Oleh Asrar Ab Latif
1 Oktober 2023, 12:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Pengantarabangsaan sastera kebangsaan menjadi topik perbincangan dalam salah sebuah sesi pembentangan sempena Hari Sastera ke-19 di Hotel Promenade, pada 30 September lepas.

Timbalan Pengarah merangkap Urus Setia Tetap Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Encik Mohd Khair Ngadiron menerusi pembentangan kertas kerjanya bertajuk “Pengantarabangsaan Sastera Kebangsaan Melalui Pesta Buku Antarabangsa” menganalisis kejayaan sastera kebangsaan Malaysia dalam memperoleh pengiktirafan global. Selain itu, beliau juga mengutarakan cadangan serta strategi bagi memperkukuh lagi kehadiran dan kepentingan sastera Malaysia dalam acara pesta buku antarabangsa tersebut dengan dasar-dasar seperti Dasar Buku Negara, Dasar Galakan Membaca dan Dasar Industri Kreatif Negara.

Timbalan Pengarah merangkap Urus Setia Tetap Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Encik Mohd Khair Ngadiron ketika memperkatakan tentang laluan untuk pengantarabangsaan sastera kebangsaan.

Menurutnya, antara keberhasilan usaha tersebut adalah apabila berjaya mempromosikan pelbagai genre penulisan yang diterima di pesta buku antarabangsa. Beliau turut memberikan contoh karya penulis seperti SN Muhammad Haji Salleh dan Salleh Ben Joned yang telah menarik minat pembaca antarabangsa dengan puisi dan prosa yang berfokuskan pada tema budaya dan identiti Malaysia.

YBhg. Datuk Jasni Matlani sedang memperkatakan tentang peranan BAHASA dalam perkembangan sastera kebangsaan.

YBhg. Datuk Jasni Matlani yang merupakan penerima Anugerah Bakti Sastera GAPENA pula membentangkan kajiannya bertajuk “Pengantarabangsaan Sastera Kebangsaan: Pengalaman Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA)”. Menerusi pembentangannya itu, beliau menegaskan bahawa bahasa Melayu merupakan medium penting dalam mengantarabangsakan sastera kebangsaan dan juga merupakan salah satu elemen utama dalam konteks memperkasakan sastera kebangsaan. Tegasnya, 

Jika bahasa Melayu semakin tercicir disebabkan tindakan segelintir ahli politik yang membelakangi perlembagaan negara dalam banyak hal, termasuklah dalam konteks isu bahasa Melayu, maka ia mesti diperbetulkan.

Tambahnya lagi, jika bahasa Melayu diketepikan, tidak mustahil tempatnya bakal digantikan oleh bahasa Inggeris yang menjadi lebih 76 bahasa dominan sebagai bahasa Lingua Ekonomika dan Lingua Teknologika pada peringkat antarabangsa.

Menyoroti kembali pengalaman beliau sebagai Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), BAHASA juga melaksanakan pelbagai program pertemuan sastera bersifat serantau seperti program Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam Peringkat Nusantara, Festival Antarabangsa Kesusasteraan dan Kesenian Sabah, Festival Puisi Esei Antarabangsa termasuk juga Dialog Teluk serta Dialog Serantau Borneo Kalimantan yang melibatkan tiga negara, iaitu Indonesia melalui wilayah Kalimantan, Negara Brunei Darussalam dan Malaysia yang diwakili Wilayah Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Dr. Raja Rajeswari Seetha (Ahli World Nations Writers Union (WNWU).

Pembentang seterusnya iaitu Dr. Raja Rajeswari Seetha (Ahli World Nations Writers Union (WNWU) dengan tajuknya “Puisi Melayu di Persada Dunia: Sorotan Pengalaman” turut mengulas berkaitan dengan genre puisi Melayu. Ulasnya,

Puisi Melayu mendapat pengiktirafan dan penghormatan tertinggi pada peringkat antarabangsa kerana ilmu, fikiran abstrak, metaforikal, konseptual, idea metafizik dan tasawuf kompleks disalurkan secara kreatif melalui bahasa konotatif.

Lanjut beliau, antara pengalaman berharganya adalah apabila julung-julung kalinya beliau mendeklamasikan puisi Melayu moden di Dhaka untuk program Kathak Bangladesh-Malaysia Poets Summit pada bulan Februari tahun 2015 di beberapa lokasi di Bangladesh.

Jelas beliau, pada peringkat awal penulis mendeklamasikan puisi dalam bahasa Melayu dan sesudah itu menyampaikan terjemahannya dalam bahasa Inggeris agar penyair yang tidak memahami lontaran puisi dalam bahasa Melayu dapat memahami dan menghayatinya dalam bahasa Inggeris. Beliau menjelaskan bahawa sesudah mendengar deklamasi dalam dwibahasa, penonton terpesona dengan vokal, intonasi, nada dan artikulasi dalam bahasa Melayu meskipun tidak memahaminya.

Beliau juga turut mengagumi DBP kerana tidak ketinggalan dalam mengantarabangsakan sastera apabila pada tahun 2022, Pertandingan Mencipta dan Mendeklamasikan Puisi antara Dewan Bahasa dan Pustaka dengan Motivational Strips telah dianjurkan dengan ahli Motivational Strips dari pelbagai negara yang menuturkan pelbagai bahasa. Pertandingan ini menjadi pembuka mata terhadap kedudukan sastera kebangsaan, khususnya puisi Melayu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.