasi kapitalis. Kuay hanya berhenti menghidu bau itu ketika dia kembali kepada Islam,” katanya ketika mengulas mengenai perbandingan antara novel Penyeberang Sempadan dengan skrip drama “Rumah Septuagenarian” dalam Seminar 50 Tahun Kepengarangan SN Datuk Dr. Anwar Ridhwan anjuran Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), semalam.

Sesi itu yang dimudahcarakan oleh Mohd Nazmi Yaakub turut menampilkan Pensyarah Kanan Pengajian Media Universiti Malaya, Dr. Mohd Saleeh Rahamad; kritikus filem A. Wahab Hamzah dan Ketua Kluster Warisan Melayu,Pusat Kajian Bitara Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Mawar Safei.

Tegas Syed Mohd Zakir, hal ini menjelaskan agama ialah pembentuk asas manusia, apatah lagi dalam konteks Kuay. Dia digambarkan sebagai manusia yang mempunyai dua personaliti. Malah, dalam babak akhir Penyeberang Sempadan, Kuay dikatakan bukan seorang nasionalis tetapi orang yang berhadapan dengan masalah mental.

“Kita boleh lihat bagaimana agama mendasari Kuay walaupun dia menulis dengan tangan kiri tetapi ada ketikanya di bawah sedarnya, dia menulis dengan tangan kanan dan mengakui agama Islam,” katanya.

Tegas Syed Mohd Zakir, peribadi watak Kuay ini tidak boleh diselami lanjut jika seseorang itu hanya membaca Penyeberang Sempadan yang pada pandangan beliau terlalu singkat untuk memperlihatkan perjalanan kembalinya Kuay kepada agama Islam. Apatah lagi dia dikatakan berada dalam ideologi komunisme pada tempoh yang panjang.

Namun katanya, lengkapnya pemahaman pembaca terhadap Kuay adalah menerusi skrip yang dihasilkan oleh Anwar, iaitu “Rumah Septuagenarian”.

“Pembacaan terhadap Penyeberang Sempadan hanya akan lengkap dengan menikmati ‘Rumah Septuagenarian’,” katanya.

Tonton seminar penuh di sini.

Beli novel Penyeberang Sempadan dan kumpulan drama pentas Rumah Septuagenarian.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.