Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKota Kinabalu – “Saya juga sentiasa sedar akan idea yang tiba-tiba muncul dan pastinya akan menulis idea tersebut segera yang boleh”, ujar Datuk Jasni Matlani (Penerima SEA Write Award 2015) dalam “Bengkel Penulisan Cerpen/Novel – Meneroka Kearifan Tempatan” yang telah diadakan pada 23 hingga 24 September lepas.
Bengkel tersebut merupakan kerjasama antara Bahagian Buku Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan Unit Penerbitan Dewan Bahasa Cawangan Sabah dan dihadiri oleh seramai 25 orang peserta yang terdiri daripada penulis yang berasal dari Sabah.
Bengkel yang dibimbing oleh Datuk Jasni Matlani ini menggalakkan penulis menghasilkan karya berkaitan dengan kearifan tempatan. Dalam bimbingan tersebut, beliau juga memberikan saranan agar para penulis menghasilkan karya persendirian, seperti kumpulan cerpen, kumpulan puisi atau novel.
Selain itu, beliau juga banyak memberikan panduan berkaitan dengan disiplin dan cara terbaik untuk menyiapkan karya. Berkenaan hal tersebut, beliau juga menceritakan perihal pengalamannya sendiri dalam menghasilkan karya. Ujarnya,
Saya selesa menulis pada bulan Ramadan. Saya gunakan sepenuhnya bulan Ramadan untuk menghasilkan karya yang bermutu, selain menambah karya yang sedia ada. Saya juga sentiasa sedar akan idea yang tiba-tiba muncul dan pastinya akan menulis idea tersebut segera yang boleh.
Selain itu, dalam bengkel bimbingan tersebut juga para peserta bengkel turut didedahkan dengan penggunaan laman wadahdbp.my yang bertujuan mengetengahkan bakat penulis baharu. Peserta bengkel juga diberikan taklimat berkenaan dengan cara memuat naik karya masing-masing ke dalam portal berkenaan.
Seterusnya, Datuk Jasni juga menyarankan agar para penulis baharu menyerahkan manuskrip karya mereka untuk diterbitkan di DBP selain memerihalkan pengalaman beliau sendiri dalam mengurus hal-hal berkaitan manuskrip karya.