Oleh Firdaus Mul
25 Mac 2023, 12:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Langkawi – “Dengan bahasa menjadikan kita bersama, bahasa perlu bersama untuk menjaga hati, setelah hati dan bahasa dijaga maka keluarga itu akan harmoni.” Demikian ungkapan menarik yang dilontarkan oleh SN Rahman Shaari ketika berucap menjadi tetamu khas di Festival Buku Langkawi, Kedah.

Beliau berucap ketika menjadi panel dalam Siri Rancangan Lidah Rakyat: Sujana Kata Sasterawan Negara anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berkaitan ‘Puisi Era Terkini’,  yang mana menyentuh teori yang diciptanya iaitu anjakan makna.

SN Rahman Shaari sedang menyampaikan ucapan ketika acara berlangsung di Pusat Beli-belah Langkawi Fair, baru-baru ini.

Makna boleh berubah mengikut situasi, apatah lagi dikaitkan dengan orang yang berbahasa dalam lingkungannya, maka jika kita berada di dalam ruang yang sama barulah bahasa itu sebagai alat penghubung.

Kemudian, beliau melanjutkan bicaranya dengan mengimbau dan mengupas puisi  yang dihasilkan oleh pengarang pada tahun 30-an seperti Punggok yang menulis gaya puisi seperti syair.

Memasuki tahun 40-an, ada puisi yang dihasilkan oleh Mahsuri SN telah lari daripada gaya yang ditulis oleh Punggok yakni beliau tidak berlemah-lembut tetapi kasar. Selepas itu, gaya makin kehadapan mengikut peredaran zaman.

Pada masa kini, teknologi telah merubah keadaan, banyak puisi yang dihasilkan oleh seseorang penulis terus dimuat naik ke media sosial menyebabkan mutunya tidak boleh diulas oleh seseorang editor yang berwibawa. Lantaran puisi yang dihasilkan tidak membawa kemajuan dalam bidang kesusasteraan.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.