Oleh Karmila Azmi
26 Februari 2022, 08:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Saya masih bersekolah ketika berlakunya tragedi sosial 13 Mei 1969. Dari atas bukit tempat asrama yang saya duduki, boleh dilihat api membakar Kuala Lumpur dan rangka bas. Ingatan itu saya rakam dalam cerpen ‘Satu Tiga Sifar Lima’,”  demikian kata Sasterawan Negara (SN) Datuk Dr. Anwar Ridhwan pada Seminar 50 Tahun Kepengarangan SN Datuk Dr. Anwar Ridhwan anjuran Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) 23 Februari lalu.

Rakaman ingatan itu sebenarnya bukan hanya sebahagian daripada plot cerpen berkenaan, namun bagi pensyarah Universiti Malaya, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, itulah pemikiran Anwar sebagai nasional intelektual.

Mohamad Saleeh dalam seminar yang sama ketika membentangkan kertas kerja “Satu Tiga Sifar Lima: Anwar Ridhwan sebagai Nasionalis Intelektual” menjelaskan, Anwar tidak menulis bagi menuntut perjuangan sebuah negara yang merdeka tetapi lebih menekankan cara kemerdekaan itu diisi.

“Anwar menulis mengenai nasionalisme yang sesuai dengan zamannya. Mengisi kemerdekaan adalah untuk membentuk pemikiran dan bagaimana bangsa boleh hidup di tengah-tengah pergelutan ekonomi.

“Adakah bangsa lain akan turut serta dalam membangunkan negara atau menjadi internal colonialism adalah antara pemikiran yang boleh kita fikirkan,” katanya.

Tegas Mohamad Saleeh, karya yang terhimpun dalam kumpulan cerpen Satu Tiga Sifar Lima terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 2012  itu membebaskan naratif kurungan realisme dari segi falsafahnya yang dibawa dengan kepelbagaian teknik cerita dan bentuk.

“Nasionalisme dalam naskhah itu boleh dilihat dalam kebanyakan cerpen, selain ‘Satu Tiga Sifar Lima’, ia boleh juga dilihat dalam ‘Dua Kelahiran Satu Pengebumian’. Ia menjentik kita memikirkan pembentukan negara selepas merdeka perlunya kepada kesatuan bangsa dan pemulihan maruah diri bangsa.

“Dalam konteks ini, ia merujuk kepada bangsa Anwar sendiri, iaitu orang Melayu yang perlu punya misi yang sangat besar. Walaupun kita bebas menentukan diri sendiri tetapi bagaimana keperluan itu diisi adalah apa yang dinamakan nasionalisme,” katanya.

Kata Mohamad Saleeh dalam konteks ini, Anwar sedar tanggungjawabnya sebagai pengarang untuk bersuara tanpa perlu tunduk kepada politik. Beliau juga memikirkan bangsanya daripada golongan yang paling bawah hinggalah kepada yang paling atas.

Tegas Mohamad Saleeh, sikap begini ialah nilai universal dalam kalangan pengarang dunia yang sehingga kini menjadi bahan wacana akademik dan sosial.

Tonton seminar penuh di sini.

Beli kumpulan cerpen Satu Tiga Sifar Lima.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.