Oleh Aninah Janang
29 September 2023, 23:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyampaikan Anugerah Bakti Sastera GAPENA 2023 kepada Datuk Jasni Matlani.

Kota Kinabalu – Datuk Jamdin Buyong dan Datuk Jasni Matlani dinobatkan sebagai penerima Anugerah Bakti Sastera GAPENA 2023 bersempena dengan Hari Sastera Ke-19, yang berlangsung pada malam ini, di Hotel Promenade, Kota Kinabalu, Sabah.

Penyampaian anugerah itu disampaikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dalam majlis yang penuh gilang-gemilang yang turut dihadiri oleh ratusan tokoh dan pengamal sastera, bahasa dan budaya dari serata Malaysia.

Pemilihan Datuk Jamdin dan Datuk Jasni Matlani sebagai penerima Anugerah Bakti Sastera GAPENA adalah berdasarkan sumbangan besar kedua-dua tokoh ini dalam menyemarakkan dunia sastera dan bahasa yang bukan sahaja pada peringkat negeri Sabah, tetapi sehingga ke peringkat antarabangsa.

Dilahirkan pada 5 September 1946, di daerah Putatan, Sabah, Datuk Jamdin bukan sahaja pejuang bahasa dan sastera, tetapi seorang tokoh yang banyak terlibat dalam proses sejarah di Sabah. Beliau merupakan seorang ahli sejarah yang tidak boleh dinafikan ketokohannya. Dalam gerakan bahasa dan sastera tanah air pula, nama beliau terpahat dalam tinta emas. Selain itu, beliau juga merupakan pelopor siaran bahasa Bajau di radio RTM. Hal ini jelas menunjukkan betapa banyak jasa dan sumbangan beliau dalam perkembangan sastera di Sabah.

Sepanjang pelibatannya dalam dunia sastera dan bahasa,  beliau telah menghasilkan sejumlah buku dalam pelbagai bidang dan genre. Karya beliau dalam bentuk puisi telah dimuatkan dalam dua buah buku kumpulan puisi yang beriudul Ada dalam Tiada (DBP: 2008) dan buku kumpulan Puisi Kembara Kayangan (DBP: 2018). Sebuah novel beliau berjudul Dayang Masniah diterbitkan oleh Iris Publishing and Distributor (2023). Sebuah lagi buku beliau dalam genre cerpen berjudul Ombak Malam yang dijangka diterbitkan pada penghujung tahun ini. Beliau turut menulis sejumlah buku untuk bacaan umum, antaranya termasuklah buku Perjuangan Peribumi Menentang Penjajah (1981) dan Perjuangan Kemerdekaan di Sabah: Satu Kesinambungan Cetusan (2000). Buku beliau yang berjudul Rona-rona Bahasa telah diterbitkan oleh DBP pada tahun 2017. Buku ini telah dipilih sebagai pemenang Anugerah Buku Umum Terbaik 2017 oleh Ketua Menteri Sabah. Buku berkenaan berkisar tentang penggunaan bahasa Melayu, sejarah perjuangan bahasa itu sehingga menjadi bahasa rasmi di Sabah, permasalahan penggunaannya di sektor kerajaan dan swasta, serta huraian mengenai kekeliruaan penggunaan bahasa Melayu.

Sementara itu, Datuk Jasni Matlani yang merupakan Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) dan Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merupakan pejuang dan tokoh bahasa dan sastera yang terkemuka di negeri ini. Pengarang kelahiran Beaufort ini merupakan penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2015. 

Beliau dikenali sebagai satu daripada tokoh yang memperkenalkan genre “Puisi Esei” sebagai satu genre baharu di negara ini,  di rantau ASEAN dan global. Disebabkan komitmen dan ketokohannya, Datuk Jasni telah dipilih sebagai Presiden Pertubuhan Komunitas Puisi Esei ASEAN yang berpusat di Jakarta dan bertanggungjawab menyebarluaskan genre puisi esei ke peringkat global.

Beliau telah menghasilkan lebih daripada 40 buah buku dalam pelbagai genre dan telah memenangi pelbagai hadiah yang berprestij di negara ini, antaranya termasuklah Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) Kategori Buku Kumpulan Cerpen 2015/2016 dan pada HSPM 2020, tiga buah buku beliau berjaya memenangi anugerah tersebut, serta banyak lagi sumbangan besarnya terhadap bahasa dan sastera di negeri ini yang melayakkannya menerima Anugerah Sasterawan Sabah pada tahun 2019.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.