Oleh Asrar Ab Latif
1 Oktober 2023, 15:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – “Generasi muda berkembang seiring dengan perkembangan teknologi semasa. Mereka mencipta padang sastera sendiri. Perkakasannya berbeza tetapi tujuannya sama seperti yang telah dicapai oleh para sasterawan serta penulis veteran sebelumnya; iaitu menghasilkan karya yang bermutu”, ujar Ruhaini Matdarin, penulis muda yang aktif berkarya menerusi pembentangannya bertajuk “Penulis Muda Sedekad yang Cemerlang” dalam Hari Sastera Ke-19 yang berlangsung di Hotel Promenade pada 30 September lepas.

Ruhaini Matdarin ketika mengupas tentang penulis muda.

Ruhaini Matdarin juga sempat mengulas beberapa jejak penting generasi penulis muda yang telah dicapai dalam dunia penulisan. Antaranya ialah:

  • Ekosistem baharu dunia perbukuan apabila penulis muda sendiri yang menjadi penerbit, penjual, wakil pengedar, dan penggiat industri yang proaktif.
  • Penulis muda dan persatuan apabila persatuan mapan seperti Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) yang mengetengahkan kegiatan yang boleh menarik minat serta pelibatan anak muda, misalnya program Kata Buku hasil kerjasama Persatuan Booktube Malaysia.
  • Keghairahan menjadi penyair apabila buku puisi Teruntuk Langit yang Bercanda karya Jiwa, diulang cetak sebanyak sepuluh kali dan dijual lebih 16 ribu naskah hanya di pelantar Shopee telah mencipta khalayak pembacanya yang tersendiri dalam kalangan pembaca muda yang inginkan bacaan ringan dan selapis.
  • Akses ke peringkat antarabangsa apabila kehadiran penterjemah bebas seperti Pauline Fan dan Adriana Manan yang aktif mencari cerpen dan puisi yang disiarkan di akhbar tempatan terutama dalam laman web SelangorKini serta buku-buku dari penerbit kecil yang secara tidak langsung merancakkan perkembangan penulis generasi muda yang bergerak di luar arus perdana.
  • Semangat mandiri apabila wujudnya suatu pelantar bagi penulis muda yang tidak tahu cara untuk terjun ke medium arus perdana bagi memulakan langkah awal dalam bidang penulisan seperti usaha yang dilakukan oleh penulis Sanusi Din Assingkiri yang rancak menawarkan bengkel penulisan puisi bagi penulis pemula.

Dalam sesi yang sama, Nisah Haron selaku Ketua Satu Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) turut membentangkan kertas kerjanya bertajuk ChatGPT (Generative Pre-trained Transformer). Kongsinya,

Aplikasi kecerdasan buatan, iaitu ChatGPT dan yang seangkatan dengannya, merupakan alat yang menjadi mimpi ngeri penulis atau suatu kaedah yang boleh dimanipulasi untuk kebaikan penulis.

Melihat beberapa kelemahan yang ditemui, Nisah Haron menjelaskan bahawa ChatGPT bukanlah jalan pintas untuk menghasilkan karya kerana setiap penulis sejati sedar bahawa proses menghasilkan karya bukanlah semudah umpama memesan secawan kopi menggunakan aplikasi Grab Food atau Food Panda. Meskipun, dengan kombinasi soalan dan permintaan (prompts) yang terarah, ia boleh menghasilkan sesuatu yang mirip kepada sebuah sajak, esei atau mungkin bab sebuah novel.

Nisah Haron, Ketua Satu Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) memperkatakan tentang penggunaan ChatGPT dalam menulis karya.

Namun, ‘karya’ yang dihasilkan itu hanyalah peniruan kepada bentuknya, dan kandungannya hanya percampuran ungkapan atau ayat yang tidak membawa suatu makna. Kaedah ini seperti diambil daripada banyak sumber yang dicantum-cantumkan agar menjadi suatu respons kepada permintaan. Terangnya lagi,

Jadi, meminta ChatGPT menulis karya kreatif bukanlah tindakan yang bijak kerana boleh dikesan kejanggalannya oleh mata pembaca dan editor yang berpengalaman.

Walaupun ChatGPT dilihat seperti tidak membantu, namun hakikatnya aplikasi ini turut mengandungi beberapa kebaikan untuk kegunaan penulis kreatif, antaranya termasuklah dapat memperluaskan kreativiti, menjana idea, dapat membuka halangan rintangan pengarang (writer’s block), boleh membantu mengembangkan watak dan perwatakan, menggilap plot cerita, mengelak klise dan membantu penulis dalam penyuntingan dan pemurnian teks.

Seterusnya, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad selaku Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi, Universiti Malaya melihat peranan sastera kebangsaan menerusi pembentangannya bertajuk “Sastera Kebangsaan sebagai Kuasa Kelima dalam Gagasan Malaysia MADANI”.

Menurutnya, wilayah kekuasaan sastera boleh dikonsepsikan sebagai ‘kuasa kelima’. Mengulas lebih lanjut, dalam konteks Malaysia, sistem pemerintahannya mengamalkan sistem pemisahan kuasa, iaitu perundangan (legislative), kehakiman (judiciary) dan eksekutif (Kabinet). Setiap entiti mempunyai bidang kuasa tersendiri yang berhak mencorakkan fungsinya tanpa campur tangan entiti lain.

Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi, Universiti Malaya melihat sastera sebagai ‘kuasa kelima’ dalam ruang awam.

Selepas tiga punca kuasa itu, dunia kewartawanan mempunyai perspektif tersendiri dengan meletakkan media massa pada hierarki keempat kerana media dianggap turut mempunyai kuasa besar dalam mencorakkan sistem dan pelaksanaan kuasa di sesebuah negara secara de facto.

Seterusnya, di bawah empat lapis pencorak masyarakat dan negara itu, sastera muncul dengan keupayaannya yang tersendiri. Sastera secara analoginya dapat digolongkan sebagai ‘kuasa kelima’ dan syaratnya sastera itu mestilah memuatkan saranan mesej dan ideologi yang kuat serta tampil dengan sarana pengucapan yang efektif.

Dalam konteks kedudukan sastera kebangsaan dalam Malaysia MADANI, beliau menyebut bahawa sastera wajar dibincangkan dalam dua perspektif, iaitu pelayanan kerajaan terhadap kesusasteraan dan sumbangan kesusasteraan terhadap negara. Hubungan timbal balik (resiprokal) perlu diwujudkan bagi menyeimbangkan fungsi setiap pihak kerana matlamatnya adalah untuk mewujudkan kesejahteraan rakyat dan pembinaan negara yang adil dengan tatakelola yang baik.

Beliau juga berharap agar kedua-dua pihak (sasterawan dan pemerintah) dapat berperanan dengan sewajarnya demi memastikan kehidupan warga dapat dilestarikan dalam kesejahteraan.

Sasterawan perlu memainkan peranannya sebagai penggerak perubahan masyarakat dan  pemerintah juga wajar bersikap afirmatif terhadap dunia kesusasteraan demi menjamin ruang awam yang bersifat membina serta berperanan demi masa hadapan yang lebih positif.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.