Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Toko Buku Rakyat telah menganjurkan sebuah diskusi tentang ‘Persoalan-persoalan Falsafah Dalam Gapura Wacana” pada hari sabtu yang lepas.
Falsafah merupakan hal yang melelahkan untuk ditelaah, dipelajari, difahami dan diajarkan, namun terdapat keasyikan dalam menerokainya, justeru mendatangkan pesona ketika menekuninya.
Demikian jelas Prof Madya Dr. Saiful Akram Che Cob ketika berdiskusi.
Gapura Wacana merupakan sebuah karya terbaharu nukilan beliau yang mengajak pembaca mendalami falsafah atau pemikiran para filsuf seantero dunia berserta karya-karya besar mereka.
Sebanyak 31 orang ahli falsafah dibincangkan dalam buku ini, mutiara fikir mereka dibahas dalam bahasa yang mudah supaya inti kefalsafahan mereka mudah di hadam.
Malah dalam buku ini beliau menggunakan bahasa yang tidak terlalu terikat oleh terma dan perkataan yang terlalu jargon supaya tulisan yang dibaca kelak memudahkan para pembaca.
Bermula dengan bab makna dan fungsi falsafah seterusnya kerangka fikiran filsuf ternama zaman Yunani seperti Aristotle, disambung oleh pemikir Rom sehinggalah ke permulaan falsafah moden di Eropah pada abad ke-16 yang dipelopori oleh Rene Descartes.
Sebelum menutup diskusi, beliau mengganggap Kassim Ahmad dan Pendeta Zaa’ba sebagai tokoh tempatan yang sebaris dengan nama – nama besar tokoh falsafah dunia kerana cetusan serta sumbangan yang dibuat oleh mereka terlalu besar kepada masyarakat.