Oleh Aninah Janang
30 September 2023, 23:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Kota Kinabalu – Hari Sastera Ke-19 yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah sejak dua hari yang lalu (29 – 30 September 2023), malam ini melabuhkan tirainya. Sepanjang tempoh itu, pelbagai sudut pandang yang telah dikongsikan menerusi seminar, pembentangan kertas kerja dan forum sastera mutakhir daripada tokoh sastera, bahasa dan budaya terkemuka negara seharusnya menjadi titik mula untuk mengangkat sastera kebangsaan ke tahap tertinggi dan terpenting dalam memajukan tamadun bangsa dan negara menerusi perkembangan semasa yang berlaku sama ada di negara kita atau di Asia Tenggara.  

Dalam Majlis Penutupan Hari Sastera Ke-19, yang berlangsung di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, Kota Kinabalu, Datuk Isnin Aliasnih, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah I, dalam ucapannya meletakkan harapan yang tinggi kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Hari Sastera Ke-19 agar mengambil peluang terhadap perkembangan yang berlaku di negara jiran kita, khususnya Indonesia.

“Umum mengetahui bahawa Indonesia akan memindahkan ibu negaranya dari Jakarta ke Kalimantan Timur, maka itu sudah tentu pemindahan ibu kota ini akan turut mempengaruhi perkembangan yang berlaku di Sabah dan Sarawak termasuklah dalam bidang sastera dan budaya. Oleh itu, saya berharap agar pemegang taruh, iaitu para penulis, aktivis sastera dan budaya mengambil peluang ini untuk memperkasakan sastera dan budaya di tempat masing-masing, khasnya di Sabah. Saya juga yakin Sabah amat berpotensi untuk dijadikan ‘Hab Sastera Asia Tenggara’ dan harapan ini boleh direalisasikan bermula dari sekarang,” ucap Datuk Isnin. 

Datuk Isnin Aliasnih berucap dalam Majlis Penutupan Hari Sastera Ke-19, di IPG Kampus Gaya, Kota Kinabalu.

Tambah beliau lagi, dalam merealisasikan impian tersebut, badan penulis yang sedia ada hendaklah terus menganjurkan atau mengadakan pelbagai aktiviti atau kegiatan yang berkaitan dengan sastera dan budaya. Menerusi usaha tersebut, negeri Sabah diyakini akan terus berada di landasan yang kukuh untuk menjadi sebuah negeri yang bertamadun melalui peningkatan tradisi keilmuan, iaitu dengan memberikan penghormatan yang besar terhadap sastera, bahasa dan budaya.

Pada majlis yang sama, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Puan Aminah Awang Basar, dalam ucapan sambutannya turut mengajak para peserta dari seluruh negara termasuklah delegasi dari Brunei yang telah menyertai Hari Sastera Ke-19 untuk terus memperkukuh hubungan rapat antara sastera, bahasa dan budaya.

Puan Aminah Awang Basar, Pengarah DBP Cawangan Sarawak, memberikan ucapan sambutan dalam Majlis Penutupan Hari Sastera Ke-19.

“Melalui pelbagai pengisian sepanjang berlangsungnya Hari Sastera Ke-19, kita dapat menyaksikan hubungan rapat antara bahasa, sastera dan kebudayaan semakin diperkukuh. Ketiga-tiga aspek ini perlu saling dihayati dan dihargai agar perpaduan dapat diteguhkan dalam kalangan masyarakat pada hari ini. Kita pastinya sudah sedia maklum, konteks perpaduan amat dititikberatkan dalam negara kita sementelahan rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum. Sehubungan dengan itu, keberadaan kita dalam Hari Sastera ini tidak seharusnya disia-siakan. Dengan rendah hatinya, saya ingin mengajak tuan-tuan dan puan-puan untuk terlibat sama dalam usaha memperbanyak karya sastera kebangsaan yang penuh dengan nilai-nilai positif agar generasi muda khususnya, lebih memahami keupayaan sastera dalam memupuk kesejahteraan negara,” ucap Puan Aminah.

Penganjuran Hari Sastera Ke-19 pada tahun ini mengangkat Sabah sebagai tuan rumah dengan tema “Maju Jaya dalam Sastera Kebangsaan”. Lebih siginifikan lagi apabila acara ini diadakan bersempena dengan ulang tahun ke-60 Sabah merdeka dan sebagai memperingati 50 tahun bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi di negeri Sabah.

Sejak tahun 1972, penganjuran Hari Sastera adalah bermatlamat untuk menghimpunkan para pengarang, sarjana dan peminat bahasa, sastera dan budaya untuk membincangkan persoalan bahasa, sastera dan budaya dalam tema tertentu yang bersesuaian dengan keadaan semasa; menyediakan ruang kepada para pengarang dan sarjana untuk bertemu dan membincangkan karya mereka; memberikan kefahaman kepada masyarakat tentang perkembangan sastera mutakhir; dan membuat  rumusan dan cadangan untuk meningkatkan kualiti karya sastera dalam konteks membina peradaban bangsa Melayu di Malaysia dan serantau Asia Tenggara.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.